Saturday, May 4, 2019

TMJ di hati pendemo

News | Diterbitkan Hari ini 12:57 tengahari

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) sekali lagi menggerakkan orang ramai untuk turun berhimpun di ibu negara, kali ini bagi menyertai himpunan "mempertahankan kedaulatan Islam".

Perhimpunan yang dikatakan sudah mendapat kelulusan pihak berkuasa itu dijangka bermula pada jam 2 petang nanti dan dijadualkan berakhir sekitar jam 6 petang.

Ummah yang mengetuai himpunan itu akan bermula di Masjid Jamek selepas solat Zuhur dan akan berakhir di Sogo yang akan menghimpunkan kesemua pemimpin NGO dan parti politik terbabit.
Ia merupakan himpunan kedua dianjurkan Ummah yang merupakan gabungan NGO Islam setelah kejayaan perhimpunan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) tahun lalu.

Program anjuran Ummah itu turut mendapat sokongan pemimpin Umno dan PAS yang telah menyatakan kesediaan untuk mengerahkan anggota parti masing-masing.

Menurut Timbalan Pengerusi Ummah Kamaruzaman Mohamad, perhimpunan hari ini akan menyentuh isu-isu semasa yang didakwa mengancam kedaulatan negara dan kedudukan agama Islam, seperti Statut Rom, kematian anggota Bomba dan pelbagai isu lain yang bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Ia ditambah lagi dengan penahanan pendakwah bebas, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu yang didakwa menghina agama Hindu.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin dalam satu wawancara minggu lalu menegaskan pihak berkuasa tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menghina agama selain menyifatkan perhimpunan berkenaan sebagai usaha untuk menghasut umat Islam di negara ini.

LANGSUNG

2.20pm: Sogo - Kira-kira 700 orang berhimpun sambil duduk di Jalan Tuanku Abdul Rahman berdekatan dengan Sogo sementara menunggu peserta perhimpunan yang sedang berarak dari Masjid Jamek tiba.

Dalam tempoh menunggu itu, peserta perhimpunan mendengar ucapan dari Sekreteriat Perhimpunan Ummah mengenai sebab mereka berhimpun hari ini.

Mereka juga menyanyikan lagu kebangsaan, Negaraku.

Cuaca di hadapan Sogo agak mendung namun peserta tetap berganjak dari terus mendengar ucapan berkenaan.

TMJ di hati pendemo

2.13pm: Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim popular di kalangan peserta hari ini.

Ramai yang membawa poster dan plakad memuji putera raja itu yang dilihat tidak berlaga angin dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad,terutamanya dalam isu Statut Rom.

Peserta mula berarak

1.52pm: Sogo - Laungan “Daulat Tuanku” dan “ Allahuakbar” bergema di hadapan pusat beli belah Sogo oleh peserta perhimpunan Ummah.

Kira-kira 400 peserta perhimpunan dari Umno dan PAS mula membanjiri hadapan pusat membeli belah itu.
Sementara itu bekas ketua Pemuda Umno Wilayah, Mohd Razlan Rafii dalam ucapannya berkata antara sebab mereka berhimpun hari ini kerana arwah anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim tak dibela.

“Hari ini hari bomba, sepatutnya bersama Bomba, bersama tunang tapi beliau mati sia-sia, kalau kita tak pertahankan siapa nak (pertahankan),” katanya sambil menerima sorakan peserta perhimpunan itu.

Orang ramai dijangka bakal bertambah kerana ingin mendengar kumpulan busking menyanyi kurang 10 meter dari peserta perhimpunan Ummah berkumpul.

Malaysiakini difahamkan seramai 30 anggota trafik mengawal lalu lintas sepanjang perhimpunan ini berlangsung.

Dianggarkan seramai 60 anggota polis dari pelbagai balai polis seperti Sentul, Dangi dan Cheras mengawal keadaan hari ini.

Selain itu seorang anggota unit amal memaklumkan seramai 200 anggotanya mengawal perjalanan perhimpunan hari ini.

Keadaan trafik di hadapan Sogo agak sesak namun terkawal dengan bantuan polis trafik.

Peserta mula berarak

1.50pm: Masjid Jamek: Peserta Himpunan sudah mula bergerak ke pusat beli-belah Sogo sambil melaungkan “Hidup Islam”, Bangkit Ummah dan Hidup Islam.

KL akan penuh, kata Lokman

1.14pm: Sogo - Kira-kira 50 orang berkumpul di hadapan pusat beli belah Sogo dengan memakai kemeja-t putih dengan tulisan “Daulat tuanku rakyat bersama tuanku” yang memaparkan gambar raja-raja Melayu.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam yang turut bersama kumpulan berkenaan tidak boleh menjangkakan berapa ramai yang akan turun hari ini.

“Kita tak boleh jangka tapi bakal penuh.

“Seluruh Malaysia kita dah buat seruan suruh orang datang,” katanya.

Kebanyakan yang hadir tidak melepaskan peluang untuk berswafoto dengan Lokman.

Turut kelihatan beberapa gerai dibuka menjual kemeja-T dan mafla dengan tulisan “penyatuan ummah” dan “himpunan perpaduan Ummah”.

[Laporan langsung menyusul]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-