Friday, October 18, 2019

Bentuk kerajaan tanpa DAP, AMANAH

By EDITOR
-18/10/2019


KERAJAAN baharu perlu dibentuk tanpa DAP dan PAN yang mana boleh membawa negara ini ke arah yang lebih stabil, kata BERJASA.

Presidennya, Datuk Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, beliau menyambut baik idea untuk mewujudkan kerajaan baharu tanpa DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

Idea itu dipercayai dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Kerajaan baharu tanpa DAP dan PAN idea yang bagus dan kita menyokong idea itu kerana keadaan negara yang huru-hara disebabkan oleh permainan politik DAP yang melampau terutama sekali dalam menghilangkan identiti negara,” katanya.

Badhrulhisham berkata, sekiranya idea kerajaan baharu tanpa DAP dan PAN dilaksanakan, ianya tidak akan menjejaskan masalah dari segi politik kaum itu sendiri.

Katanya, kestabilan politik bergantung kepada sejauh mana kemampuan majoriti rakyat di Malaysia terutamanya orang Melayu dengan kerjasama bukan Melayu dalam memimpin negara.

“Sebenarnya sudah jelas sepanjang 62 tahun kita merdeka, rakyat dapat melihat kestabilan politik bergantung sejauh mana kemampuan majoriti rakyat di Malaysia dapat memimpin negara malah keadilan dapat dilaksanakan dengan penyertaan bukan Melayu.

“Saya rasa tidak ada masalah dan ini berlaku sebelum pemerintah PH lagi. Kita lihat dominasi orang Melayu dalam kerajaan PH ini tidak menjadi satu perkara yang kuat, maka negara dalam keadaan cukup menggusarkan banyak pihak, bukan sahaja dari segi politik malah ekonomi juga.

“Justeru, kepimpinan orang Melayu yang juga rakyat majoriti negara ini amat perlu dengan sokongan dan kerjasama bukan Melayu sekali gus akan menjadikan negara kukuh pada masa akan datang,” kata beliau.

Terdahulu, PH menerusi kenyataan mendakwa Hishammuddin menggerakkan pakatan mewujudkan kerajaan baharu tanpa DAP dan PAN. Dakwaan itu dibuat susulan penulisan Hishammuddin dan wawancaranya yang cenderung memberi isyarat akan kembali kepada politik dan pentadbiran berasaskan kaum.

Bagaimanapun, Hishamuddin menafikan dakwaan itu dan menganggap berlaku keretakan dalam parti berkenaan sehingga cuba menjadikan pembangkang sebagai kambing hitam. 

– 18 Oktober 2019.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-