Saturday, March 16, 2019

DAP beri teguran keras pada Adun Mengkibol

News | Diterbitkan Hari ini 3:07 petang


DAP hari ini memberikan teguran keras kepada Adun Mengkibol, Chew Chong Sin berhubung kenyataannya mengenai serangan pengganas di Christchurch semalam.

Menurut Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, kenyataan Chew itu tidak sensitif terhadap kejadian yang mengorbankan 49 nyawa itu.

“Walaupun Chew telah menarik balik dan memohon maaf sebanyak tiga kali, saya mengakui kenyataan tersebut memberi kesan serius.

“Nasi sudah menjadi bubur dan saya menegur sikap beliau yang tidak sensitif. Parti amat memandang serius insiden ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan awalnya semalam selepas tragedi di Christchurch itu, Chew meluahkan kebimbangan mengenai kerjasama Umno dan PAS yang didakwa menimbulkan naratif berkisar mengenai isu kaum dan agama.
Katanya, kejadian tembakan itu harus menjadi pengajaran kepada Malaysia mengenai perlunya mengekang gejala ekstremisme.

Kenyataan itu bagaimanapun menerima kecaman daripada pelbagai pihak yang menganggapnya sebagai tidak sensitif.

Ekoran daripada itu, Chew menarik balik kenyataan itu atas alasan ia telah menyebabkan "salah faham" dan membuat permohonan maaf sebanyak tiga kali.

"Tujuan asal kenyataan media saya petang tadi (semalam) ialah untuk mengingatkan masyarakat akan kepentingan mencegah keganasan pelampau.

"Dengan hati yang ikhlas, saya meminta maaf atas kenyataan saya itu kerana telah menyinggung perasaan orang ramai, terutamanya masyarakat Muslim," kata Chew.

Mengambil pendirian serupa seperti Setiausaha Agung, Lim Guan Eng, Liew menyatakan DAP mengutuk serangan tersebut yang bukan sahaja mengorbankan banyak nyawa, malah turut mencederakan ramai pihak.

Lim semalam berkata serangan berkenaan bukan sahaja merupakan jenayah ke atas komuniti Muslim di Christchurch, malah jenayah ke atas kemanusiaan secara keseluruhannya.

“Tiada agama yang membenarkan keganasan kepada orang yang tidak bersalah, dan apa yang berlaku bertentangan dengan ajaran semua agama,” kata Lim.

Terdahulu serangan yang dikatakan berlaku di dua masjid dan sekurang-kurangnya enam lokasi berbeza itu mengorbankan 49 nyawa dan menyebabkan berpuluh yang lain cedera.

Serangan ke salah satu masjid disiarkan secara langsung di Facebook dan pelaku juga menyiarkan "manifesto" dalam talian yang mengecam pendatang sebagai "penceroboh".

Susulan itu suspek utama tembakan rambang berkenaan, Brenton Harrison Tarrant yang merupakan seorang warganegara Australia, didakwa atas pembunuhan itu pada hari ini.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern turut menyifatkan kejadian itu sebagai tindakan keganasan dan pembunuhan paling tragis di negara itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-