Saturday, July 13, 2019

DEB perlu dihapuskan, tak mapan buat jangka panjang, kata Anwar

Vinodh Pillai
-July 12, 2019 10:26 PM

Anwar Ibrahim berkata, Malaysia perlu maju sebagai sebuah keluarga besar dan golongan miskin tidak akan diabaikan jika DEB dimansuhkan.

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata Dasar Ekonomi Baru (DEB) berasaskan kaum perlu dihapuskan kerana ia tidak mapan untuk jangka panjang.

“Selepas 60 tahun merdeka, kita jelas mengiktiraf peruntukan di bawah Perlembagaan mengenai keistimewaan orang Melayu, Islam sebagai agama persekutuan, bahasa kebangsaan dan kedaulatan raja.

“Tetapi, kita tahu negara perlu maju sebagai sebuah keluarga besar,” katanya selepas menghadiri satu acara di sini, malam ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, “jika kita perlu membantu melalui tindakan afirmatif”, ia perlu dibuat menerusi dasar berasaskan keperluan, bukannya kaum.

“Orang miskin yang memerlukan bantuan mesti dibantu, tidak kira dia Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan.

“Tetapi, kita perlu menunjukkan empati secukupnya untuk memastikan rakyat sedar pemansuhan DEB tidak bermakna orang miskin…mereka di kawasan luar bandar atau golongan miskin di bandar…akan (diabaikan).

“Saya kekal yakin ia (perubahan ini) adalah petanda baik untuk Malaysia.”

DEB ialah program tindakan afirmatif yang dirangka selepas rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Ia dilaksanakan pada 1971 untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula struktur ekonomi negara bagi menghapuskan identiti etnik dengan fungsi ekonomi.

Ia turut menyasarkan pegangan ekonomi Bumiputera sehingga 30%.

Pada 1 September 2018, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, DEB yang diasaskan untuk membantu orang Melayu dan Bumiputera disalahgunakan sehingga merugikan bangsa itu sendiri.

Perdana menteri itu memberi contoh penjualan permit import (AP) kepada pihak lain disebabkan sikap segelintir Bumiputera cuba mengaut keuntungan cepat.

Terdahulu, pada 24 Julai 2018, Menteri Hal Ehwal Eknomi, Azmin Ali dilaporkan berkata, kerajaan akan mengkaji semula DEB berdasarkan keperluan, bukannya bangsa bagi memastikan dasar kerajaan dibuat mengikut permintaan serta aspirasi rakyat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-