Showing posts with label getah. Show all posts
Showing posts with label getah. Show all posts

Sunday, February 26, 2023

Pekebun mahu harga lantai getah bukan naikkan IPG, kerajaan diberitahu

freemalaysiatoday.com
Chia Wan Rou - 26 Feb 2023, 10:00am

Pekebun kecil getah berkata, harga lantai getah sekurang-kurangnya RM3 sekilogram dilihat mampu mengurangkan kos sara hidup mereka.
Kelmarin, kerajaan bersetuju menaikkan paras harga pengaktifan IPG daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan RM350 juta bagi meringankan beban pekebun kecil getah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Pekebun kecil getah mahu kerajaan menetapkan harga lantai getah, bukannya menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram, seperti diumumkan dalam Belanjawan 2023.

Ketua Koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia, Nurfitri Amir Muhammad, berkata pekebun sebenarnya mengharapkan penetapan harga lantai getah sekurang-kurangnya RM3 sekilogram yang dilihat lebih banyak memberi manfaat kepada mereka.

“IPG bukan harga lantai. Untuk IPG, pekebun kecil mesti membuat permohonan, ini bermaksud ada proses seterusnya. Misalnya, kalau harga getah itu berada bawah paras RM2.70, maka sistem IPG itu diaktifkan.

“Jadi ia bukan bersifat automatik. Kalau harga lantai kami fahamlah, itu harga minimum getah pekebun kecil inginkan,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, beliau bersyukur dengan pengumuman kerajaan meningkatkan IPG kerana ia membuktikan wujudnya komitmen kerajaan untuk mempertingkat kebajikan pekebun kecil getah.

Tambahnya, tempoh bantuan musim tengkujuh selama empat bulan perlu diteliti semula berikutan musim hujan dan panas sudah berubah ketika ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, Mazlan Aliman, berpendapat pelarasan paras harga IPG dari RM2.50 ke RM2.70 sekilogram masih dianggap terlalu rendah pada masa ini.

Aktivis Felda itu berkata, sepatutnya ia dinaikkan kepada RM3.50 sekilogram seperti digesa NGO dan juga pekebun kecil sebelum itu.

“Dengan kos sara hidup mencanak naik, RM2.70 tidak lagi memadai,” katanya.

Kelmarin, kerajaan bersetuju menaikkan paras harga pengaktifan IPG daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan RM350 juta bagi meringankan beban pekebun kecil getah.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan turut bersetuju menaikkan sumbangan musim tengkujuh daripada RM600 kepada RM800 untuk tempoh empat bulan, serta akan menyediakan RM50 juta untuk menggunakan Cuplump Modified Bitumin (CMB) bagi penyelenggaraan jalan.

Mulai Januari 2019, IPG diaktifkan sekiranya harga purata bulanan Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 Percuma Atas Kapal (FOB) berada di paras RM6.10 sekilogram atau harga di peringkat ladang bagi getah sekerap berada di paras RM2.50 sekilogram ke bawah.

Monday, February 4, 2019

Persatuan peneroka Felda sahut saranan Dr M pelbagaikan tanaman

Diterbitkan Hari ini 5:51 petang 


Persatuan peneroka Felda menyahut saranan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk mempelbagaikan tanaman bagi berdepan dengan situasi semasa yang menyaksikan kejatuhan harga kelapa sawit dan getah.

Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda Mazlan Aliman berkata rancangan yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat kepada peneroka-peneroka Felda itu akan menumpukan pada tanaman-tanaman yang memerlukan tempoh hasil tuaian kurang daripada setahun.

"Selama ini kita tak optimumkan tanah-tanah ini. Kalau ada usaha-usaha dibuat di bawah tanah Felda, ia masih berada di tahap minimum. Dalam kata lain, ia tak ada dalam perancangan strategik bagaimaan tanah-tanah ini boleh dibangunkan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Semalam, Dr Mahathir menyarankan para petani untuk mempelbagaikan tanamannya bagi mengelakkan terperangkap dengan kejatuhan harga sawit dan getah.

Menurut Dr Mahathir, tanah mesti digunakan sebaik mungkin dengan kebun tanaman campuran supaya seseorang petani itu tidak akan putus pendapatannya.

Kejatuhan harga minyak sawit memberi kesan terhadap pendapatan peneroka Felda terutama bagi mereka yang menanggung bebanan hutang.

Ini kerana ketika menunggu pokok sawit matang untuk mengeluarkan hasil tuaian, peneroka mengambil pinjaman bagi menyara hidup mereka.

Gambaran sebenar

Mazlan yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) itu berkata, dengan mempelbagaikan tanaman, peneroka dapat menjana pendapatan tanpa bergantung dengan pinjaman sara hidup.

"Mereka mungkin tak nampak lagi gambaran sebenar. Tapi kalau kita dah mulakan penerangan mereka akan dapat terima. Sebab sampai bila-bila pun kita tak boleh lagi dengan pendekatan lama iaitu Felda kena urus semuanya.

"Dengan pinjaman yang mereka dapat melalui sara hidup contohnya yang Felda kena sediakan setiap kali tanam semula. Jadi pendekatan seperti itu kita kena ada satu program baru macam mana nak jana pendapatan," kata Mazlan.

Pada masa sama, bekas pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) itu menolak tanggapan yang mengatakan peneroka Felda keberatan menerima cadangan untuk mempelbagaikan tanaman mereka.

Beliau berkata, sekiranya terdapat peneroka yang menolak cadangan tersebut kemungkinan besar adalah disebabkan faktor usia memandangkan peneroka generasi pertama kebanyakannya tergolong dalam usia 60 tahun ke atas.

