Showing posts with label PRK DUN Semenyih. Show all posts
Showing posts with label PRK DUN Semenyih. Show all posts

Sunday, March 3, 2019

PRK Semenyih: Mesej rakyat untuk diteliti - TPM

Bernama 
Diterbitkan Hari ini 8:50 pagi


Keputusan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, satu mesej untuk bersama mendengar apakah isu-isu yang mesti dipertimbangkan dengan lebih mendalam, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah yang juga merupakan Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata justeru perlu diambil iktibar dalam apa yang ingin dilakukan sama ada dalam pilihan raya kecil atau besar.

“Kita ada sistem demokrasi, kita ada pilihan dan kami mahukan rakyat tahu kami cuba sedaya upaya untuk rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2019 Parlimen Port Dickson di PD Waterfront di Port Dickson, malam tadi.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai keputusan PRK Semenyih yang menyaksikan kemenangan BN apabila berjaya menawan semula kerusi DUN Semenyih selepas calonnya, Zakaria Hanafi memenangi persaingan empat penjuru pada PRK kawasan itu dengan memperoleh 19,780 iaitu majoriti 1,914 undi.

Zakaria menewaskan calon PH Muhammad Aiman Zainali, yang memperoleh 17,866 undi, Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (847 undi) dan calon bebas yang juga seorang aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, (725 undi).

Sementara itu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata keputusan PRK Semenyih memberi sedikit gambaran tentang perasaan rakyat terutamanya sentimen disuarakan masyarakat Melayu.

“Kami harus ambil kira tetapi kami harus teruskan tugas dengan baik dan saya yakin diberikan sedikit masa rakyat akan dapat faham mengapa kami ambil langkah-langkah yang sedang diambil dan keterbatasan kami dalam beberapa langkah pelaksanaan program.

Anwar juga berkata corak pengundi juga penting untuk parti itu telitikan.

Katanya dalam proses demokrasi, kami menghormati keputusan yang dibuat rakyat dan itu merupakan hak mereka.

“Sebagai kerajaan iaitu kerajaan negeri Selangor masih kukuh di bawah Menteri Besar Amirudin Shari dan kerajaan persekutuan di bawah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya juga berpendapat Malaysia harus kekal dengan semangat perlembagaan yang telah menjanjikan kedudukan Islam dan Melayu tetapi mesti tegas dalam memelihara keharmonian kaum dan PH harus mewakili sentimen dan keperluan aspirasi semua kaum,” katanya.

Terdahulu, Anwar yang juga merupakan Anggota Parlimen Port Dickson dalam ucapannya berkata kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir sedang berusaha membawa perubahan kepada rakyat bagaimanapun hasilnya tidak mungkin dapat dilihat hanya dalam tempoh beberapa bulan.

-- Bernama

Kerjasama UMNO-PAS formula kemenangan calon BN

Oleh Jalal Ali Abd Rahim; Iskandar Ibrahim; Mohd Nasaruddin Parzi dan Ahmad Suhael Adnan
bhnews@bh.com.my

MOHAMAD menjawab soalan media di Pusat Pengiraan Undi Dewan Seri Cempaka.
 - Foto Mohd Yusni Ariffin

KAJANG:  Barisan Nasional (BN) menyifatkan kerjasama parti itu dengan PAS sebagai ‘bekalan selesa’ yang menyaksikan kemenangan calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Timbalan Pengerusi BN yang turut menjalankan tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata resipi kemenangan itu pasti diteruskan pada PRK akan datang, termasuk di DUN Rantau.

Beliau berkata, kerjasama antara BN, khususnya UMNO dengan PAS kini menjadi suara pembangkang yang lebih kukuh di DUN mahupun Parlimen.

“Kerjasama ini akan dipupuk dan kita pastikan politik tanah air menjadi politik baharu atas kerjasama dua parti politik Melayu yang besar ini, sekali gus membawa suara rakyat dalam DUN dan Parlimen,” katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan PRK DUN Semenyih di Dewan Seri Cempaka, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerjasama itu turut memberi faedah kepada kedua-dua parti, khususnya atas kepentingan Melayu dan Islam.

Beliau juga menyifatkan kemenangan BN sebagai satu ‘referendum’ rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan.

“Jangan risau, walaupun kami tidak banyak (kerusi di DUN), kita akan mengamalkan politik matang, mana yang baik kita akan sokong,” katanya.

Ditanya faktor lain kemenangan BN pada PRK kali ini, Mohamad berkata, personaliti calon juga memainkan peranan.

“Yang penting, kita pilih calon terbaik yang membawa suara rakyat. Beliau ternyata calon popular di kawasan ini,” katanya.

Saturday, March 2, 2019

[TIDAK RASMI] Calon BN mendahului

MyMetro
Hairulazim Mahmud dan Rizanizam Abdul Hamid
am@hmetro.com.my

KESESAKAN di Jalan Semenyih sempena Pilihan Raya Kecil DUN N24 Semenyih. 
FOTO Mohd Yusni Ariffin

KEPUTUSAN tidak rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

7.20 malam: Calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi mendahului dengan majoriti 2,079 undi. Beliau memperolehi 15,347 undi diikuti calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali dengan 13,268 undi, manakala Kuan Chee Heng (BEBAS) dan Nik Aziz Afiq Abdul masing-masing hanya mendapat 576 dan 610 undi.

7.10 malam: Calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi mendahului dengan memperoleh 12, 363 undi.

Ia diikuti calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali dengan 11,076 undi, manakala Kuan Chee Heng (BEBAS) dan Nik Aziz Afiq Abdul memperoleh Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee masing-masing hanya mendapat 469 dan 523 undi.

