Showing posts with label kelapa sawit. Show all posts
Showing posts with label kelapa sawit. Show all posts

Wednesday, November 6, 2019

Duduk kampung nak bayar apa sangat, kata calon PH

By EDITOR
-05/11/2019


SUDAHLAH mengguris hati pekebun kelapa sawit tapi tidak mahu mengaku pula.

Calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini, menafikan dakwaan pembangkang kononnya beliau tidak akan memperjuangkan nasib pekebun kelapa sawit di Tanjung Piai.

Karmaine memberi alasan kenyataannya dalam ceramah baru-baru ini cuba diputar belit bagi dijadikan bahan kempen kotor, selain bertujuan menghasut pengundi.

Walhal dalam video yang tersebar terang-terangan menunjukkan Karmaine meminta pekebun bersyukur dengan harga sawit RM270 setan.

Lebih mengecewakan, beliau seolah-olah memperlekeh perbelanjaan orang kampung berbanding di bandar.

“Kita RM270 tu patut syukur sangat sebenarnya. (Harga) RM270 tu banyak, bukan sikit… banyak sebenarnya.

“Kalau ada kebun 10 ekar, (boleh) dapat lima tan paling tidak, lima tan darab RM270, dapat RM1,000 lebih.

“Duduk kampung apa sangat nak bayar? Nak makan sayur, tanam sendiri. Cuma yang perlu isi minyak. Benda ini kena syukur walaupun sedikit, kita masih dapat makan,” katanya.

Ekoran kenyataan Karmaine itu, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa tampil mengeluarkan kenyataan bagi menjernihkan keadaan.

Beliau berharap tiada yang salah faham dengan kenyataan calon PH Karmaine Sardini yang meminta pengundi bersyukur walaupun harga kelapa sawit yang rendah.

Monday, February 4, 2019

Persatuan peneroka Felda sahut saranan Dr M pelbagaikan tanaman

Diterbitkan Hari ini 5:51 petang 


Persatuan peneroka Felda menyahut saranan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk mempelbagaikan tanaman bagi berdepan dengan situasi semasa yang menyaksikan kejatuhan harga kelapa sawit dan getah.

Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda Mazlan Aliman berkata rancangan yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat kepada peneroka-peneroka Felda itu akan menumpukan pada tanaman-tanaman yang memerlukan tempoh hasil tuaian kurang daripada setahun.

"Selama ini kita tak optimumkan tanah-tanah ini. Kalau ada usaha-usaha dibuat di bawah tanah Felda, ia masih berada di tahap minimum. Dalam kata lain, ia tak ada dalam perancangan strategik bagaimaan tanah-tanah ini boleh dibangunkan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Semalam, Dr Mahathir menyarankan para petani untuk mempelbagaikan tanamannya bagi mengelakkan terperangkap dengan kejatuhan harga sawit dan getah.

Menurut Dr Mahathir, tanah mesti digunakan sebaik mungkin dengan kebun tanaman campuran supaya seseorang petani itu tidak akan putus pendapatannya.

Kejatuhan harga minyak sawit memberi kesan terhadap pendapatan peneroka Felda terutama bagi mereka yang menanggung bebanan hutang.

Ini kerana ketika menunggu pokok sawit matang untuk mengeluarkan hasil tuaian, peneroka mengambil pinjaman bagi menyara hidup mereka.

Gambaran sebenar

Mazlan yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) itu berkata, dengan mempelbagaikan tanaman, peneroka dapat menjana pendapatan tanpa bergantung dengan pinjaman sara hidup.

"Mereka mungkin tak nampak lagi gambaran sebenar. Tapi kalau kita dah mulakan penerangan mereka akan dapat terima. Sebab sampai bila-bila pun kita tak boleh lagi dengan pendekatan lama iaitu Felda kena urus semuanya.

"Dengan pinjaman yang mereka dapat melalui sara hidup contohnya yang Felda kena sediakan setiap kali tanam semula. Jadi pendekatan seperti itu kita kena ada satu program baru macam mana nak jana pendapatan," kata Mazlan.

Pada masa sama, bekas pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) itu menolak tanggapan yang mengatakan peneroka Felda keberatan menerima cadangan untuk mempelbagaikan tanaman mereka.

Beliau berkata, sekiranya terdapat peneroka yang menolak cadangan tersebut kemungkinan besar adalah disebabkan faktor usia memandangkan peneroka generasi pertama kebanyakannya tergolong dalam usia 60 tahun ke atas.

