Wednesday, July 17, 2019

Liew: Tiada maklumat baru untuk siasat semula Taib Mahmud

News | Diterbitkan Hari ini 9:50 pagi


Tiada bukti dan keterangan baru berkenaan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa Yang di-Pertua Negeri Sarawak Abdul Taib Mahmud bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.

Dalam jawapan bertulis parlimen 16 Julai, beliau berkata SPRM ada menerima maklumat daripada Bruno Manser Fund dan Sarawak Report tetapi ia bukan perkara baru.

"Namun isi kandungan maklumat tersebut adalah sama seperti siasatan yang telah dibuka sebelum ini. Ianya bukan keterangan baru untuk membolehkan SPRM membuka kertas siasatan yang baru.

"Sekiranya ada bukti-bukti baru, tiada sekatan kepada SPRM untuk membuka semula siasatan," katanya sambil memaklumkan peguam negara telah mengkaji kes yang dibuka terhadap Abdul Taib dan memutuskan tiada pendakwaan.

Beliau menjawab soalan Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) yang bertanya sama ada Abdul Taib dan individu dan pihak yang dekat dengannya akan disiasat semula berikutan "bukti baru yang dikemukakan atas kerjasama oleh Bruno Manser Fund dan Sarawak Report".

Pada Mei 2018, Bruno Manser Fund menawarkan untuk memberikan maklumat baru kepada SPRM berkenaan dakwaan rasuah terhadap Abdul Taib yang merupakan bekas ketua menteri Sarawak.

Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown juga datang ke Malaysia atas tujuan sama, tahun lalu.

Pada Jun 2018, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan tidak boleh mengambil tindakan terhadap Najib tanpa laporan baru.

Sebulan kemudian, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull berkata pihaknya tidak dapat mengambil tindakan terhadap Taib walaupun membuka 15 kes.

Beliau berkata kes-kes itu dibukat pada 2015 dan 2016, dan siasatan menunjukkan tiada yang dapat dikaitkan dengan Taib memandangkan keputusan dibuat oleh orang lain.

Awal bulan ini, PSM menggesa Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya untuk membuka semula siasatan terhadapnya.

Menjadi ketua menteri sejak 1981 hingga 2014, pentadbiran Taib dipenuhi dakwaan rasuah, penebangan hutan tak terkawal dan penglibatan keluarga dalam projek-projek kerajaaan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-