Wednesday, July 24, 2019

Lembaga Disiplin PKR seru berdamai selepas gesaan panggil Farhash

Mohamad Fadli
-July 24, 2019 12:05 PM

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kasim.

PETALING JAYA:  Lembaga Disiplin PKR enggan mengulas sama ada Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak akan diambil tindakan atau tidak selepas mendapat gesaan daripada beberapa pimpinan PKR.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kasim sebaliknya mengajak semua ahlinya berdamai dan memberi nasihat supaya tidak memecah belahkan parti itu.

“Tidak boleh komen. Pengerusi disiplin (PKR) tak nak komen.

“Saya nak mendamaikan. Marilah kita sama-sama mendamaikan, jangan pecah belah dan mari kita harmonikan,” katanya kepada FMT.

Sebelum itu, Ketua Wanita PKR Haniza Talha berkata Farhash sepatutnya diambil tindakan disiplin oleh parti kerana mengeluarkan tuduhan terbuka di khalayak ramai terhadap Timbalan Presiden Azmin Ali.

Haniza berkata kenyataan Farhash sejurus dibebaskan daripada tahanan polis bertentangan dengan seruan Presiden Anwar Ibrahim sewaktu temu rapat, supaya mengukuhkan disiplin dan perpaduan parti.

Sementara itu, Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh Afif Bahardin berkata, sewajarnya Farhash percaya kepada sikap profesionalisme polis dan menyerahkan isu dibangkitkannya itu kepada pihak berkuasa.

Semalam, Farhash yang juga merupakan setiausaha politik Anwar melaungkan “Azmin semburit” sewaktu mengakhiri ucapannya di hadapan IPD Dang Wangi.

Farhash sebelum itu menyeru polis menahan Azmin bagi mengesahkan kredibiliti siasatan yang dilakukan selain mempersoalkan keperluan pihak berkuasa menahan remannya selama 8 hari.

Perkembangan itu mendorong Farhash untuk percaya ada konspirasi dalam peristiwa melibatkan video seks sejenis membabitkan Haziq Aziz dan seorang lagi individu dikatakan mirip Azmin.

Petang ini satu laporan akan dibuat kepada lembaga disiplin PKR ke atas Farhash di Ibu Pejabat parti itu.

Pada 12 Jun lalu, Haziq yang juga bekas ketua Pemuda PKR Santubong menggemparkan negara dengan pengakuan beliau terbabit dalam klip video seks sejenis di sebuah hotel di Sandakan, Sabah.

Haziq menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam video itu. Azmin pula menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu yang disifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-