Keputusan tidak rasmi itu dipaparkan di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang di sini hari ini.

Pengundian PRK Semenyih bermula

MyMetro

Petugas SPR membawa dua peti undi ke pusat pengundian Dewan JKKK Kampung Sesapan Kelubi, Beranang seawal 7pagi bagi PRK DUN Semenyih.
 FOTO Mohd Yusni Ariffin
BERNAMA

SEBANYAK 24 pusat mengundi membabitkan 116 saluran dibuka 8 pagi hingga 5.30 petang ini bagi membolehkan pengundi memilih wakil rakyat baharu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Sejumlah 53,411 pengundi biasa layak berbuat demikian dalam PRK yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mewakili Pakatan Harapan (PH), pada 11 Jan lalu.

Jumlah itu berdasarkan daftar pemilih pada suku ketiga 2018 yang dikemas kini sehingga 11 Jan 2019, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

DUN Semenyih mempunyai 53,520 pemilih biasa namun 109 telah mengundi secara pos, menjadikan jumlah yang layak mengundi hari ini ialah 53,411 orang. Pengundian awal bagi PRK itu diadakan Selasa lepas.

Sebanyak 996 kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertugas di pusat-pusat mengundi berkenaan.

Pusat penjumlah rasmi undi yang ditetapkan bagi PRK DUN Semenyih ialah di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang di Saujana Impian, Kajang.

SPR sebelum ini menjangkakan peratusan keluar mengundi pada PRK itu adalah kira-kira 70 peratus dan keputusan pengundian dijangka diumumkan sebelum 10 malam.

Tempoh rasmi berkempen yang bermula sejak 16 Feb lepas berakhir 11.59 malam tadi.

PRK Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Muhammad Aiman Zainali daripada PH, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.

Ia adalah PRK keenam selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Jan).
Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 8:32 AM

Friday, March 1, 2019

BN sudah mati, innalillah... - Dr Mahathir

MyMetro
Hairulazim Mahmud dan Rizanizam Abdul Hamid
am@hmetro.com.my

DR Mahathir bersama Muhammad Aiman mengangkat tangan selepas menyampaikan ucapan pada Ceramah Perdana PH sempena PRK DUN Semenyih di Taman Pelangi, Hulu Langat, malam tadi. FOTO Mohd Yusni Ariffin.

“BN (Barisan Nasional) dah tak ada, dah ‘Innalillahi wainna ilaihi raajiun,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, memilih calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih adalah perbuatan sia-sia kerana parti itu sudah tiada.

Sebaliknya, kata beliau, yang ada hanyalah UMNO itupun sekadar pada nama sahaja.

“Sudah habis, yang ada UMNO, pada nama saja, UMNO pun dah hancur, banyak ahli minta nak masuk Pakatan Harapan (PH) dan BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), yang tinggal itu nak jalan pun tak larat dah,” kata beliau.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Ceramah Perdana PH sempena PRK DUN Semenyih di Taman Pelangi, Hulu Langat, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pucuk pimpinan komponen PH.

Dalam pada itu, Dr Mahathir meminta mereka yang terpengaruh dan setia dengan kempen #Bossku supaya berfikir semula kerana bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang disanjung itu membawa masalah kepada negara.

“Tahu apa makna perkataan boss ini? Ia datang dari Amerika Syarikat (AS). Orang kulit hitam panggil pemilik mereka sebagai boss, jadi bila panggil bossku, tu maknanya kita jadi milik boss. Kita sudah merdeka, adakah kita mahu jadi hamba lagi?

“Betul tidak tahu malu, tengok kelakuan dia, tak malu langsung. Saya mungkin salah kadang-kadang, tapi saya tidak salah bila tolak Najib,” kata beliau.

Dalam pada itu, Dr Mahathir yakin dengan pemilihan Muhammad Aiman Zainali yang juga calon PH sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan melaksanakan tanggungjawab dan janjinya.

“Kalau dia tak buat, kita tibai dia, itu janji saya,” kata beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 12:01 AM

Sunday, February 24, 2019

'Semenyih jadi medan protes anak muda'

Haspaizi Zain
Diterbitkan Hari ini 8:00 pagi 


Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSH) sebanyak RM100 adalah satu penghinaan kepada golongan muda yang telah mengundi Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu, tegas Ketua Pemuda Umno Selangor Rizam Ismail.

Sehubungan itu katanya, protes terhadap pemberian berkenaan harus diterjemahkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

"Ini penghinaan kepada orang muda yang membantu kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu.

"Dia beri ambil, rakyat tak perlu takut. Semenyih perlu diterjemahkan sebagai undi protes khususnya anak muda dan rakyat tidak boleh menerima penipuan yang dilakukan PH.

"Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, bantuan yang dapat sebelum ini pula dinafikan. Semenyih harus jadi referendum kepada kebangkitan anak muda," katanya kepada Malaysiakini.

Kerajaan pada 19 Feb lalu mengumumkan pemberian BSH 2019 sebanyak RM100 kepada individu di bawah kategori bujang pada hujung Mac ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan pemberian itu akan memanfaatkan lebih tiga juta individu serta melibatkan peruntukan sebanyak RM300 juta.

Untuk rekod, pemberian BSH menyamai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diberikan kepada golongan berpendapatan rendah pada era BN.

Pada masa itu, BR1M diberikan sebanyak RM450 kepada golongan muda yang layak.

