Monday, July 22, 2019

Pesan Hadi: Jauhi pendakwah jahil murakkab, tentera syaitan

News | Diterbitkan Hari ini 4:55 petang


Kurang dari 12 jam selepas pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin, berdepan bantahan penyokong pembangkang, hari ini Presiden PAS bersyarah panjang mengenai sifat agamawan yang didakwanya dikasihi "musuh".

Kata Abdul Hadi Awang pada ketika ini ada pendakwah yang gigih mencari populariti dan sanggup melakukan apa saja untuk menjual dirinya.

Menurut Abdul Hadi pendakwah terbabit akan mencari "pelanggan" seramai mungkin atau "bergantung" pada dahan yang banyak buah untuk memuaskan keinginan nafsu.

Tanpa menamakan atau mengaitkan kenyataan itu kepada sesiapa, Abdul Hadi berkata, antara ciri pendakwah sebegitu ialah gemar menyebarkan hukum yang dianggap luar biasa pada pandangan orang ramai.

Tujuannya, kata anggota parlimen Marang itu, ialah menarik perhatian umum.

"Ini sikap yang salah - kerana niatnya yang salah - walaupun (mengemukakan) pendapat yang paling kuat dalam perkara cabang, apatah lagi kalau pendapat (dikemukakan itu) yang nyata lemahnya," kata Abdul Hadi.

Tokoh yang kini menjadi presiden PAS paling lama dalam sejarah itu menjelaskan pada zaman sekarang ada pendakwah yang digunakan musuh untuk mencetuskan masalah dalam masyarakat Islam.

"Kadang-kadang dia sendiri tidak sedar dipergunakan (oleh musuh) kerana jahil murakkab (jahil berganda-ganda) dalam urusan dakwah," katanya.

Selamatkan agama dulu

Malam tadi program Wan Ji di Melaka tergendala apabila muncul sekumpulan orang awam - yang juga penyokong pembangkang - membantah ceramah berkenaan.

Bantahan terhadap bekas ulama pelapis PAS itu berlangsung di Masjid ar-Rahman,Kampung Parit Melana di Durian Tunggal. Gerakan Pembela Ummah Melaka didakwa menjadi pihak yang bertanggungjawab membuat bantahan berkenaan.

Bercakap kepada Malaysiakini petang ini, Wan Ji berkata tindakannya yang tekal mengkritik PAS sejak akhir-akhir ini dipercayai mendorong penyokong parti pembangkang bertindak membantah ceramahnya di Melaka malam tadi.

Baca Darah munafik dah ditapis dari PAS, kata penyajak

Untuk rekod Wan Ji sebelum ini pernah menawarkan diri untuk berdebat atau berdialog dengan Ketua Ulama PAS Pusat, Dr Nik Zawawi Salleh, dalam isu 'fatwa' anggota parlimen Pasir Puteh itu mewajibkan kerajaan PH dijatuhkan.

Bagaimanapun kedua-dua mereka tidak bersemuka selepas Nik Zawawi menolak dengan alasan beliau mahu berdialog dengan pihak yang setaraf, bukan dengan “budak-budak jalanan yang menghabiskan masa dengan sia-sia”.

Kata Abdul Hadi pada zaman ini ada kalangan pendakwah yang mencari keredaan musuh Islam sehingga ke tahap 100 peratus.
"Maka dibimbangi dia (pendakwah terbabit) menjadi anggota tentera syaitan yang panjang umurnya itu," katanya.

Sepatutnya, kata Abdul Hadi, umat Islam diselamatkan agamanya terlebih dahulu dengan budaya ilmu.

Namun katanya terdapat pendakwah yang bersikap menjadi hakim yang suka menjatuhkan hukuman dengan mudah tanpa melihat tahap kefahaman Islam seseorang.

Pendakwah sebegitulah, kata Abdul Hadi, boleh digunakan musuh supaya mencetuskan masalah dalaman umat Islam, sehingga berlaku perpecahan dan membawa kepada perang saudara dalam negara.

Katanya, walaupun dakwah itu menjadi kewajipan setiap orang Islam untuk menegakkan agama, namun ia perlu mengambil kira tahap kemampuan pendakwah, selain khalayaknya, serta kaedah yang digunakan supaya benar-benar mejadi penyelamat manusia.

"Maka nyatalah apabila pendakwah itu atau kumpulannya dibiarkan oleh musuh Islam, atau dibela oleh musuh Islam, menandakan adanya kesalahan yang berlaku. Maka muhasabah hendaklah dilakukan terhadapnya (pendakwah terbabit)," katanya.

2 comments:

  1. Jauhi parti yg menggunakan Islam untuk kepentingan peribadi pemimpin ... Mereka ini adalah renters syaitan

    ReplyDelete
  2. Jauhi parti yg menggunakan Islam untuk kepentingan peribadi pemimpin ... Mereka ini adalah renters syaitan

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-