Thursday, May 16, 2019

Gabungan Pas-UMNO resipi terbaik menang PRU15

ROSLINDA HASHIM | 16 May 2019


ALOR SETAR - Pas Kedah menyokong sepenuhnya gambaran awal Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu Pas dan UMNO bergabung sebagai ‘resipi’ merebut kerusi pada pertembungan PRU15.

Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, gambaran awal itu juga memudahkan jentera pilihan raya dalam menyusun gerak kerja bersama menghadapi Pakatan Harapan (PH).

“Gambaran awal itu sebenarnya memudahkan jentera pilihan raya Pas menyusun gerak kerja yang lebih mantap dalam merealisasikan impian parti untuk menang PRU15.

"Kerjasama politik melalui kaedah ta'awun Pas dan UMNO itu ternyata menggugat kedudukan PH yang dilihat cuba melaga-lagakan pemimpin kedua-dua parti dengan membangkitkan isu basi seperti takfiri,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Pada Jumaat lalu, Abdul Hadi berkata, Pas dan UMNO akan bergabung menghadapi PH pada PRU15, pada majlis Badar Kubra dan Nuzul Quran di Kompleks Pas Kerdau.

Menurutnya, gabungan itu bakal menawan Putrajaya daripada PH memandangkan Pas dan UMNO sudah bersih dari pemimpin korup selepas beberapa individu bermasalah telah keluar parti dan menyertai PH.

Dalam pada itu, Ahmad Fakhruddin menasihatkan ahli dan penyokong kedua-dua parti itu tidak terpengaruh dengan dakyah pimpinan PH, malah lebih bersemangat mengatur program bersama dan turun padang memperjelas situasi politik kepada rakyat.

“Kerajaan PH sebenarnya cuba mengalih pandangan rakyat daripada memfokus kepada prestasi ekonomi negara yang menjunam selepas peralihan kuasa daripada pentadbiran terdahulu.

"Contohnya, hutang negara meningkat daripada RM686 bilion menjangkau RM700 bilion, nilai ringgit negara lemah serta penarafan pasaran saham bursa paling corot di Asia ketika ini,” katanya.

Menurutnya, PH juga dilihat terkial-kial berusaha menepis persepsi rakyat terhadap dakwaan gejala rasuah yang terpalit kalangan kepimpinan mereka.

“Ini ditambah pula dengan beberapa keputusan pusingan U yang terpaksa diambil kerajaan seperti isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan bebas tol yang nyata menghakis keyakinan rakyat terhadap mereka.

"Saya nak mengingatkan kerajaan PH supaya meningkatkan usaha untuk memenangi hati rakyat berbanding menuding jari mencari kesalahan pembangkang,” katanya.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/28365/BERITA/Politik/Gabungan-Pas-UMNO-resipi-terbaik-menang-PRU15

© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-