Anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam menggesa rakyat Malaysia berbaju serba hitam esok sempena sambutan ulang tahun pertama Pakatan Harapan menerajui negara.
Menamakannya sebagai kempen "Black 905" beliau memberi enam alasan untuk membantah termasuk janji-janji yang tidak ditunaikan dan "kemusnahan" yang dikatakan membabitkan kedudukan istimewa Islam, hak bumiputera, bahasa Melayu dan kedudukan Raja-Raja.
Mengulas perkembangan itu, penganalisis politik Wong Chin Huat berkata beliau teringat bagaimana dirinya ditangkap kerana membuat gesaan yang sama 10 tahun lalu susulan rampasan kuasa ke atas kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Perak.
"Saya gembira ahli politik Umno mengikuti jejak saya untuk membantah terhadap Pakatan Harapan. Saya yakin dia (Lokman) tidak akan ditangkap kerana menyeru orang ramai berpakaian hitam.
"Ini satu peningkatan di bawah PH. Syabas PH," katanya dalam catatan di Facebook.
Wong juga berharap kempen Lokman akan mendapat sambutan.
"Kerana setiap warganegara yang berpakaian hitam dengan motivasi untuk memprotes dan tidak ditangkap oleh polisi adalah bukti kebebasan sivil dan politik susulan pilihan raya terakhir," tambahnya.
Sementara itu, alasan lain Lokman supaya membantah adalah kerana penarikan balik subsidi dan kemudahan yang diberikan semasa pentadbiran BN, serta kemusnahan ekonomi, perpaduan kaum, budaya dan nilai.
“Tidak perlu berhimpun, tidak perlu menjerit.
"Tidak kira di mana anda berada, anda hanya perlu berbaju hitam (sebagai) tanda protes pada 9 Mei ini dan meletakkan gambail profail (pada akaun) Whatsapp, Facebook, Twitter dan Instagram anda," katanya.
Lokman berkata beliau sendiri akan berada di pusat membeli belah Mid Valley di Kuala Lumpur pada petang esok dan mereka yang ingin menyertainya boleh berbuat demikian.
"Hanya 50 peserta pertama akan diberikan T-shirt hitam percuma. Yang lain kena beli atau pakai baju hitam apa sahaja," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.