Showing posts with label PRK Parlimen Tanjung Piai. Show all posts
Showing posts with label PRK Parlimen Tanjung Piai. Show all posts

Sunday, November 17, 2019

Penganalisis jangka Dr M akan didesak berundur selepas PH kalah di Tg Piai

Faiz Zainudin
-November 16, 2019 11:28 PM

Dr Mahathir Mohamad bersama pemimpin PH dalam ceramah perdana gabungan itu di Pekan Kukup, Pontian, pada 13 November lalu.
 (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Penganalisis politik mencadangkan Dr Mahathir Mohamad menetapkan tarikh melepaskan jawatan perdana menteri kerana mereka menjangkakan beliau berdepan tekanan lebih besar untuk berbuat demikian susulan kekalahan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia berkata, kemenangan besar Barisan Nasional di Tanjung Piai sudah dijangkakan berdasarkan perkembangan terkini keadaan politik di bawah pemerintahan PH.

Katanya, tumpuan terarah kepada pentadbiran PH di bawah Mahathir sebagai perdana menteri yang ditambah pula PH meletakkan calon PPBM pada PRK Tanjung Piai.

“Dijangkakan tekanan akan memuncak mendesak Tun Mahathir letak jawatan.

“Belum keluar lagi keputusan rasmi PRK Tanjung Piai, pemimpin veteran PKR, Syed Husin Ali terus mendesak Tun Mahathir melakukan sesuatu dengan segera. Malah, desakan sama juga dijangka datang daripada pemimpin lain,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata, kemenangan BN juga disebabkan faktor calonnya, Wee Jeck Seng yang lebih popular daripada calon PH, selain protes pengundi Cina.

“Lazimnya, pengundi Cina juga akan mengundi calon Cina bila berdepan calon Melayu, ini terbukti dalam PRK Teluk Intan (pada Mei 2014).”

BN merampas kembali kerusi Parlimen Tanjung Piai daripada PH dengan majoriti besar 15,086 undi, di mana Wee mendapat 25,466 undi berbanding calon PH, Karmaine Sardini yang sekadar meraih 10,380 undi.

Calon Gerakan, Wendy Subramaniam mendapat 1,707 undi, Badhrulhisham Abdul Aziz yang mewakili Parti Barisan Jemaah Islamiah mendapat 850 undi, sementara dua calon bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing memperoleh 380 undi serta 32 undi.

Tanjung Piai mempunyai 53,528 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 57% pengundi Melayu, Cina 42% dan India 1%.

Umum tarikh peralihan kuasa

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya yang senada berkata, sudah tiba masanya Mahathir mengumumkan peralihan kuasa secara spesifik susulan keputusan di PRK Tanjung Piai.

“Melengah-lengahkan pengumuman tarikh peralihan kuasa akan menyebabkan keraguan rakyat, meskipun dalam kalangan penyokong PH sendiri.

“Seolah-olah Mahathir tidak mahu serah kuasa kepada Anwar Ibrahim dan ini juga antara penyebab penyokong akar umbi PKR dan DAP misalnya turut membuat protes dalam bentuk undi dalam PRK Tanjung Piai.”

Katanya, antara faktor kemenangan BN kerana rakyat tidak puas hati PH gagal menunaikan janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu dan asyik menyalahkan kerajaan lama.

“Bagi pengundi majoriti Melayu, mereka melihat ekonomi rakyat masih tak dapat ditangani dengan baik, kehidupan mereka tidak berubah, khususnya dari segi pendapatan walaupun kerajaan sudah berubah.

“Dulu mereka marah isu Najib, 1MDB, GST (cukai barang dan perkhidmatan), kini isu tersebut sudah tiada dan ternyata PPBM tak dapat mengambil alih peranan Umno selama ini di Tanjung Piai.

“Bagi pengundi Cina, mereka rasa kecewa kerana berikan sokongan banyak kepada PH, akan tetapi banyak isu yang mereka hadapi kurang ditangani dengan baik.

“Isu ekonomi tidak berapa menjejaskan perniagaan orang Cina, (tapi) isu pendidikan Cina seperti UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu), Utar (Universiti Tunku Abdul Rahman) bimbangkan orang Cina,” katanya sambil memaklumkan formula daripada Piagam Muafakat Nasional antara Umno dan PAS berjaya meningkatkan undi Melayu dan tidak meminggirkan orang bukan Melayu kerana BN memilih calon MCA.

Azman berkata, kesan lebih besar dirasai pemimpin PPBM dengan kekalahan ini kerana parti itu akan dianggap semakin tidak popular.