Sementara itu mengulas mengenai kerjasama Umno-PAS selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, Rizam berkata beliau menyokong penuh perkara itu yang dilihat menguntung rakyat secara keseluruhan.

Malah beliau yakin jika kerjasama yang terjalin itu dapat diurus dengan baik sehingga PRU ke-15, adalah tidak mustahil Umno dan PAS berupaya merampas Selangor.

"Langkah ini bagi saya cukup baik kerana kita telah menyatukan kembali perpecahan orang Melayu di negara ini. Umno dan PAS dua parti dominan orang Melayu Islam dan ini pastinya memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

"Bukan Islam tidak perlu takut kepada kerjasama ini, BN telah mempunyai rekod lebih 60 tahun menjaga rakyat berbilang kaum.

"Begitu juga PAS pernah bersama Pakatan Rakyat sebelum ini," katanya.

Friday, February 22, 2019

Kenapa Tun Hamid senyum tunggu keputusan PRK Semenyih

22/02/2019

Apa isi kandungan surat yang dikatakan ditandatangani Takiyuddin dan kenapa tidak didedahkan


BANGI, 17 Jamadilakhir 1440H, Jumaat – Ada atau tidak Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi pengakuan lisan bahawa PAS tidak akan menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih, hanya diketahui oleh beliau dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad juga mengemukakan persoalan mengenai isi kandungan surat itu dan mengapa tidak ditunjukkan.

“Tun Dr Mahathir ada surat itu. Mengapa tidak ditunjuk isi kandungannya? Surat itu ditandatangi oleh Dato’ Takiyuddin. Tidakkah beliau menyimpan satu salinan? Apa sebab pihak PAS memberi surat itu. Adakah ia diminta oleh Tun Dr Mahathir sebagai balasan kepada apa yang diminta oleh PAS daripadanya?

“Nampaknya seperti PAS telah kena pulas tangan oleh Tun Dr Mahathir. Biar apa pun, selagi isi surat surat itu tidak ditunjuk, kita tidak tahu sama ada isi kandungannya menyatakan:

“i. PAS tidak akan menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih; atau ii. sokongan Pas kepada Tun Dr Mahathir sekiranya berlaku pengkhianatan dalam PH terhadap Perdana Menteri itu,” katanya dalam tulisan di blog beliau.

Kesimpulannya, beliau berkata, sehingga isi surat itu ditunjukkan, kita masih tidak tahu sama ada sebenarnya Presiden PAS itu memberi pengakuan bahawa PAS tidak menyokong UMNO pada pilihan raya kecil (PRK) Semenyih.

Monday, February 18, 2019

MB: Surat sokong PM perkasa Islam, bukan tolak Umno di Semenyih

Diterbitkan 7 jam yang lalu pada 17 February 2019

Oleh Abdul Rahim Sabri

Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan sokongan terhadap perdana menteri sama seperti sokongan PAS kepada kerajaan menentang ICERD.
 ― Foto oleh Shafwan Zaidon

KEMAMAN, 17 Feb — PAS menafikan dakwaan perdana menteri bahawa surat yang ditandatangani kelmarin berkaitan tidak menyokong Umno dalam pilihan raya kecil di DUN Semenyih.

Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan surat itu tentang perakuan mendokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memperkasa agenda Melayu, Islam dan rakyat, lapor Sinar Harian.

Justeru menteri besar Terengganu, antara yang menemui Dr Mahathir di Yayasan Albukhary, menganggap kenyataan tokoh itu “perang psikologi” menjelang pilihan raya kecil 2 Mac ini.

“Jadi PAS berdiri di belakang perdana menteri dalam agenda itu dan tiada kaitan dengan PRK DUN Semenyih,” katanya.

Kenyataan rasmi bakal dikeluarkan petang ini.

Bekas setiausaha politik presiden PAS itu juga menjelaskan sokongan terhadap negarawan itu sama seperti sokongan PAS kepada kerajaan menentang perjanjian antarabangsa ICERD.

Hari ini Dr Mahathir menjelaskan penafian pimpinan PAS bahawa mereka tidak akan menyokong Umno di Semenyih kerana Pakatan Harapan tidak meletakkan calon DAP.

“Bila saya dengar penafian, terpaksa saya sebut apa yang berlaku...pengakuan mereka, kali ini mereka tidak akan sokong Umno,” katanya kepada media.

“Tetapi mereka tak cakap akan sokong Bersatu atau PH dan mereka (PAS) tak akan hadir (semasa penamaan calon) tapi kita lihat hadir juga.”

Pertemuan pada Jumaat lalu itu turut dihadiri Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan.

Saturday, February 16, 2019

Ahli MCA pakai baju 'Bossku': Najib lagi bagus dari Dr M

Ng Xiang Yi
Diterbitkan Hari ini 11:33 tengahari 


PRK SEMENYIH | Sekumpulan anggota MCA yang hadir ke pusat penamaan calon pada pilihan raya kecil ini memakai baju-T "Malu Apa Bossku" yang memaparkan gambar bekas perdana menteri Najib Razak pagi ini.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ketua Bahagian MCA Gopeng Patrick Ewe berkata ahli dari Selangor, Perak dan Negeri Sembilan telah datang ke Semenyih bagi menyokong calon BN.

Beliau juga mendakwa Najib merupakan pemimpin yang lebih baik berbanding Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Ewe, Mahathir selalu bercakap bahawa orang Cina kaya.

"Najib pemimpin yang hebat, ia (kekalahannya) adalah kerugian besar kepada masyarakat Cina dan Malaysia," katanya.

Najib mencipta semula imejnya melalui kempen slogan "Malu Apa Bossku", yang telah mendapat daya tarikan ketara di media sosial.

