Monday, October 7, 2019

PRK Tanjung Piai: Tun M yakin PH menang jika lawan calon UMNO

Oleh Wan Faizal Ismayatim dan Petah Wazzan Iskandar
bhnews@bh.com.my

Dr Mahathir pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, petang tadi. 
- NSTP/Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) yakin boleh memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai jika Barisan Nasional (BN) meletakkan calon UMNO.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata PH berpendapat pakatan itu juga bergantung kepada parti lawan untuk menang.

Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta UMNO meletakkan calonnya pada PRK berkenaan yang dijadualkan pada 16 November ini.

“Hari ini, kita bincang (berkaitan PRK) Tanjung Piai. Banyak masalah di situ, kita juga berpendapat bahawa kita bergantung kepada parti lawan untuk menang.

“Kita minta supaya mereka letak calon UMNO. Tolonglah supaya kita (PH) boleh menang,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, petang tadi.

Ditanya faktor membuatkan PH yakin menang jika UMNO bertanding PRK berkenaan, Dr Mahathir berkata: "Adalah faktor, tapi tak boleh diterangkan”.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) turut mengesahkan calon PH pada PRK Parlimen Tanjung Piai adalah daripada parti yang diterajuinya.

“Calon belum ditentukan, tetapi daripada BERSATU,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya daripada BERSATU, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 43, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Tanjung Piai, menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandang, Wee Jeck Seng daripada MCA dan Nordin Othman daripada PAS.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-