Katanya, BN mampu mencapai kemenangan lebih besar jika bekas perdana menteri, Najib Razak tidak turun berkempen di Tanjung Piai.

Sementara itu, Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata, keputusan PRK Tanjung Piai ialah momentum baru dalam politik tanah air yang menyaksikan pembangkang berpeluang merampas Putrajaya daripada PH.

“Ia boleh bersifat tetap jika PH tidak ambil ini sebagai iktibar dan BN melihat ini sebagai petunjuk untuk melakukan pembaharuan gelombang baru dalam paramater politik negara.”

PH hilang undi 50%

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, keputusan PRK Tanjung Piai menyaksikan PH hilang 50% undi berbanding jumlah undi yang diperolehi dalam PRU14, iaitu kekurangan 10,000 undi.

“Pertambahan undi calon BN tidak begitu mendadak jika nak dikaitkan dengan kehilangan undi PH. Sebab itu kekurangan peratus keluar mengundi, iaitu berkurangan 16% bersamaan lebih kurang 10,000 pengundi. Menarik dibuat analisis kerana bersamaan dengan kehilangan undi calon PH.

“…jadi besar kemungkinan 16% yang keluar undi semasa PRU14, tetapi kali ini tidak adalah pengundi yang memilih calon PH. Amat jelas yang enggan keluar mengundi boleh dianggap sebagai protes, sama ada terhadap calon itu sendiri daripada PPBM atau protes terhadap PH keseluruhannya.”

Saturday, November 16, 2019

[TIDAK RASMI] BN rampas semula Tanjung Piai

MyMetro
Shamran Sarahan
am@hmetro.com.my

Calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.
 FOTO Hairul Anuar Rahim

CALON Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng secara tidak rasmi berjaya merampas kerusi Parlimen Tanjung Piai selepas memperoleh majoriti hampir 12,000 pada Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen itu, hari ini, setakat 8 malam.

Jeck Seng yang mengumpul mengumpul 22,508 undi, jauh meninggalkan calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini yang memperoleh 9,024 undi (setakat 8 malam).

BN kini di landasan tepat untuk merampas kerusi parlimen itu memandangkan peratusan pengundi 75 peratus hari ini menyaksikan 39,739 pengundi turun mengundi daripada keseluruhan 52,471 pengundi berdaftar.

Parlimen Tanjung Piai sebelum ini dikuasai PH dengan majoriti tipis pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Jeck Seng yang ketika itu memperoleh 20,731 undi, tewas kepada calon PH, Farid Rafik yang mendapat 21,255 undi, manakala calon PAS, Nordin Othman dalam pertandingan tiga penjuru itu, memperoleh 2,962 undi.

Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 8:12 PM

LANGSUNG: BN dahului dengan majoriti lebih 1,000 undi

Diterbitkan Hari ini 5:50 petang 

BERITA

LAPORAN LANGSUNG
BN dahului dengan majoriti lebih 1,000 undi

6.40 petang: Menurut keputusan tidak rasmi setakat ini, BN mendahului dengan 1,721 undi manakala PH mengekori dengan 675 undi, yang menyaksikan perbezaan lebih 1,000 undi.

Gerakan berada di tempat ketiga apabila mendapat 161 undi manakala Berjasa memperolehi 63 undi.

Sementara itu calon bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing memperolehi 26 dan tiga undi.

BN dahului kiraan undi awal dan undi pos.
5.58 petang: BN mendahului dengan 273 undi manakala PH mengekori di tempat kedua dengan 162 undi.

Berjasa mendapat tujuh undi, Gerakan (3), calon bebas Ang Chuan Lock (1), manakala seorang lagi calon bebas Faridah Aryani Abd Ghaffar tidak memperoleh sebarang undi.

Walaupun BN boleh memenangi undi awal dan undi pos, PH nampaknya mencatatkan peningkatan lebih baik.

Pada pilihan raya umum lepas, BN memenangi 68.75 peratus undi awal dan undi pos tetapi menurun kepada 61.21 peratus pada PRK ini.

Sementara itu, PH mencatatkan keputusan lebih baik bagi undi awal dan undi pos dari 20.09 peratus pada PRU lepas kepada 36.32 peratus pada PRK ini.

PAS, yang tidak bertanding dalam PRK ini, memperoleh 11.16 peratus daripada undi awal dan undi pos pada PRU lepas.

