Monday, May 20, 2019

Rasuah alat kereta kebal: Datuk Seri direman 4 hari

Bernama


Seorang lagi suspek direman berhubung siasatan kes menerima suapan bagi projek pembekalan peralatan kereta kebal milik agensi pertahanan negara bernilai RM17 juta.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman selama empat hari terhadap lelaki bergelar Datuk Seri itu bermula hari ini sehingga Khamis selepas mendengar permohonan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Terdahulu suspek berusia 39 tahun tiba di mahkamah kira-kira jam 9.45 pagi dengan berbaju lokap SPRM dan tangan bergari.

Pemilik syarikat pembekal peralatan alat ganti kereta kebal itu ditahan kira-kira jam 11 malam semalam selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Penahanan lelaki terbabit menjadikan orang yang direman bagi membantu siasatan kes berkenaan bertambah kepada tiga orang setakat ini.

Sebelum ini, seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) dan seorang lagi ketua pegawai kewangan (CFO) wanita sebuah syarikat swasta juga direman membabitkan kes sama.

Media melaporkan, CEO lelaki bergelar Datuk bersama CFO berkenaan disyaki menerima suapan berjumlah ratusan ribu ringgit daripada beberapa syarikat berkaitan penganugerahan projek pembekalan peralatan kereta perisai AV8 dan Adnan antara 2014 sehingga 2017.

Menurut sumber, SPRM merampas beberapa beg tangan mewah dan mata wang asing di kediaman CEO berkenaan.

CEO berusia 45 tahun dan CFO berusia 53 tahun itu dilaporkan ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM pada 12 Mei lepas.

Wanita terbabit direman selama empat hari dan dibebaskan pada 16 Mei lepas, manakala CEO lelaki dibebaskan hari ini.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-