Empat penjuru

Beliau juga dikenali sebagai "Raja Trolls" kerana seringkali membuat hantaran mengulas pemimpin PH di Twitter dan Facebook.

Sama seperti pilihan raya kecil Cameron Highlands bulan lepas yang dimenangi BN, Najib dijangka bakal menjadikan kehadirannya dirasai di Semenyih juga.

Pertempuran kerusi DUN Semenyih di Selangor akan menjadi pertarungan empat penjuru dan menjadi ujian kepada PH dalam meraih undi Melayu.

Calon PH Muhammad Aiman Zailani merupakan anak menantu penyandang kerusi itu, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor, yang mengakhiri penguasaan Umno terhadap kerusi majoriti Melayu separuh bandar pada PRU14 lalu.

Sementara itu BN meletakkan pesara pegawai pentadbiran UKM Zakaria Hanafi, 58 sebagai calonnya.

Dua lagi calon yang ikut bersaing alah Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan Kuan Chee Heng (bebas).

[Baca berita penuh]

Thursday, February 14, 2019

Undi majoriti tinggi bekalan selesa PH

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi
bhnews@bh.com.my

TIMBALAN Presiden PH yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 - NSTP/Asyraf Hamzah

SEMENYIH:   Pakatan Harapan (PH) yakin kemenangan dengan undi majoriti besar diperoleh penyandang terdahulu tidak menjejaskan sokongan bakal diraih pakatan itu untuk terus mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Timbalan Presiden PH yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata simulasi dijalankan pihaknya mendapati walaupun majoriti diperoleh PH mungkin menurun, namun ia masih dalam skala kemenangan.

“Kita sudah ambil kira dalam kajian sebelum ini di mana kita dapat 6,000 undi majoriti. Kalau kita buat simulasi undi turun (disebabkan kerjasama UMNO-PAS), kita masih ada 1,989 undi (majoriti).

“Kalau kali ini, apa bentuk kerjasama mereka tidak begitu penting, apa yang penting kita mesti bekerja keras. Dalam kalangan mereka ini kita tak tahu siapa tunggang siapa, boleh jadi PAS tunggang UMNO,” katanya pada sidang media selepas majlis pengumuman calon PH di sini, hari ini.

Ditanya sama ada faktor calon PH, Muhamad Aiman Zainali dipilih berikutan beliau mempunyai pertalian dengan bekas penyandang, Muhyiddin berkata ia sama sekali tidak diambil kira.

“Tidak begitu. Dia (Aiman) disenaraikan oleh bahagiannya (BERSATU Hulu Langat). Jadi kita buat penilaian kepada setiap calon. Ada enam calon dan ini yang terbaik.

“Saya harap begitulah kalau dia boleh bantu kemenangan,” katanya ketika ditanya sama ada faktor calon adalah menantu kepada bekas penyandang mampu menarik undi kepadanya.

Kerusi DUN Semenyih kosong selepas penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57 tahun, meninggal dunia pada jam 4.45 pagi pada 11 Januari lalu di Hospital Kajang akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Bakhtiar yang mewakili BERSATU menang dengan majoriti 8,964 undi mengalahkan Datuk Johan Abd Aziz (Barisan Nasional), Mad Shahmidur Mat Kosim (PAS) dan S Arutchelvan (PSM).

Allahyarham yang juga Ketua Bahagian BERSATU Hulu Langat memperoleh 23,428 undi.

Sementara itu, Aiman yang ditemui media tidak mahu menggunakan faktor menantu sebagai modal menarik sokongan pengundi di kawasan berkenaan.

Sebaliknya, anak muda itu mahu isu setempat seperti kesesakan jalan di pekan Semenyih serta masalah di kawasan pedalaman dan perkampungan menjadi modalnya sepanjang tempoh 14 hari berkempen kelak.

Wednesday, February 6, 2019

Melayu jadi penentu gabungan BN-Pas menang dalam PRK Semenyih

PH masih gagal bela orang Melayu
06 Februari 2019 2:48 PM


KUALA LUMPUR 6 Feb.Jumlah majoriti pengundi Melayu sebanyak 68 peratus dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang akan bermula 16 Februari ini akan menjadi kelebihan kepada gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pas untuk menewaskan Pakatan Harapan (PH).

Hal ini kerana PH dilihat masih gagal menambat hati kaum Melayu selain hilang populariti disebabkan beberapa isu sentitif yang menyentuh etnik tersebut seperti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan kegagalan menunaikan manifesto secara menyeluruh.

Menurut pensyarah Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Muhamad Nadzri Mohamed Noor, tambah menyulitkan PH untuk menang adalah populariti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kalangan Melayu dan seluruh Malaysia dengan tagline ‘malu apa boskurr’.

“Meskipun Najib dilanda pelbagai isu, tetapi BN berjaya mengguna pakai popularitinya dalam PRK Cameron Highlands. Bahkan, kedudukan BN semakin pragmatik di bawah pimpinan Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Semenyih mempunyai jumlah pengundi Melayu kritis yang tinggi dan tidak mengikat diri dengan sesebuah parti. Mereka sebaliknya mengundi berdasarkan kepentingan dan isu sama ada lokal mahupun nasional dan kawasan ini terkenal dengan melakukan peralihan undi (swing vote),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Nadzri berkata, PH berdepan cabaran sukar di untuk menawan hati pengundi DUN Semenyih kerana faktor kegagalan perlaksanaan janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) khususnya mengenai pemansuhan tol.

