Wednesday, September 18, 2019

'Bunuh membunuh pun boleh berbaik, inikan Umno-PAS'

Haspaizi Zain 
Diterbitkan Hari ini 8:36 pagi


"Pihak yang pernah bunuh-membunuh pun boleh berbaik, inikan pula Umno dan PAS," kata bekas naib presiden PAS, Nakhaie Ahmad.

Jelasnya taawun siyasi yang terjalin antara dua parti itu disebabkan orang Melayu dan umat Islam tidak dapat menerima perubahan dibawa kerajaan PH.

Perubahan yang dimaksudkan itu, katanya, ialah apabila orang Melayu Islam berasakan hak mereka dan institusi raja semakin terhakis di bawah pentadbiran PH.

"Dua parti ini mewakili orang Melayu, sanggup ketepikan perselisihan yang begitu kronik apabila majoriti Melayu berada dalam keadaan tidak selesa dan rasa tergugat.

"Ini berlaku kerana perubahan politik selepas BN tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, kekalahan BN adalah satu perkara besar," katanya kepada Malaysiakini.

Tambah beliau, isu kafir-mengkafir antara PAS dan Umno sebelum ini sudah tidak relevan dan tidak perlu diungkit lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kerjasama politik yang terjalin secara rasmi antara Umno dan PAS.

Umno dan PAS menandatangani Piagam Muafakat Nasional pada Himpunan Penyatuan Ummah yang berlangsung pada 13 dan 14 Sept lalu.
Detik bersejarah itu disaksikan lebih 2,000 perwakilan dan kira-kira 25,000 ahli serta penyokong kedua-dua parti yang membanjiri sekitar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Terdahulu, hubungan antara kedua-dua parti itu mula menjadi rapat selepas BN tewas dalam PRU ke-14 lalu.

Nakhaie meninggalkan PAS pada 1989 sebelum menyertai Umno.

Setelah menyertai Umno beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) pada 1999 dan bersara pada 2009.

Terserah pada PAS

Bagi Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakob, berkata Umno telah melupakan segala kisah pahit yang tercetus antara parti itu dan PAS.

Katanya, pemimpin PH termasuk Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak perlu campur tangan dalam soal hala tuju Umno dan PAS.

"Terserahlah kepada PAS sama ada mahu menarik balik tuduhan yang mengatakan Umno kafir sebelum ini.

"Bagi Umno kita telah lupakan kisah pahit yang lama dan kedua parti telah menguburkan segala kemarahan dan kebencian ke dalam lautan dan menggantikannya dengan pautan kasih sayang.

"Hakikatnya Mahathir telah nampak penyatuan nasional Umno, PAS merupakan ancaman kepada kerajaan PH yang rapuh dibawah pimpinannya.

"Mahathir dengan sengaja membangkitkan isu kafir dan permohonan maaf oleh PAS dengan harapan untuk menggagalkan piagam dan mengelirukan ahli Umno," jelasnya.

Sementara itu Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad menyifatkan penyatuan ummah yang digerakkan Umno dan PAS selaras tuntutan Islam.

"Kehendak agama supaya umat Islam sentiasa berada dalam keadaan kesatuan dan perpaduan. Tuntutan agama tidak boleh dipandang ringan, kita boleh berbeza pandangan, tetapi tidak boleh berpecah belah.

"Kalau kita kata penyatuan ummah bersifat perkauman, bermakna kita menafikan kehendak al-Quran," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-