Sunday, February 24, 2019

'Semenyih jadi medan protes anak muda'

Haspaizi Zain
Diterbitkan Hari ini 8:00 pagi 


Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSH) sebanyak RM100 adalah satu penghinaan kepada golongan muda yang telah mengundi Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu, tegas Ketua Pemuda Umno Selangor Rizam Ismail.

Sehubungan itu katanya, protes terhadap pemberian berkenaan harus diterjemahkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

"Ini penghinaan kepada orang muda yang membantu kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu.

"Dia beri ambil, rakyat tak perlu takut. Semenyih perlu diterjemahkan sebagai undi protes khususnya anak muda dan rakyat tidak boleh menerima penipuan yang dilakukan PH.

"Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, bantuan yang dapat sebelum ini pula dinafikan. Semenyih harus jadi referendum kepada kebangkitan anak muda," katanya kepada Malaysiakini.

Kerajaan pada 19 Feb lalu mengumumkan pemberian BSH 2019 sebanyak RM100 kepada individu di bawah kategori bujang pada hujung Mac ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan pemberian itu akan memanfaatkan lebih tiga juta individu serta melibatkan peruntukan sebanyak RM300 juta.

Untuk rekod, pemberian BSH menyamai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diberikan kepada golongan berpendapatan rendah pada era BN.

Pada masa itu, BR1M diberikan sebanyak RM450 kepada golongan muda yang layak.

Sementara itu mengulas mengenai kerjasama Umno-PAS selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, Rizam berkata beliau menyokong penuh perkara itu yang dilihat menguntung rakyat secara keseluruhan.

Malah beliau yakin jika kerjasama yang terjalin itu dapat diurus dengan baik sehingga PRU ke-15, adalah tidak mustahil Umno dan PAS berupaya merampas Selangor.

"Langkah ini bagi saya cukup baik kerana kita telah menyatukan kembali perpecahan orang Melayu di negara ini. Umno dan PAS dua parti dominan orang Melayu Islam dan ini pastinya memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

"Bukan Islam tidak perlu takut kepada kerjasama ini, BN telah mempunyai rekod lebih 60 tahun menjaga rakyat berbilang kaum.

"Begitu juga PAS pernah bersama Pakatan Rakyat sebelum ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-