Diterbitkan Hari ini 5:51 petang
Persatuan peneroka Felda menyahut saranan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk mempelbagaikan tanaman bagi berdepan dengan situasi semasa yang menyaksikan kejatuhan harga kelapa sawit dan getah.
Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda Mazlan Aliman berkata rancangan yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat kepada peneroka-peneroka Felda itu akan menumpukan pada tanaman-tanaman yang memerlukan tempoh hasil tuaian kurang daripada setahun.
"Selama ini kita tak optimumkan tanah-tanah ini. Kalau ada usaha-usaha dibuat di bawah tanah Felda, ia masih berada di tahap minimum. Dalam kata lain, ia tak ada dalam perancangan strategik bagaimaan tanah-tanah ini boleh dibangunkan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Semalam, Dr Mahathir menyarankan para petani untuk mempelbagaikan tanamannya bagi mengelakkan terperangkap dengan kejatuhan harga sawit dan getah.
Menurut Dr Mahathir, tanah mesti digunakan sebaik mungkin dengan kebun tanaman campuran supaya seseorang petani itu tidak akan putus pendapatannya.
Kejatuhan harga minyak sawit memberi kesan terhadap pendapatan peneroka Felda terutama bagi mereka yang menanggung bebanan hutang.
Ini kerana ketika menunggu pokok sawit matang untuk mengeluarkan hasil tuaian, peneroka mengambil pinjaman bagi menyara hidup mereka.
Gambaran sebenar
Mazlan yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) itu berkata, dengan mempelbagaikan tanaman, peneroka dapat menjana pendapatan tanpa bergantung dengan pinjaman sara hidup.
"Mereka mungkin tak nampak lagi gambaran sebenar. Tapi kalau kita dah mulakan penerangan mereka akan dapat terima. Sebab sampai bila-bila pun kita tak boleh lagi dengan pendekatan lama iaitu Felda kena urus semuanya.
"Dengan pinjaman yang mereka dapat melalui sara hidup contohnya yang Felda kena sediakan setiap kali tanam semula. Jadi pendekatan seperti itu kita kena ada satu program baru macam mana nak jana pendapatan," kata Mazlan.
Pada masa sama, bekas pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) itu menolak tanggapan yang mengatakan peneroka Felda keberatan menerima cadangan untuk mempelbagaikan tanaman mereka.
Beliau berkata, sekiranya terdapat peneroka yang menolak cadangan tersebut kemungkinan besar adalah disebabkan faktor usia memandangkan peneroka generasi pertama kebanyakannya tergolong dalam usia 60 tahun ke atas.
"Tapi sebahagian besar sekarang (yang usahakan tanaman) generasi kedua dan ketiga. Mereka ini ada yang tinggal di kawasan pedalaman Felda. Jadi mereka tak banyak pilihan peluang pekerjaan.
"Jadi mereka perlukan projek. Sekurang-kurangnya mereka perlukan duit belanja mereka setiap hari. Jadi sebenarnya konsep yang kita nak gunakan ini adalah untuk generasi kedua dan ketiga," katanya.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.