Katanya, ramai pengundi DUN Semenyih bekerja di Lembah Klang menggunakan lebuh raya yang mempunyai tol dan kegagalan PH menunaikan janji menghapuskan tol akan menyebabkan defisit keyakinan dalam PRK nanti. -UTUSAN ONLINE

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sunday, February 3, 2019

PH sasar majoriti lebih besar pada PRK Semenyih

Oleh Muhammad Yusri Muzamir
yusri.muzamir@bh.com.my

SETIAUSAHA Agung Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Marzuki Yahya. 
- Foto NSTP/Ramdzan Masiam

BATU KAWAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak akan memberi laluan kepada mana-mana parti komponen Pakatan Harapan (PH) untuk meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Selangor.

Setiausaha Agungnya, Senator Datuk Marzuki Yahya, berkata ia berikutan keputusan terbabit sudah pun disepakati Majlis Presiden PH yang memperuntukkan kerusi berkenaan akan ditandingi calon daripada BERSATU.

“Tidak wujud persoalan mengenai calon yang akan bertanding di PRK DUN Semenyih kerana PH sudah pun putuskan ia akan ditandingi calon daripada BERSATU, selain turut menyasarkan majoriti lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Kita akan mengumumkan wakil yang akan bertanding pada PRK DUN Semenyih ini dua hari sebelum penamaan calon dan yakin kemenangan akan berpihak kepada PH, selain jangkaan lebih 60 peratus pengundi keluar mengundi pada 2 Mac depan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Marzuki yang juga Timbalan Menteri Luar, menerima sebanyak 100 borang keahlian baharu di Majlis Serahan Borang Keahlian BERSATU Penduduk Bandar Cassia, di sini.

PRK DUN Semenyih akan diadakan pada 2 Mac depan susulan penyandangnya daripada PH, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang, Selangor akibat serangan jantung, 11 Januari lalu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kepemimpinan BERSATU yakin mampu menyelesaikan krisis dalaman yang berlaku di Perlis dalam masa terdekat.

“Saya sendiri sudah berjumpa dengan kepemimpinan BERSATU Perlis untuk mendapatkan pandangan dan maklumat lanjut mengenai perkara ini, semalam.

“Hasilnya akan dibawa ke perbincangan Majlis Presiden dan dijangka ia akan diselesaikan sebelum akhir bulan ini dengan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

PRK Semenyih: Giliran PPBM bukti PH masih dapat sokongan

Robin Augustin
-February 3, 2019 8:38 AM
Kegagalan mendapat undi bukan-Melayu yang mencukupi akan membawa bencana kepada PPBM dalam PRK Semenyih 2 Mac depan.

PETALING JAYA:  Masih belum sembuh daripada luka kekalahannya di Cameron Highlands bulan lepas, Pakatan Harapan (PH) kini bersiap sedia untuk mennghadapi pilihan raya kecil (PRK) Semenyih yang disifatkan oleh pemerhati sebagai kayu ukur lebih realistik bagi sokongan yang diterima gabungan itu sejak mengambil alih kuasa 10 bulan lepas.

PRK kali ini akan lebih mendapat perhatian kerana ia melibatkan calon daripada PPBM, sebuah parti yang dilihat mewakili orang Melayu yang merupakan 70% pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Seperti di Cameron Highlands, PAS memilih untuk tidak bertanding dalam PRK kali ini, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor yang mewakili PPBM-PH.

Dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas, Bakhtiar menang di kerusi itu dengan mendapat 23,428 undi dalam persaingan 4 penjuru mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), PAS dan PSM.

BN memperoleh 14,464 undi, sementara PAS (6,966).

Sekiranya corak pengundian di Cameron Highlands berulang, hampir 7,000 undi PAS akan beralih kepada Umno. Ini bermakna pembangkang hanya memerlukan sedikit lonjakan undi untuk merampas kerusi tersebut daripada PH.

Pakar strategi PPBM, Datuk Rais Hussin mengakui PRK dijadualkan 2 Mac itu mencabar.

PPBM berhadapan tekanan bagi menghalang kekalahan kedua berturut-turut gabungan kerajaan itu dalam PRK.

“Mencabar (untuk menang), tetapi tidak mustahil,” katanya kepada FMT.

“Naratif pengundi Melayu agak rumit dan kesan limpahan dari Cameron Highlands mungkin ada.”

Beliau berkata, kemenangan PH bergantung pada kemampunannya memilih “calon yang sesuai” dan menangani “isu yang tepat”.

Antara cabaran yang perlu dijelaskan berkait isu janji PH dalam manifesto pilihan raya umumnya, yang sehingga kini banyak tidak ditunaikan.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Kamarul Zaman Yusoff berkata, selepas kalah di Cameron Highlands, PH sepatutnya sedar bahawa sesetengah isu, seperti skandal 1MDB, tidak mempunyai kesan besar ke atas pengundi.

Pada masa sama katanya, faktor bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang dianggap menyumbang kepada kemenangan BN di Cameron Highlands, tidak wujud di Selangor.

“Saya tidak fikir kehadiran Najib di Semenyih akan menjadi faktor besar seperti di Cameron Highlands kerana Pahang merupakan kubu beliau. Di Selangor, sentimennya berbeza.”

Bagaimanapun kata Kamarul, isu nasional yang kerap di bangkitkan Najib sangat penting, dan kaedah penyampaian beliau juga berkesan.

“Ini boleh membantu calon BN, terutamanya apabila pemimpin kerajaan tidak melihatnya secara serius dan terus menyerang beliau dengan isu 1MDB. Rakyat kini lebih berminat untuk tahu apakah yang boleh PH lakukan mengenai kehidupan harian mereka,” katanya.

