Saturday, May 4, 2019

Kerani ugut cederakan hingga parah Mufti Perlis kena tangkap

admin
04/05/2019

Suspek guna akaun FB ‘Sandev Sandev’ ditahan di Pulau Pinang

Lelaki 36 tahun ditangkap di Pulau Pinang beberapa jam selepas mengugut mencederakan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

KANGAR, 28 Syaaban 1440H, Sabtu – Individu yang mengugut untuk mencederakan sehingga parah Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam laman Facebook dua hari lepas, diberkas di Pulau Pinang, tengah malam semalam.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, suspek ditahan di rumahnya di Gelugor, Pulau Pinang kira-kira 12.30 tengah malam.

Beliau berkata, lelaki berumur 36 tahun itu, yang bekerja sebagai kerani, ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis.

“Suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga 6 Mei bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Noor Mushar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dua hari lepas, Mohd Asri membuat laporan di IPD Padang Besar selepas menerima mesej berbaur ancaman dan ugutan yang membahayakan dirinya dalam laman Facebook.

Mohd Asri menerima satu mesej di Facebook daripada individu menggunakan nama ‘Sandev Sandev’ kira-kira 6.00 petang dua hari lepas, yang turut mengancam untuk memukulnya sehingga cedera parah.

Suspek turut memberi nombor telefon bimbit dan meminta Mohd Asri menghubunginya.

Noor Mushar berkata, suspek turut meminta alamat Mohd Asri bagi membolehkannya memukul mufti itu. 

Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-