"Tapi sebahagian besar sekarang (yang usahakan tanaman) generasi kedua dan ketiga. Mereka ini ada yang tinggal di kawasan pedalaman Felda. Jadi mereka tak banyak pilihan peluang pekerjaan.

"Jadi mereka perlukan projek. Sekurang-kurangnya mereka perlukan duit belanja mereka setiap hari. Jadi sebenarnya konsep yang kita nak gunakan ini adalah untuk generasi kedua dan ketiga," katanya.

Friday, December 28, 2018

AGM Bersatu: Utamakan isu kos sara hidup rakyat - Presiden

Hariz Mohd, Lu Wei Hoong dan Norman Goh 
Diterbitkan 28 Dis 2018, 10:03 pagi


WAWANCARA | Bercakap kepada pemberita pada Isnin lalu, Muhyiddin berkata sidang itu patut digunakan sebagai peluang untuk memperkukuh Bersatu dan Pakatan Harapan kerana telah diberi mandat memerintah negara.

“Sangat penting untuk kami mengambil peluang ini supaya dapat memperkukuh Bersatu dan dengan berbuat demikian kami turut sama memperkuat Pakatan Harapan sebagai gabungan parti politik dan kerajaan.

"Kerana kami telah diberikan mandat dan keyakinan daripada rakyat untuk mentadbir negara bagi lima tahun akan datang ini.

“Jadi mesej kita nak bawa kepada persidangan ini adalah apakah langkah dan usaha yang boleh kerajaan dan parti kita boleh lakukan untuk menangani isu-isu pokok yang sedang ditangani rakyat," katanya pada sesi temu bual khas bersempena konvensyen ini.

Muhyiddin berkata PH perlu membentuk pasukan yang kuat supaya dapat membantu kerajaan memenuhi janji manifesto pilihan raya serta melaksanakan reformasi di dalam negara.

Cari jalan kurangkan bebanan

Tegasnya, parti pemerintah perlu mencari jalan agar dapat mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat.

“Kita peka dengan perkara itu kerana kita nak ingatkan perwakilan yang datang dari seluruh negara mesti mewakili suara rakyat hari ini menuntut kerajaan supaya PH bantu menyelesaikan isu pokok bread and butter, isu kos sara hidup.

“Contoh tentang bebanan kenaikan harga barang-barang, soalan kurangkan bantuan-bantuan subsidi, penurunan harga barang komoditi getah, kelapa sawit, masalah peneroka kerana tak ada bantuan Felda dan isu-isu yang berkaitan dengan rakyat biasa,” katanya.

Bersatu akan mengadakan mesyuarat agung tahunan hari ini, yang kedua sejak penubuhannya pada 2016.

Baru-baru ini Bersatu berhadapan kontroversi dengan rakan-rakan gabungan dalam PH, susulan kepimpinan parti itu menerima bekas pemimpin Umno menjadi anggotanya.

Syed Saddiq desak Waytha letak jawatan

Hal ini tidak dipersetujui beberapa pemimpin dan penyokong PH yang merasakan kehadiran bekas pemimpin Umno itu berlawanan dengan harapan rakyat terhadap Malaysia Baru.

Selain itu, beberapa pemimpin Bersatu, termasuk ketua pemudanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang bertukar-tukar bidasan dengan rakan pemimpin PH berhubung gesaan mendesak Menteri Perpaduan P Waythamoorthy meletak jawatan.

Ditanya mengenai kaedah Bersatu menangani kemungkinan perwakilan yang beremosi ketika persidangan, Muhyiddin berkata para pembahas bebas untuk menyuarakan fikiran mereka.

Inilah sebabnya pihak media tidak diundang membuat liputan perbahasan perwakilan, katanya.

Menurutnya, perbahasan tertutup perwakilan akan membolehkan mereka membangkitkan sebarang isu.

“Bercakaplah apa nak cakap, kami tak sekat dan halang. Sudah tentu orang Melayu ada budi bahasa, cara cakap ada juga teratur dan sebagainya, itu terserah kepada mereka.

“Tapi apa yang penting mesej yang mereka nak bawa itu paling utama. Apa yang kerajaan tak buat apa-apa. Orang susah tak bantu atau nak bawa isu pendidikan, ekonomi, agama atau luar negara.

“Jadi bagi saya ini ruang terbaik dan kita beri masa untuk berbicara,” jelasnya lagi.

Sampaikan mesej parti ke akar umbi

Muhyiddin berharap perwakilan akan membawakan resolusi parti pada perhimpunan itu kepada kaar umbi.