Kamarul berkata, PPBM akan menghadapi kesukaran bukan sahaja kerana sokongan pengundi Melayu dikatakan merosot, tetapi juga disebabkan sikap tidak peduli pengundi bukan-Melayu, yang memainkan peranan utama dalam memenangkan PH tahun lepas.

“Perlu disedari bahawa pengundi bukan-Melayu tampak tidak berminat untuk keluar mengundi beramai-ramai dalam PRK,” katanya.

Kegagalan mendapat undi bukan-Melayu yang mencukupi akan membawa bencana kepada PPBM kali ini, kata Kamarul.

“Ini kerana, tidak seperti pilihan raya umum Mei lepas, PAS kini tidak ada untuk memecahkan undi,” katanya.

Malah kata Kamarul, PSM, yang mendapat undi terendah Mei lepas, boleh juga berperanan sebagai “pengacau” bagi PH dengan menarik undi bukan-Melayu, terutamanya pengundi India yang mewakili 14% pengundi di Semenyih.

Kamarul bagaimanapun berkata, keputusan PRK Semenyih tidak boleh digunakan sebagai kayu ukur sokongan orang Melayu kepada PPBM di seluruh negara.

Sebaliknya kata beliau, ia (keputusan PRK Semenyih) lebih merupakan ujian sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan kerajaan negeri, terutamanya apabila isu tempatan dibangkitkan dalam PRK itu kelak.

Dengan 45% daripada pengundi di Semenyih berumur kurang 40 tahun, Kamarul percaya faktor calon muda adalah penting.

“PH dan Umno perlu meletakkan calon yang kuat. Muka baru yang terpelajar, berani dan boleh bersuara untuk kepentingan orang Melayu.”

Saturday, February 2, 2019

Perjuangan 2 Mac di Semenyih

Dr Rais Hussin 
Diterbitkan Hari ini 10:32 pagi 


ULASAN | Dengan kira-kira 68 peratus pengundi Melayu di Semenyih, pilihan raya kecil (PRK) pada 2 Mac ini akan dimanfaatkan oleh Umno dan PAS sebagai kunci untuk mereka kembali berkuasa melalui PRU ke-15 pada 2023 - ataupun lebih awal.

PH yang tersungkur dalam PRK Cameron Highlands baru-baru ini wajar bermuhasabah dan kembali bangkit dengan penuh kewaspadaan untuk PRK Semenyih ini.

Sebagai mukadimah, PH kini merupakan kerajaan persekutuan. Meskipun BN dan Umno - dan PAS - menyebabkan Putrajaya berada dalam keadaan kontang tanpa sebarang modal pentadbiran, mereka secara berterusan menyalahkan PH dengan dakwaan gagal melunaskan janji manifestonya.

Ini merupakan tuduhan yang tidak berasas. Mengapa? Kerana bukankah PH telah menggerakkan segala usaha untuk menangkap dan membanteras sekalian penyamun yang merosakkan negara ini dan sebahagiannya bakal berdepan dengan pertuduhan jenayah dalam masa terdekat?

Usaha itu sahaja merupakan antara pencapaian PH dan Malaysia Baru. Tanpa perubahan demokratik berlaku pada 9 Mei 2018 tidak mungkin kerajaan baru dapat meneliti hutang negara yang sedang bertimbun.

Hutang negara berjumlah AS$250.6 bilion (RM1,025 bilion) dan sedang meningkat naik. Ia merupakan hampir 80 peratus daripada keluaran negara kasar.

Dengan ketidakpastian mengenai jumlah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang sedang mereput hasil daripada lembaran imbangan yang semakin teruk, bagaimanakah Malaysia lama boleh jadi lebih baik melainkan ia diletakkan di bawah PH?

Tak boleh biar terlepas

Ada tiga sebab mengapa Melayu dan Islam tidak pernah diabaikan.

Pertama, bukankah BN dan Umno - dengan sokongan daripada PAS - yang menyebabkan Malaysia terjerut dengan Goldman Sachs?

Goldman Sachs pula - yang dipengaruhi oleh pelobi-pelobi Israel di AS - berusaha untuk mencuci tangannya daripada membayar sebarang pampasan kepada Malaysia sebaliknya sekadar “memohon maaf.”

Umno dan PAS tidak boleh dibiarkan terlepas daripada kesalahan terkait dengan Goldman Sach dan/atau Israel. Mereka bekerjasama dengan individu seperti Jho Low.

Begitu juga dengan Hollywood - satu lagi entiti yang begitu dipengaruhi oleh kepentingan Israel - yang mencuci segala salah laku dalam 1MDB dan 1MDB-1MDB mini lain.

Adakah ini yang diajarkan dalam Islam? Tentu saja tidak. Islam memerintahkan agar ditegakkan kebenaran dan keadilan. Namun Umno dan PAS sering memesongkan mesej asasi dalam Islam ini.
Kedua, bukan sahaja tidak sesekali akan mengabaikan ajaran Islam, sebaliknya PH sedang berusaha untuk memastikan segala hal ehwal ekonomi dan suasana politik diuruskan secara bersih dan dengan itu membenarkan nilai-nilai murni dalam Islam diterapkan.

Hanya apabila nilai kesejagatan Islam dibenarkan untuk memainkan peranan utamanya, Malaysia akan menjadi satu daripada negara terbaik di dunia.

Ambil contoh krisis ekonomi yang melanda Turki di antara September hingga akhir tahun lalu.

