Sunday, September 15, 2019

Kerjasama Umno-Pas untungkan Najib, Zahid, penyokong mereka

A.KADIR JASIN

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Piagam yang ditandatangani UMNO dan Pas semalam hanya memberi keutamaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk A. Kadir Jasin berkata, pada mulanya beliau menyangka keputusan dua parti Melayu terbesar itu datangnya daripada Pas ‘bagi memanfaatkan peningkatan kesedaran Islam’.

“Bagaimanapun jelas sekarang dengan ‘ketua’ UMNO di depan, himpunan perpaduan itu diadakan untuk memberi keuntungan kepada individu ini dan penyokong mereka,” katanya dalam akaun Facebook miliknya seperti dipetik portal Free Malaysia Today hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada Najib dan Ahmad Zahid yang kini berdepan beberapa kes rasuah di mahkamah.

Semalam Ahmad Zahid dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menandatangani piagam kerjasama antara dua parti itu dalam Himpunan Perpaduan Ummah yang dihadiri puluhan ribu penyokong kedua-dua parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Kadir menambah, bagi Najib dan Zahid serta penyokong fanatik serta pengampu mereka, perhimpunan itu merupakan kelegaan sementara daripada keadaan sebenar, iaitu pendakwaan rasuah sedang hadapi ketika ini.

Penasihat Khas Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu berkata, Pas ‘diseret’ bagi memberikan keabsahan kepada perhimpunan itu dan sebagai bukti persahabatan rapat antara Abdul Hadi dengan Najib.

“Walaupun Hadi memainkan peranan ‘pembantu’ Najib dan Ahmad Zahid, Pas mungkin mendapat manfaat daripada kerjasama itu kerana kepemimpinan dan akar umbinya yang kukuh.

“Sebelum ini Pas ‘berkahwin’ dengan UMNO berikutan pilihan raya umum 1969. Ia menggunakan kedudukannya dalam kerajaan untuk membuka cawangan parti di kawasan tanah rancangan Felda sehingga menyebabkan UMNO kurang senang.

“Pas ditendang keluar daripada Barisan Nasional pada 1977 oleh Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Hussein Onn,” ujarnya.

Namun begitu kata Kadir, UMNO kelihatan terus berpecah berhubung kerjasama dengan Pas itu.

Menurut beliau, beberapa pemimpin penting parti itu ‘jelas tidak kelihatan’ dalam perhimpunan tersebut. 

- UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-