Tentang kawasan Parlimen Tanjung Piai

Ia diwujudkan ketika PRU 2004.
Anggota parlimen pertamanya ialah presiden MCA ketika itu, Ong Ka Ting.
Calon BN Wee Jeck Seng menjadi anggota parlimen di situ pada 2008 hingga 2018.
Beliau tewas di tangan Md Farid Md Rafik dari Bersatu pada PRU lalu. Ia kali pertama BN gagal mengekalkan kemenangan di situ.
Ia terletak di Pontian dan merangkumi dua Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Pekan Nenas dan Kukup.
Pada PRU lalu, Umno menang di Kukup manakala DAP di Pekan Nenas.

Tanjung Piai dikenali sebagai penghujung benua Asia.

Pusat mengundi ditutup

5.30 petang: Pengundian PRK Tanjung Piai ditutup secara rasmi.

Seramai enam calon yang merebut kerusi itu, iaitu Karmaine Sardini (PH), Wee Jeck Seng (BN), Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa), Wendy Subramaniam (Gerakan) dan dua calon bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Kempen bermula pada 2 November dan berjalan selama dua minggu.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Md Farid Md Rafik dari Bersatu, akibat serangan jantung pada 21 September lalu.

Pada PRU lalu, Allahyarham Md Farid menang tipis dengan majoriti 524 undi. Beliau mendapat 21,255 undi manakala Wee 20,731 undi. Nordin Othman yang bertanding menggunakan tiket PAS meraih 2,962 undi.

PAS tidak bertanding dalam PRK ini dan menyokong BN.

Friday, November 15, 2019

Tinjauan: Peratusan menunjukkan PH mampu menang PRK Tanjung Piai

Oleh AMNI JAGAT


Tinjauan terakhir bertarikh 14 November 2019 menunjukkan calon PH Haji Karmaine Sardini mendahului calon dari BN Wee Jeck Seng dengan perbezaan peratusan yang tipis. Dalam tinjauan tersebut seramai 1031 pengundi memberikan respon terhadap kemampuan calon PH untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Dr. Farid Rafik.

Responden yang ditemui menyatakan sokongan sebanyak 51 peratus terhadap calon PH manakala 45 peratus memberikan sokongan kepada calon dari BN. Sekurang-kurangnya sebanyak 4 peratus lebihan pengundi yang tidak memberi respon serta memberi respon mahu mengundi calon selain dari dua parti besar tersebut.

Indikator yang dibuat melalui bilangan pengundi yang ditemui adalah berdasarkan peratusan pecahan pengundi mengikut kaum di parlimen ini. Dalam pada itu tinjauan ini turut menyasarkan seluruh kawasan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) di parlimen ini.

Ia telah berjaya mengazetkan beberapa kawasan hitam, kelabu dan putih yang dilakukan dalam tinjauan serta kajian lapangan yang telah dibuat. Tidak sampai 24 jam sahaja lagi, pembuangan undi bakal berlangsung dan ia pastinya akan memperlihatkan bagaimana pengundi membuktikan segala terkaan awal ini berlaku.

Namun ada beberapa faktor pada pecutan akhir yang mampu membuatkan graf sokongan terhadap Karmaine akan menurun antaranya ketokohan calon yang dilihat tidak bermaya sewaktu kempen dan boikot dari jentera PH itu sendiri.

Dalam hal ini faktor itu mampu dielak sekiranya dalam pecutan terakhir ini kepungan terhadap semua kelemahan ini berjaya dilakukan oleh PH. Ini akan menggambarkan bahawa PH mampu menang dalam PRK di Tanjung Piai ini.

Soal sokongan terhadap pengundi cina ia telah serba sedikit berjaya dirawat oleh jentera PH yang beraksi di Tanjung Piai dan pengundi melayu dilihat meningkat serta mampu mengekalkan penguasaan PH di Tanjung Piai ini.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/tinjauan-peratusan-menunjukkan-ph-mampu-menang-prk-tanjung-piai/

Tg Piai: Bukan pilih imam, PAS pertahan sokong calon MCA

Mohamad Fadli
-November 15, 2019 

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man antara yang hadir berucap dalam Himpunan Penyatuan Ummah Muafakat Nasional di Kampung Sawah, Tanjung Piai malam semalam.

PEKAN NANAS: PAS sekali lagi mempertahankan sokongan ke atas wakil MCA yang menjadi calon Barisan Nasional (BN), Wee Jeck Seng selepas Amanah didakwa mempertikaikan sokongan itu.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sokongan itu kerana pihaknya percaya Wee boleh mewakili penduduk Tanjung Piai.

