Wednesday, October 23, 2019

Penyebaran komik BRI satu kebetulan yang dirancang, kata Zahid



Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan penyebaran komik berkaitan Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) China ke sejumlah sekolah sebagai "kebetulan yang dirancang".

“Saya fikir penyebaran buku itu bukan sesuatu kebetulan, tetapi kebetulan yang terancang," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Komik berjudul 'Inisiatif Jalur dan Jalan- Meraih Manfaat Bersama (BRI)' karya bekas aktivis DAP Hew Kuan Yau menjadi kontroversi selepas diedarkan kepada sekolah tertentu di Pulau Pinang.

Kementerian Pendidikan kemudian mengeluarkan arahan agar sekolah tidak menerima komik itu. Arahan itu dibidas sekumpulan pemimpin akar umbi DAP.

Dalam kenyataan hari ini, Maszlee menasihatkan mana-mana anggota DAP yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu agar mematuhi semangat "kedaulatan undang-undang" dan "tanggungjawab bersama".

Pada masa sama, beliau menggesa parti itu untuk mendisiplinkan anggota parti itu agar menghormati keputusan kerajaan dan patuh kepada undang-undang negara.

Mengulas perkara itu, Ahmad Zahid berkata beliau menyokong kenyataan Maszlee itu walau "berbeza parti dengannya".

"(Mengambil kira perbezaan parti) Saya tidak patut menyokong kenyataannya, tetapi berlandaskan kebenarana saya fikir apa yang beliau lontarkan itu harus diikuti.

"Jika buku itu tersebar bukan hanya di sekolah, dan menjadi bahan rujukan, ia akan jadi bahan ketawa...Harus dilihat isi kandungan yang bukan hanya ada maksud tersurat, tetapi tujuan tersirat," katanya.

Hari ini Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim dari DAP berkata Hew dan komik itu tiada kaitan dengan DAP, walaupun tidak mengulas berkenaan kata pengantar komik itu yang ditulis setiausaha agung parti itu, Lim Guan Eng.
Sementara itu bekas perdana menteri Najib Razak berkata kewibawaan DAP akan terus terjejas walau pemimpinnya menafikan kaitan parti itu dengan komik Hew.

"Ini kerana orang tidak percaya. Kalau secara langsung mereka sudah terlibat (menerusi prakata yang ditulis Lim) dan nak kata mereka tidak tahu-menahu, ia satu tindakan yang membawa kepada kerosakan kredibiliti DAP," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Beliau juga menyuarakan sokongan kepada keputusan Kementerian Pendidikan yang menyekat pengedaran komik itu di sekolah.

Terbaru, Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mewartakan perintah larangan terhadap komik itu berdasarkan Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Perintah ini menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini adalah dilarang secara mutlak di Malaysia,” kata KDN dalam kenyataan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-