Wednesday, June 26, 2019

Zahid kena 40 tuduhan

MyMetro
Skuad Khas Harian Metro
am@hmetro.com.my

ZAHID

KUALA LUMPUR:   Bekas Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka berdepan sekurang-kurangnya 40 tuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Seksyen 165, Kanun Keseksaan.

Sumber memberitahu Harian Metro, Ahmad Zahid berdepan tujuh tuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini manakala baki tuduhan akan dilakukan di Mahkamah Seksyen Shah Alam, esok.

“Pertuduhan dilakukan kerana Ahmad Zahid didakwa menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan wang sogokan daripada syarikat swasta yang diberi hak eksklusif membawa masuk pelancong China ke Malaysia,” kata sumber itu.

Menurutnya, selain Ahmad Zahid, beberapa pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga akan didakwa kerana menerima wang sogokan daripada syarikat sama.

“Pendakwaan pegawai (JIM) akan berlangsung dalam masa terdekat. Kita selesaikan dulu kes Ahmad Zahid,” katanya tanpa menjelaskan jumlah wang sogokan diterima beliau.

“Biar proses mahkamah mendedahkannya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, suruhanjaya itu sudah mendapat keizinan daripada Pejabat Peguam Negara bagi melakukan pendakwaan terhadap Ahmad Zahid mengikut Seksyen 16(a)(B), Akta SPRM 2009 dan Seskyen 165, Kanun Keseksaan.

“Ahmad Zahid yang hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, jam 10 pagi semalam (kelmarin) turut ditahan sebelum beliau dibebaskan dengan jaminan.

“Kehadiran beliau bagi melengkapkan siasatan akhir kes rasuah membabitkan Sistem Visa Luar Negara (VLN). Ahmad Zahid akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu sebelum dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Khamis,” katanya.

Untuk rekod, penyelewengan membabitkan syarikat terbabit yang berkait langsung dengan Ahmad Zahid didedahkan Harian Metro melalui laporan eksklusif bertajuk Beruk Boleh Mohon pada 14 November 2018 dan wartawan akhbar ini ke Guangzhou, China bagi melihat operasi dilakukan syarikat terbabit.

Laporan itu mendedahkan syarikat swasta yang diberi hak ekskusif mengendalikan kemasukan pelancong China ke Malaysia tidak melaksanakan tanggungjawab dalam melakukan tapisan keselamatan.

Cubaan wartawan memberikan identiti palsu kepada seekor beruk juga diluluskan pengendali sistem berkenaan kurang lima minit selepas pembayaran dibuat.

Laporan itu mendedahkan sejak eNTRI diperkenalkan Mac 2016 hingga September 2018, syarikat itu mengutip lebih RMB329,337,280 (RM198,066,952) membabitkan kelulusan permohonan kepada 2,058,358 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 6:30 AM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-