“Amanah datang ke Tanjung Piai, dia kata pelik tak faham kenapa Presiden PAS Abdul Hadi Awang datang sokong calon MCA.

“Lim Kit Siang datang Tanjung Piai sokong pak imam (calon PH), sebab itu kita kata belajar lagi.

“Yang kita nak pilih bukan imam sembahyang, yang kita nak pilih ini wakil rakyat, kalau nak sembahyang memang kita pilih imam, tak payah tanya dengan syarat-syarat, dengan rukun dia,” katanya ketika berucap di depan lebih 5,000 hadirin di Himpunan Penyatuan Ummah Muafakat Nasional di Kampung Sawah malam tadi.

Turut hadir Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Mohamad Hasan; Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan; bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden MCA, Wee Ka Siong.

Calon BN tidak hadir pada himpunan itu.

Tuan Ibrahim menjelaskan PAS menolak calon PH di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, M Manogaran bukan sebab kaum tetapi DAP.

“Pada PRK Balakong, PAS hantar sokong calon MCA di Balakong.

“Itu pun takkan tak faham? Saya nak sebut ‘bengong’ pun takut terasa hati. Tetapi macam itulah,” katanya.

Thursday, November 14, 2019

PRK Tg Piai: Perbandingan manifesto calon

Diterbitkan Hari ini 8:49 pagi

BERITA

Berbaki dua hari lagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, pastinya calon yang bertanding akan meningkatkan lagi usaha mereka untuk menawan hati pengundi yang ternyata berbeza demografinya berbanding lapan PRK yang berlangsung selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sebelum ini.

Antara yang menjadi perbandingan pastinya manifesto atau janji yang dilihat ‘dekat dengan hati rakyat’, yang berkemungkinan menjadi faktor penentu bagi pengundi untuk memilih wakil rakyat bagi parlimen mereka bagi tempoh berbaki kira-kira tiga tahun setengah.

Apa yang boleh dilihat, kebanyakan calon menjanjikan sesuatu yang lebih realistik, sekali gus menjadikan mereka yakin bahawa ia mampu dilaksanakan sekiranya seorang daripada mereka terpilih menjadi wakil rakyat parlimen itu.

Bagi calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini, pastinya lima fokus yang digariskan parti lebih awal menjadi tonggak baginya untuk menunaikan tanggungjawab sekiranya dipilih sebagai Ahli Parlimen Tanjung Piai.

Lima fokus itu adalah mencari jalan bantu tangani isu kos sara hidup, menangani isu berkenaan pencemaran alam dan sungai, memperbanyakkan rumah mampu milik, meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dan perubatan serta meningkatkan peluang pekerjaan.
“Saya rasa selain lima isu yang dibangkitkan, kita sudah kenal pasti masa depan pembangunan di Tanjung Piai seperti jambatan baharu yang akan merentasi Sungai Pulai akan menjadi penghubung baharu dari Johor Bahru ke Tanjung Piai.

“Ini juga adalah satu faktor untuk menaikkan ekonomi dalam industri pelancongan, selain mengambil kira tiga sektor penting (di Tanjung Piai) iaitu dari segi ekonomi pertanian, perikanan dan industri,” katanya seawal ketika diumumkan sebagai calon PH, beberapa minggu lepas.

Keyakinan yang dilahirkan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai itu pastinya disebabkan dorongan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan yang kedua-duanya dipimpini kerajaan PH.

Sementara itu, dua lagi calon juga tidak mahu ketinggalan dalam menangani isu yang menjadi kebimbangan rakyat di Parlimen Tanjung Piai.

Bagi calon Gerakan Wendy Subramaniam, beliau menggariskan tiga perkara utama yang dilihat boleh memastikan kesejahteraan penduduk kawasan parlimen tersebut.
Tiga perkara itu memfokuskan kepada usaha menambah peluang pekerjaan dalam usaha mempertingkatkan peluang ekonomi dan industri masyarakat Tanjung Piai, menangani kenaikan kos sara hidup selain menjaga kebajikan dan keselamatan sosial masyarakat di situ.

“Saya akan berusaha untuk memajukan ekonomi dan sektor pelancongan tempatan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi menarik balik anak muda bekerja di sini,” kata beliau yang sudahpun berjaya bertemu penduduk meliputi 60 peratus daripada 27 kawasan pusat daerah mengundi (PDM) setakat Isnin.

Sementara itu, calon Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, menyifatkan tawaran parti itu bukanlah bersifat berhati-hati, tetapi menggambarkan satu ‘kejujuran’ sebagai pembangkang.