“Pasal sebahagian besar (akar umbi) mungkin macam tak tau apa nak buat.

“Katalah contoh ya, apa nak sebut, saya pun turun ke bawah jumpa ahli parti dia pun tanya saya apa yang patut kita nak buat. Saya kata kita fokus pada masalah rakyat.

“Parti mungkin tak boleh nak tolong pasal parti tak ada duit yang boleh tolong kerajaan.

“Tapi kalau kita tak ambik kira masalah mereka, macam kita abaikan. Jadi apa makna perjuangan parti?

“Jadi benda-benda macam ini mesti dibawa balik (akar umbi), jadi mesej ini yang akan dibawa bila dibincang, dibahas dan jawapan yang akan kita buat di peringkat penggulungan.

"...yang penting supaya lepas balik dia dapat melaksanakan apa yang jadi pesanan dan yang penting dia dapat sama-sama menguatkanlah, mengukuhkan kedudukan parti,” katanya.

Wednesday, December 5, 2018

Kecewa Harga Sawit Jatuh, Pekebun Cadang Tanam Pokok Ketum

SUARA TV
Suara Tanpa Sempadan
Admin  December 5, 2018


KUALA LUMPUR – Seorang lelaki menerusi media sosial yang menjual kelapa sawit sebagai cara mencari pendapatan membuat keputusan untuk menanam ketum.

Keputusannya ini dibuatnya selepas kecewa dengan kejatuhan secara konsisten harga kelapa sawit semenjak awal tahun sehingga sekarang.

“Ini kes kelapan sawit dah jatuh harga sangat jadi kita buang kelapa sawit ni dan mungkin kita tanam benda lain, ketum atau sebagainya

“Kita akan buang semuanya,” katanya menerusi sebuah video berdurasi 0:51 saat.

Video itu menunjukkan jentera atau bulldozer yang memusnahkan tanamannya.



Pada Ogos yang lalu Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata harga minyak sawit tempatan merosot disebabkan lebihan bekalan komoditi itu di seluruh negara.

Selain faktor lebihan bekalan, katanya Malaysia juga berdepan tindakan Kesatuan Eropah (EU) memboikot minyak sawit tempatan dan perlu bersaing dengan Indonesia yang memasarkan komoditi itu pada harga lebih rendah.
-SuaraTv

Tuesday, November 20, 2018

Cari jalan bantu peneroka: Shahrir

Published on November 20, 2018 


Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, kakitangan MPOB mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang berkaitan kelapa sawit.

“Tanya mereka apa yang boleh dibuat kerana harga kita boleh tentukan jika kita kuasai bekalannya, bukan hari ini sahaja ia turun.

Menteri dan kerajaan kena faham dan tanya pegawai yang berkenaan.

“Ketika saya jadi Pengerusi MPOB, setiap keputusan bukan hanya dari saya. Sebaliknya setiap keputusan yang dibuat adalah dari pakar-pakar dalam MPOB bersama dengan Kementerian Perusahaan Utama,” katanya.

Beliau berkata, ahli politik juga seharusnya sedar bahawa setiap bahan mentah seperti kepala sawit, getah, gula, minyak, minyak mentah mempunyai putaran.

“Kesemua bahan mentah ini mempunyai pusingannya dalam pasaran dunia, ada naik dan turun. Minyak mentah contohnya pada satu ketika dahulu pernah berharga AS $120 setong.

“Apatah lagi soal harga sawit, jadi bagi kerajaan yang menjadi pemerintah dan menteri berkaitan, dia patut fikir ini bukan soal harga di pasaraya sebaliknya ia harga dunia semasa,” katanya.

Beliau yang juga mantan Pengerusi MPOB berkata, ketika memegang jawatan berkenaan beliau telah memperkenalkan Skim Insentif Tanam Semula bagi membantu peneroka.

“Melalui skim ini kita beri insentif kepada pekebun kecil sawit seramai 650,000 termasuk peneroka Felda tanam sawit.

“Kita bagi kepada mereka yang berdepan masalah pokok susah nak tuai dan hasil merudum, kita minta tebang pokok yang tidak mendatangkan hasil.

“Kita bayar melalui skim ini supaya kita boleh kurangkan bekalan sawit. Kita cari jalan bagaimana minyak sawit dapat digunakan sebagai bahan bakar,” katanya.

Source: SH Siasat

Peneroka Felda terbeban hutang

Siasat by webadmin
Published on November 20, 2018


AHLI Majlis Permuafakatan NGO Felda, Datuk Zulkifli Nordin berkata, suatu ketika dahulu peneroka Felda dikatakan hidup senang apabila harga komoditi kelapa sawit dan getah melambung di pasaran dunia namun suasana itu berbeza sekarang.