"Tapi sebahagian besar sekarang (yang usahakan tanaman) generasi kedua dan ketiga. Mereka ini ada yang tinggal di kawasan pedalaman Felda. Jadi mereka tak banyak pilihan peluang pekerjaan.

"Jadi mereka perlukan projek. Sekurang-kurangnya mereka perlukan duit belanja mereka setiap hari. Jadi sebenarnya konsep yang kita nak gunakan ini adalah untuk generasi kedua dan ketiga," katanya.

Friday, December 28, 2018

AGM Bersatu: Utamakan isu kos sara hidup rakyat - Presiden

Hariz Mohd, Lu Wei Hoong dan Norman Goh 
Diterbitkan 28 Dis 2018, 10:03 pagi


WAWANCARA | Bercakap kepada pemberita pada Isnin lalu, Muhyiddin berkata sidang itu patut digunakan sebagai peluang untuk memperkukuh Bersatu dan Pakatan Harapan kerana telah diberi mandat memerintah negara.

“Sangat penting untuk kami mengambil peluang ini supaya dapat memperkukuh Bersatu dan dengan berbuat demikian kami turut sama memperkuat Pakatan Harapan sebagai gabungan parti politik dan kerajaan.

"Kerana kami telah diberikan mandat dan keyakinan daripada rakyat untuk mentadbir negara bagi lima tahun akan datang ini.

“Jadi mesej kita nak bawa kepada persidangan ini adalah apakah langkah dan usaha yang boleh kerajaan dan parti kita boleh lakukan untuk menangani isu-isu pokok yang sedang ditangani rakyat," katanya pada sesi temu bual khas bersempena konvensyen ini.

Muhyiddin berkata PH perlu membentuk pasukan yang kuat supaya dapat membantu kerajaan memenuhi janji manifesto pilihan raya serta melaksanakan reformasi di dalam negara.

Cari jalan kurangkan bebanan

Tegasnya, parti pemerintah perlu mencari jalan agar dapat mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat.

“Kita peka dengan perkara itu kerana kita nak ingatkan perwakilan yang datang dari seluruh negara mesti mewakili suara rakyat hari ini menuntut kerajaan supaya PH bantu menyelesaikan isu pokok bread and butter, isu kos sara hidup.

“Contoh tentang bebanan kenaikan harga barang-barang, soalan kurangkan bantuan-bantuan subsidi, penurunan harga barang komoditi getah, kelapa sawit, masalah peneroka kerana tak ada bantuan Felda dan isu-isu yang berkaitan dengan rakyat biasa,” katanya.

Bersatu akan mengadakan mesyuarat agung tahunan hari ini, yang kedua sejak penubuhannya pada 2016.

Baru-baru ini Bersatu berhadapan kontroversi dengan rakan-rakan gabungan dalam PH, susulan kepimpinan parti itu menerima bekas pemimpin Umno menjadi anggotanya.

Syed Saddiq desak Waytha letak jawatan

Hal ini tidak dipersetujui beberapa pemimpin dan penyokong PH yang merasakan kehadiran bekas pemimpin Umno itu berlawanan dengan harapan rakyat terhadap Malaysia Baru.

Selain itu, beberapa pemimpin Bersatu, termasuk ketua pemudanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang bertukar-tukar bidasan dengan rakan pemimpin PH berhubung gesaan mendesak Menteri Perpaduan P Waythamoorthy meletak jawatan.

Ditanya mengenai kaedah Bersatu menangani kemungkinan perwakilan yang beremosi ketika persidangan, Muhyiddin berkata para pembahas bebas untuk menyuarakan fikiran mereka.

Inilah sebabnya pihak media tidak diundang membuat liputan perbahasan perwakilan, katanya.

Menurutnya, perbahasan tertutup perwakilan akan membolehkan mereka membangkitkan sebarang isu.

“Bercakaplah apa nak cakap, kami tak sekat dan halang. Sudah tentu orang Melayu ada budi bahasa, cara cakap ada juga teratur dan sebagainya, itu terserah kepada mereka.

“Tapi apa yang penting mesej yang mereka nak bawa itu paling utama. Apa yang kerajaan tak buat apa-apa. Orang susah tak bantu atau nak bawa isu pendidikan, ekonomi, agama atau luar negara.

“Jadi bagi saya ini ruang terbaik dan kita beri masa untuk berbicara,” jelasnya lagi.

Sampaikan mesej parti ke akar umbi

Muhyiddin berharap perwakilan akan membawakan resolusi parti pada perhimpunan itu kepada kaar umbi.

“Pasal sebahagian besar (akar umbi) mungkin macam tak tau apa nak buat.

“Katalah contoh ya, apa nak sebut, saya pun turun ke bawah jumpa ahli parti dia pun tanya saya apa yang patut kita nak buat. Saya kata kita fokus pada masalah rakyat.

“Parti mungkin tak boleh nak tolong pasal parti tak ada duit yang boleh tolong kerajaan.

“Tapi kalau kita tak ambik kira masalah mereka, macam kita abaikan. Jadi apa makna perjuangan parti?

“Jadi benda-benda macam ini mesti dibawa balik (akar umbi), jadi mesej ini yang akan dibawa bila dibincang, dibahas dan jawapan yang akan kita buat di peringkat penggulungan.

"...yang penting supaya lepas balik dia dapat melaksanakan apa yang jadi pesanan dan yang penting dia dapat sama-sama menguatkanlah, mengukuhkan kedudukan parti,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-