Turki ampuh mendepani cabaran dan rintangan krisis kewangan kerana presidennya, Recep Tayyip Erdogan, tetap berdiri teguh menghadapi situasi yang mencabar itu.

Masa memberitahu Umno

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mungkin tidak mampu menghasilkan keajaiban ekonomi untuk menyelamatkan Malaysia dalam sekelip mata, namun hakikatnya tiada seorang pun yang mampu saat hubungan dagangan China-AS ketika ini sedang dirundung malapetaka.

Dalam keadaan ini, kunci utamanya ialah mengekalkan kestabilan.

Ketiga, pada saat PH sedang menyelamatkan Malaysia daripada terjerumus ke dalam perangkap hutang, PAS dan Umno - hatta MCA juga - menzahirkan hasrat mereka agar kerajaan meneruskan projek Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang akan menelan kos lebih RM100 bilion lagi.

Adakah tindakan sedemikian diterima akal?

Oleh itu, PRK Semenyih mesti dilihat sebagaimana ia sewajarnya dilihat, iaitu: sebagai satu hari untuk para pengundi - yang rata-rata berbangsa Melayu - memberitahu kepada Umno dan PAS bahawa permainan politik mereka sudah berakhir.

Pengundi Melayu tidak akan termakan dengan umpan berupa hadiah serta retorik agama serta perkauman seperti yang Umno dan PAS laungkan.

Mari bersama-sama menghantar isyarat yang jelas bahawa Semenyih bukanlah pro-PH, tetapi pro-Malaysia Baru meskipun pakatan yang memerintahnya tidak bersifat sempurna.

Namun pakatan yang bersih tetap jauh lebih baik berbanding pakatan yang berterusan melontarkan berbagai tuduhan dan menggunakan taktik jahat untuk kembali berkuasa, tanpa mempunyai apa-apa untuk ditawarkan.

DR RAIS HUSSIN ialah pengerusi Biro Dasar dan Strategi Bersatu.

Tulisan ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Friday, February 1, 2019

PH `genggam' Semenyih!

MyMetro
Irwan Shafrizan Ismail dan Zanariah Abd Mutalib
cnews@com.my


Pakatan Harapan yakin akan dapat majoriti undi Melayu di Semenyih termasuk undi dari kaum-kaum lain juga.

Tun Dr Mahathir Mohamad yakin Pakatan Harapan (PH) mampu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih melainkan ada sesuatu ‘luar biasa’ dibawakan UMNO dan PAS.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH berkata, jika diambil kira majoriti kemenangan PH di Semenyih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu dan kerjasama yang bakal wujud antara UMNO dan PAS nanti, majoriti dimenangi calon PH kira-kira 1,000 undi sahaja.

Beliau berkata, pihaknya sedar bahawa kemenangan PH tipis dahulu dan sudah mengatur beberapa cara untuk mengatasinya.

“Kami juga yakin akan dapat majoriti undi Melayu di Semenyih termasuk undi dari kaum-kaum lain juga. Kemenangan kita dahulu adalah kerana rakyat kecewa dengan pemerintahan lama.

“Bagaimanapun, tumpuan rakyat kini bukan kepada kesalahan lama tapi rakyat nak lihat kejayaan kita selepas ambil alih kerajaan.

“Kita akan jelaskan kepada rakyat apa yang kita sudah lakukan, sedang lakukan dan akan kita lakukan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya tadi.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya dari PH, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU-14 yang lalu, Bakhtiar mengetepikan penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abdul Aziz serta dua calon lagi iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengalahkan Johan daripada UMNO yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

PRK Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU-14. Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac depan bagi tarikh mengundi PRK DUN Semenyih.

Selain itu Dr Mahathir mengumumkan pelantikan Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihanraya PH.

Mengulas mengenai prestasi PH di PRK Cameron Highlands, Dr Mahathir berkata, pihaknya mendapati undi PH di PRK itu meningkat walaupun kalah.

Katanya, undi yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) sebenarnya berkurangan dan mereka menang disebabkan gabungan dengan PAS.

“Parti BN menang kerana ada gabungan antara parti PAS iaitu parti Islam dengan parti kafir UMNO. Sekarang ini parti islam (PAS) dan kafir (UMNO) sudah bekerjasama jadi dapatlah mereka skor kemenangan bagi calon mereka.

“Ini kita perlu ingat kerana pada masa hadapan, parti Islam dan kafir ini akan bekerjasama untuk dapat kemenangan di dunia namun, di akhirat kita belum tahulah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 8:07 PM

Thursday, January 31, 2019

'PRK Semenyih penentu hala tuju kerjasama PAS-Umno'

N Faizal Ghazali
Diterbitkan Hari ini 8:00 pagi


Penganalisis politik berpendapat hala tuju kerjasama antara PAS dan Umno akan lebih jelas selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih.

Malah menurut Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Rusdi Omar, kerjasama antara kedua-dua parti itu bergantung pada keputusan PRK yang akan berlangsung 2 Mac ini.

"PRK Semenyih akan menjadi kayu ukur sejauh mana kerjasama itu dapat diteruskan. Jika pembangkang menang kemungkinan besar kerjasama itu akan berterusan, sebaliknya akan berlaku sekiranya mereka kalah.

"Saya tak nampak kerjasama PAS dan Umno boleh bertahan lama sekiranya mereka mengalami kekalahan dalam PRK Semenyih nanti.

"Kalau kita melihat kepada tiga PRK di Selangor yang lalu menunjukan bahawa rakyat Selangor masih bersama dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk di kawasan majoriti Melayu walaupun sudah wujud kerjasama PAS dan Umno pada peringkat awal," katanya kepada Malaysiakini.