Beliau yang juga generasi kedua Felda Soeharto berkata, pada masa ini, keadaan memang teruk kerana hasil kelapa sawit yang berkurangan dan harganya rendah.

“Hasil diperoleh itu pula perlu ditolak pelbagai hutang dengan Felda. Masalah hutang ini juga menyebabkan peneroka tidak berpuas hati dengan Felda kerana tidak mendapat penyata. Jika ada pun, penyata itu mengelirukan,” katanya.

Beliau yang juga Penasihat Jawatankuasa Bertindak Suara Generasi Ke-2 Felda (SGK2F) berkata, penyelesaian isu ini dipayahkan dengan tiadanya mekanisma pengurusan penyata hutang yang mudah difahami peneroka dan anak-anak mereka.

Zulkifli berkata, penyata yang mereka terima menyebabkan mereka terkejut kerana jumlahnya yang tidak munasabah dan tiada bukti rekod penyebab hutang.

“Sebagai anak peneroka, kami tak boleh tengok mak ayah begitu. Ketika kami bertemu peneroka di Felda Bukit Aping Timur, seorang warga emas dalam usia 80 tahun pegang slip hutang pun dengan tangan menggeletar.

“Seorang peneroka misalnya mempunyai hutang RM36,000 pada 2010 sebelum pengurusan ladang diambil alih oleh Felda Technoplant (FTP). Tetapi pada Oktober 2018 lalu ketika kami turun ke Felda tersebut untuk program memuktamadkan penyata hutang, sudah mencecah RM75,000.

“Perkara seperti ini menjadi isu kerana dalam tempoh 2010 hingga 2018 kerajaan lama (BN) telah menyediakan insentif RM5,000 untuk peneroka,” katanya.

Katanya lagi, baru-baru ini mereka menghubungi Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Othman Osman bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Kami lihat seperti tak ada ‘link’ antara Felda dan FTP. Felda sepatutnya ada data yang boleh membantu cara selesai isu hutang. Pengarah Besar Felda yang baharu ini telah mengambil perhatian isu hutang peneroka yang dibangkitkan. Nampaknya beliau mendengar masalah anak-anak peneroka dan cepat bertindak.

“Hasil campur tangan pengurusan baharu ini nampaknya membuka ruang untuk masalah hutang ini diselesaikan tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu Felda dalam satu kenyataan sebelum ini menjelaskan bahawa usaha untuk mengeluarkan penyata hutang peneroka yang dimuktamadkan bermula sejak Disember 2016 lagi.

“Proses memuktamadkan penyata hutang adalah satu proses yang berterusan kerana kegiatan tanam semula kebun peneroka dijalankan secara berperingkat, bukannya serentak.

“Kesemua peneroka yang dimuktamadkan hutang sudah menerima penyata hutang setiap suku tahun yang diedarkan oleh Pengurusan Rancangan Felda,” kata kenyataan itu.

Felda menjelaskan penyata hutang terbahagi kepada dua iaitu Penyata Hutang Interim (penyata hutang yang belum dikunci) dan Penyata Hutang Dimuktamadkan (penyata hutang yang sudah dikunci).

Penyata Hutang Interim merangkumi hutang pembangunan kebun manakala Penyata Hutang Dimuktamadkan merangkumi hutang pembangunan kebun, hutang sosio ekonomi dan hutang baja.

“Penyata Hutang Interim adalah penyata hutang peneroka bagi tempoh tahun pertama hingga tahun kelapan semasa program tanam semula berjalan.

Ianya akan dimuktamadkan pada tahun kesembilan selepas Pengurusan Rancangan Felda mendapat persetujuan bersama dengan Ahli Jawatankuasa Tanam Semula yang terdiri daripada peneroka rancangan yang terbabit dalam program tanam semula terbabit,” katanya.

Antara masalah dihadapi peneroka Felda

1. Hutang tanam semula purata lebih RM100,000

2. Masalah pinjaman sara hidup

3. Bayaran bukan dalam bulan semasa

4. Harga komoditi kelapa sawit dan getah jatuh

5. Harga barang tinggi tak setimpal pendapatan

6. Ada peneroka terlibat hutang perumahan Felda

7. Isu serangan ulat bungkus kepada tanaman kelapa sawit

8. Pengurusan ladang tidak cekap

9. Perubahan cuaca

Source: SH Siasat

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-