Sunday, August 18, 2019

Demo anti-Lynas bermula dengan lebih 400 peserta

Kow Gah Chie & Ng Xiang Yi
Diterbitkan Hari ini 9:09 pagi


Lebih 400 peserta demontrasi anti-Lynas berhimpun di Taman Gelora Kuantan bagi membantah langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) melanjutkan lesen operasi terhadap kilang pemprosesan nadir bumi itu.

Perhimpunan yang bermula kira-kira jam 8 pagi itu menyaksikan peserta yang hadir membawa plakad dan sepanduk mengecam kerajaan dan menuntut peletakan jawatan Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh dan Anggota Parlimen Bentong, Wong Tack.

Fuziah dan Wong adalah dua tokoh dalam PH yang dikenali sebagai individu yang lantang dalam kempen anti-Lynas sebelum ini.

Sementara itu peserta yang berhimpun turut membawa plakad memaparkan karikatur Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan tulisan berbunyi 'environmental colonialism'.

Satu lagi plakad mengandungi tulisan kaligrafi Cina diangkat oleh Adun Sungai Pelek dari DAP, Ronnie Liu yang memaparkan mesej sarkastik kepada kerajaan persekutuan.

Perhimpunan itu dimulakan dengan acara senaman dan tarian aerobik pada selepas mereka berkumpul di tempat pelancongan terkenal itu sejam lebih awal.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali mengesahkan tiada sebarang kebenaran diberikan untuk penganjuran perhimpunan tersebut.

Beliau berkata ini berikutan kegagalan penganjur memenuhi syarat yang ditetapkan termasuk mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan.

Sementara itu, Pengerusi SMSL Tan Bun Teet memberitahu wartawan bahawa peserta perhimpunan tidak akan membakar manifesto PH, sebaliknya akan mengoyakkan ia pada penghujung perhimpunan tersebut.

Beliau merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan pembakaran manifesto PH oleh peserta demonstrasi anti-Lynas itu tidak akan menyelesaikan masalah.

Kebanyakan yang hadir adalah ahli-ahli NGO Cina dan persatuan alam sekitar.

[Berita penuh menyusul]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-