Saturday, February 16, 2019

Sultan Johor murka tindakan menteri ceramah di masjid

Diterbitkan Hari ini 9:05 malam


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyatakan rasa murka terhadap tindakan seorang menteri yang dikatakan memberi ceramah di sebuah masjid di Johor Bahru, semalam.

Menurut kenyataan disiarkan di laman Facebook baginda, Sultan Ibrahim mengingatkan bahawa peraturan di semua masjid di Johor tidak membenarkan ceramah diadakan kecuali mendapat tauliah dan kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Sehubungan itu, Sultan Ibrahim bertitah agar pemimpin politik berkenaan yang juga seorang anggota parlimen segera mengadap baginda serta memohon maaf secara bersurat selain tidak mengulangi kesilapan itu.

“Semua masjid di negeri Johor adalah kawasan larangan untuk sebarang unsur politik sejak dahulu lagi. Ini merupakan tradisi negeri Johor.

“Ia adalah tempat beribadah dan menyatukan ummah. Sebarang unsur politik yang dibawa hanya akan memecahbelahkan jemaah, menjejaskan kesucian masjid serta keharmonian masyarakat,” titah baginda kepada Royal Press Office di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru hari ini.

Semalam, tular di media sosial sebuah rakaman video menunjukkan seorang pemimpin politik berceramah di dalam sebuah masjid di Johor Bahru.

Baginda juga bertitah supaya semua Pengerusi dan AJK masjid mematuhi peraturan dikeluarkan Jabatan Agama Johor dan bertanggungjawab untuk memastikan perkara seperti itu tidak berulang.

“Ini adalah amaran terakhir, jangan sampai pisang berbuah dua kali. Saya harap pemimpin tersebut sedar akan kesilapan yang telah dibuat dan segera minta maaf.

“Masjid sebagai rumah Allah dan tempat untuk beribadah hendaklah dipelihara kesuciannya oleh semua umat Islam,” titah baginda.

Terdahulu, Sultan Ibrahim dilaporkan berkenan menerima mengadap Penasihat MAINJ, Noh Gadot dan Mufti Johor, Yahya Ahmad.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-