Thursday, April 11, 2019

Kemenangan PH buktikan keyakinan rakyat

Azzman Abdul Jamal
azzman@bh.com.my

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa berucap di ceramah Pakatan Harapan di Pekan Rantau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Rantau.
 - Foto Saifullizan Tamadi.

SEREMBAN: Kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau penting untuk menentukan hala tuju politik negara serta petunjuk persepsi rakyat terhadap pimpinan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kekalahan PH di PRK Cameron Highlands dan Semenyih, baru-baru ini, membuka mata PH untuk terus bekerja keras memenuhi aspirasi yang diinginkan rakyat.

Katanya, pengundi di Rantau perlu menunjukkan sokongan pada hari mengundi Sabtu ini untuk memberi mesej jelas bahawa mereka menolak pimpinan yang terbabit dalam pelbagai skandal sebelum ini.

“Kita kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dan Semenyih sebab kita terlalu tenang, tetapi kali ini di Rantau kita harap semua keluar mengundi.

“Ini bukan soal calon dari kaum India menyebabkan kaum lain tidak perlu sokong, tetapi untuk selamatkan Malaysia,” katanya ketika berucap pada program ceramah PH sempena PRK berkenaan di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu memberi jaminan bahawa limpahan pembangunan akan dibawa ke Port Dickson akan memanfaatkan daerah sekitarnya termasuk Rantau.

Katanya, pelbagai projek sudah dikenal pasti, antaranya hotel dan taman tema yang akan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

“Ada beberapa projek sudah diluluskan dan saya mahu pembangunan di Port Dickson turut dirasai di Rantau, Linggi sehinggalah ke Melaka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-