Saturday, May 11, 2019

Tahun kedua sebagai pembangkang, UMNO terus muhasabah

Ku Syafiq Ku Fozi
11 Mei 2019 10:03 PM

Kuala Lumpur 11 Mei 2019- Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta ahli-ahli UMNO mengaminkan doa selepas menunaikan solat hajat pada Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO ke 73 dan Majlis Berbuka Puasa di PWTC, disini hari ini.
GAMBAR: ABD RAZAK AIDPEMBERITA: KU SYAFIQ FARHANA (UTUSAN)

KUALA LUMPUR 11 Mei - Setahun lalu, UMNO menyambut ulang tahunnya dalam keadaan terkejut.

Ramai yang ‘terduduk’ menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila buat pertama kali dalam tempoh 72 tahun penubuhannya, parti itu tewas.

Ramai ahli UMNO buntu dengan masa depan partinya dan proses ‘menelan’ kenyataan itu bukan mudah, sehingga berlaku kekecohan dalam sambutan yang dikenali sebagai Hari UMNO itu.

Tahun ini, UMNO semakin terbiasa dengan peranannya sebagai pembangkang. Sambutan yang biasanya disambut meriah kali ini lebih sederhana.

Sesuai dengan sambutannya dalam bulan Ramadan, pengisian Hari UMNO ke-73 tahun ini lebih tertumpu kepada usaha mengeratkan hubungan sesama ahli melalui ibadah dan tidak keterlaluan jika dikatakan, malam ini seluruh ahli UMNO sedang bermuhasabah diri.

Bermula dengan program tadarus al-Quran kelolaan Pergerakan Wanita dan sesi sumbang saran idea tentang penubuhan Jawatankuasa Pembela Kebajikan Peneroka dan Pekebun Kecil (Pembela) anjuran Pergerakan Pemuda pada sebelah petang, sambutan itu ditutup dengan solat sunat tarawih berjemaah.

Paling menarik adalah ucapan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan. Tidak ada kata kejian terhadap lawan mahupun ceramah panjang tentang politik.

Yang ada hanyalah pesanan kepada ahli supaya terus memegang erat teras perjuangan UMNO iaitu agama, bangsa dan tanah air.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang mesra dipanggil Tok Mat itu juga berpesan supaya ahli UMNO menjaga tingkah laku kerana imej buruk yang dibawa UMNO akan turut memberi tempias kepada bangsa Melayu, memandangkan parti itu parti utama orang Melayu.

Mesej yang disampaikan Tok Mat jelas. Walaupun UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang beberapa siri pilihan raya kecil baru-baru ini, proses muhasabah perlu diteruskan.

Ahli UMNO perlu diingatkan tentang imej buruk parti itu yang membawa kepada kekalahannya dalam PRU-14.

Seharusnya UMNO tampil dengan imej baharu yang lebih bersih menjelang PRU-15 supaya keyakinan rakyat dapat dikembalikan.

Begitulah intipati sambutan Hari UMNO ke-73 yang tenang dilatari lagu ketuhanan dendangan Opick dan Maher Zain. Muhasabah, berubah dan kembali dengan kekuatan yang memustahilkan mereka untuk kalah. 

- UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-