Kerjasama antara PAS dan Umno yang merupakan dua parti besar dalam blok pembangkang dilihat sebagai antara faktor penting yang membolehkan BN mempertahankan kerusi parlimen Cameron Highlands pada PRK 26 Jan lalu.

Bagaimanapun Rusdi berkata, berdasarkan rekod lampau dan prinsip perjuangan kedua-dua parti, masih terdapat ketidakpastian sama ada hubungan kerjasama tersebut mampu bertahan.

Katanya, jika dilihat sejarah hubungan kedua-dua parti ini menunjukkan mereka tidak boleh kekal lama kerana masing-masing mempunyai kepentingan tertentu selain ideologi politik yang berbeza.

"Keadaan ini agak sukar untuk mereka bekerjasama dalam jangka masa panjang. Kalau kita tengok sejarah kerjasama PAS dan parti-parti lain di Malaysia juga tidak menunjukkan hasil yang baik dan berakhir seperti layang-layang putus tali.

"Konflik antara kedua-dua parti kemungkinan besar akan berlaku nanti apabila mereka nak buat pembahagian kerusi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) terutama di negeri-negeri yang mempunyai majoriti pengundi-pengundi Melayu," jelasnya.

Bersifat spontan

Sementara itu bagi Pensyarah Kanan Sekolah Perdana Univeristi Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berkata, kerjasama kedua-dua parti itu yang terjalin kini berlaku secara spontan ekoran isu-isu yang wujud selepas pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, PAS dan Umno kini menemui titik persamaan melalui pemahaman terhadap isu-isu melibatkan Melayu-Islam.

"Antaranya apabila mereka sama-sama melihat kerajaan PH ini dikawal oleh DAP. Jadi dalam situasi Umno tertekan, berlaku perpecahan dan keluar parti, Umno melihat sangat penting untuk mereka bekerjasama dengan PAS pada masa sekarang.

"PAS juga melihat isu-isu survival Melayu-Islam ini sesuatu yang perlu mereka tangani, saya melihat hubungan PAS dan Umno buat masa ini satu simulasi bersifat spontan.

"Jadi kerjasama yang terjalin sekarang ini berasaskan isu yang berlaku sekarang. Bukan disebabkan oleh dua parti ini mempunyai dua titik persamaan dalam konteks perjuangan antara dua buah parti," katanya.

Tambah Dr Mazlan, kelangsungan kerjasama PAS-Umno itu perlu dilihat dan mengambil kira aspek sejarah hubungan kedua-dua parti.

"Saya lihat isu survival di sini, maksudnya PAS keluar gabungan BN pada 1978 itu sebenarnya berpunca daripada pergelutan antara dua parti itu sendiri.

"Ini kerana, PAS dan Umno adalah dua parti yang bersaing sesama mereka dan pengaruh yang mereka rebut adalah segmen sama iaitu pengundi-pengundi Melayu," jelasnya.

Justeru, kata Mazlan, persoalan kerjasama hari ini kekal atau tidak bergantung kepada isu-isu yang dibawa oleh kedua-dua parti berdasarkan situasi politik semasa.

Bertahan jika ada kepentingan

Sementara itu, bagi Profesor Madya Dr Awang Azman Pawi hubungan erat PAS dan Umno boleh bertahan selagi masing-masing masih mempunyai kepentingan antara satu sama lain.

Pensyarah Universiti Malaya itu berkata, Umno memerlukan PAS untuk mendapatkan sokongan dalam bentuk undi bagi memastikan kerusi-kerusi majoriti tipis pada PRU lepas dapat dikekalkan.

"PAS pula memerlukan Umno sebagai rakan sekutu baru bagi menggerakkan kerjasama untuk menentang musuh bersama mereka pada masa kini iaitu PH.

"Selagi tidak ada konflik timbul, selagi itulah kerjasama akan terus dapat berlangsung.

"Konflik boleh berlaku sekiranya berlaku isu seperti perebutan kawasan untuk ditandingi di peringkat PRK, pemilihan calon yang paling layak untuk bertanding, isu percanggahan ideologi dan pendirian politik," katanya.

Tambah Awang Azwan, situasi sekarang menyaksikan PAS mampu diyakini oleh Umno bahawa kerjasama ini bermanfaat dan penting untuk orang Melayu dan Islam.

"Penyokong PAS dan Umno berjaya diyakini melalui kempen politik yang memberi gambaran bahawa DAP sangat jahat dan bermaharajalela dalam PH. Naratif bersifat politik ini berjaya mencetuskan sentimen antiDAP setakat ini selepas PRK cameron Highland," ujarnya.

Wednesday, January 30, 2019

PRK Semenyih: PH tidak akan main isu perkauman - Anwar

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR:  Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Harapan (PH) bersedia berdepan kerjasama UMNO-PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac ini dengan kemungkinan mereka memainkan sentimen perkauman dan agama untuk meraih undi.

Presiden PKR itu berkata, PH tidak akan memainkan isu perkauman tetapi sebaliknya akan memberi penekanan kepada penyampaian janjinya untuk membantu meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

“Saya optimis kami mempunyai dasar yang betul, turun ke akar umbi untuk berkhidmat kepada rakyat, kami berupaya untuk melaksanakannya,” kata Anwar kepada pemberita selepas majlis penutup Forum Ekonomi dan Tinjauan Masa Hadapan Strategik Malaysia 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata isu perkauman yang dimainkan pembangkang menyumbang kekalahan PH dalam PRK Parlimen Cameron Highlands yang diadakan Sabtu lalu.

PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

BERNAMA

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-