Showing posts with label kerajaan negeri Johor. Show all posts
Showing posts with label kerajaan negeri Johor. Show all posts

Thursday, April 25, 2019

Sumber: Berang dengan rombakan exco Johor, Dr M terfikir mahu bersara

Ng Xiang Yi
Diterbitkan Hari ini 12:02 tengahari


Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, yang dilaporkan berang dengan rombakan majlis eksekutif exco kerajaan negeri Johor dan dikatakan terfikir mahu meletak jawatan, menurut sumber.

Sumber itu berkata pengerusi Bersatu mendedahkan perkara berkenaan semasa mesyuarat kecemasan majlis tertinggi parti pada malam Isnin lalu.

"Beliau begitu kecewa dan terkejut kerana menteri besar baru (Dr Sahruddin Jamal) tidak mematuhi nasihatnya untuk mengekalkan barisan exco," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Menurut sumber, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang juga ketua Pemuda Bersatu, berjaya meyakinkan Mahathir supaya tidak melepaskan jawatannya.
Malaysiakini gagal menghubungi Syed Saddiq untuk mendapatkan ulasannya tetapi sumber yang rapat dengannya mengesahkan perkara itu.

Menurut sumber, Mahathir pada mesyuarat itu memberitahu bahawa beliau begitu kecewa pada pagi itu - apabila tiga ahli exco baru mengangkat sumpah jawatan - dan bercadang mahu melepaskan jawatannya.

Anggota majlis tertinggi yang lain kemudian meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap keingkaran menteri besar itu.

"Bagaimanapun, semasa mesyuarat baru bermula, Mahathir kembali tenang,” kata sumber itu, sekali gus menafikan dakwaan yang disebarkan di media sosial kononnya perdana menteri mengancam untuk meletak jawatan pada mesyuarat itu.

Pada 13 April lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan bertitah bahawa menteri besar baru yang menggantikan Osman Sapian, yang meletak jawatan selepas 11 bulan menerajui negeri itu perlu juga merombak barisan exco.
Mahathir, yang sering tidak sehaluan dengan istana Johor dalam pelbagai isu, berkata Sultan tidak mempunyai pengaruh dalam perkara berkenaan.

Sebelum itu, Perdana Menteri berkata jika Raja-raja dianggap memiliki kuasa untuk memilih perdana menteri dan menteri besar, Malaysia tidak boleh lagi dikira sebagai negara demokrasi.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata menteri besar baru mungkin tunduk terhadap desakan sultan selepas berunding dengan presiden Bersatu dan pemimpin Bersatu Johor, Muhyiddin Yassin.

"Muhyiddin memberitahu mesyuarat bahawa semasa kejaddian itu, beliau berada di luar negara untuk mendapatkan rawatan perubatan dan tidak menyedari keputusan parti itu.

"Jadi apabila Shahruddin merujuk kepada Muhyiddin (semasa beliau di luar negara), nasihatnya adalah menteri besar harus memilih (exco) yang selesa bekerja dengannya," kata sumber itu.
Sumber itu mendakwa bahawa apa yang berlaku adalah kes salah faham.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa Muhyiddin telah memohon maaf kepada Mahathir dan menjelaskan peristiwa yang membawa kepada rombakan exco semasa mesyuarat itu.

Friday, February 15, 2019

Peguam: K'jaan Johor membisu isu pencerobohan Sungai Pulai

Diterbitkan Hari ini 8:38 pagi


Kerajaan negeri Johor kini tidak sepatutnya membisu berhubung keputusan kerajaan terdahulu membenarkan sebahagian daripada hutan simpan Sungai Pulai dibangunkan sebagai pusat peranginan, kata peguam N Surendran.

Dalam satu kenyataan, Surendran, yang merupakan penasihat kepada Lawyers For Liberty, berkata pencerobohan hutan di Sungai Pulai yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sepatutnya didedahkan kepada umum oleh kerajaan negeri sekarang.

"Pendedahan terbaru mengenai pembangunan hutan simpan bakau Sungai Pulai sangat mengejutkan. Terutama mengenai kemelut Pulau Kukup baru-baru ini, yang menggesa campur tangan segera dan drastik oleh kerajaan persekutuan untuk memelihara kawasan bakau yang kaya di Johor.

"Kini jelas kerajaan Johor tidak mampu melindungi tapak ini, walaupun keputusan dan proses pembangunan bermula semasa pemerintahan BN, kenapa Pakatan Harapan Johor berdiam diri?

"Mereka juga senyap mengenai Pulau Kukup sehingga didedahkan media," kata Surendran.

Terdapat tiga hutan bakau di Johor - Pulau Kukup, Sungai Pulai dan Tanjung Piai - yang dianggap tanah lembap berkepentingan antarabangsa di bawah Konvensyen Ramsar, perjanjian antarabangsa yang mana Malaysia menandatanganinya.

Disember lalu, Malaysiakini mendedahkan pewartaan Pulau Kukup sebagai taman negara yang dilindungi sepenuhnya dibatalkan secara senyap-senyap.

Keputusan itu dibuat oleh kerajaan Johor pada Mac 2018.

Semalam, Malaysiakini menerbitkan laporan khasyang menegaskan bahawa kerajaan Johor membenarkan sebahagian daripada hutan simpan Sungai Pulai untuk dibangunkan menjadi padang golf 2,000 ekar.

Surendran berkata adalah tidak bertanggungjawab bagi kerajaan persekutuan dan kerajaan Johor berdiam diri berhubung perkara itu kerana orang ramai menjangkakan tahap ketelusan yang tinggi daripada kerajaan baru.

"Sementara itu, pemimpin negeri dan persekutuan BN sebelum ini mesti menjelaskan bagaimana kemusnahan hutan simpan Sungai Pulai berlaku secara senyap-senyap dan berdasarkan alasan apa mereka membenarkannya, "katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-