“Bukan semuanya material. Tawaran tersebut sesuai dengan keperluan tempatan. Selain itu, membangunkan jati diri penting untuk membina masyarakat yang berpegang teguh dengan agamanya agar masalah sosial dapat dihindari,” tambah Badhrulhisham.

Menurut beliau, sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat, menjadi tanggungjawabnya untuk membawa suara rakyat supaya keperluan asas itu tidak diabaikan oleh kerajaan.
Berjasa menawarkan empat tawaran iaitu melahirkan lebih ramai usahawan atau pemborong Melayu bagi membantu petani dan nelayan; mengetengahkan projek usahawan desa yang memasarkan produk di peringkat lebih tinggi; memaksimumkan projek pembangunan tanah untuk ekonomi orang Melayu serta memperkasa institusi kekeluargaan melalui Program Keluarga Syurga Tanjung Piai.

PRK Parlimen Tanjung Piai bakal menyaksikan pertandingan enam penjuru Sabtu ini, yang turut melibatkan calon Barisan Nasional Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan dua calon bebas iaitu Faridah Aryani Abdul Ghaffar dan Dr Ang Chuan Lock.

- Bernama

Tuesday, November 5, 2019

Dakwaan hanya Umno dan Pas jaga kepentingan Melayu satu pendapat yang meleset, kata Karmaine

Bernama


Dakwaan pemimpin Umno kononnya hanya parti itu dan PAS yang akan menjaga kepentingan orang Melayu dan akan menjadi ‘jurucakap’ orang Melayu adalah satu pendapat yang meleset, kata Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Karmaine Sardini.

“UMNO-PAS jadi jurucakap orang Melayu? Tidak betul, tidak mungkin. PH yang sepatutnya menjadi suara, kerana Bersatu pun selama ini sudah menjadi suara kepada orang Melayu

“Kalau kita lihat, UMNO pun tidak boleh rebut kerusi Tanjung Piai daripada MCA, jadi bagaimana ingin jadi wakil dan suara orang Melayu dan selesaikan masalah-masalah yang ada,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Aspirasi Pra-Sekolah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup di sini hari ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ceramahnya semalam berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRK Parlimen Tanjung Piai sangat penting kerana ia boleh memberi laluan kepada UMNO dan PAS menjadi jurucakap kepada orang Melayu.

Karmaine yang juga Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai berkata sebaliknya peranan itu telah dilakukan PH termasuk Bersatu melalui kuasa di pentadbiran pusat dan juga di negeri Johor dalam menyelesaikan masalah-masalah berkaitan orang Melayu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 16 Nov sebagai hari mengundi PRK Tanjung Piai manakala 12 Nov bagi pengundian awal.

Ia menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Karmaine dengan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) serta dua calon bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock, pengasas pusat tuisyen, dan Faridah Aryani Abd Ghaffar, seorang ahli perniagaan.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung. Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Allahyarham Md Farid menang dengan majoriti 524 undi menewaskan Wee (BN-MCA) dan Nordin Othman (Pas).

Monday, November 4, 2019

Kita ‘tabur’ kepada penduduk Tg Piai, bukan masuk poket sendiri, Salahuddin bidas Najib

Mohamad Fadli
-November 4, 2019 12:11 AM

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayob, yang membantu kempen calon PH, Karmaine Sardari berkata, tidak mudah untuk menang di Tanjung Piai yang suatu ketika dahulu merupakan kubu kuat BN.

KUKUP:  Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub membidas bekas perdana menteri, Najib Razak berhubung beberapa peruntukan yang diluluskan untuk kawasan Parlimen Tanjung Piai dengan berkata peruntukan itu diberi kepada rakyat, bukan untuk diri sendiri.

“Kita tabur pada rakyat, masuk poket rakyat. Bukan macam orang itu (Najib) tabur masuk poket sendiri.

“Dalam perbicaraan mahkamah tuan-tuan saksikan hampir satu bulan tiap-tiap hari dalam akhbar bagaimana Najib berkomunikasi dengan Jho Low dan bagaimana pegawainya diarah melakukan penyelewengan,” katanya dalam ceramah umum Pakatan Harapan (PH) di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM), Penerok di sini malam tadi.

Pada 22 Okt, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menafikan peruntukan berjumlah RM7 juta yang diberikan oleh kerajaan untuk kawasan parlimen Tanjung Piai adalah bagi meraih sokongan pengundi kawasan itu.

Mahathir berkata, kerajaan hanya menjalankan tugas seperti biasa dan pemberian peruntukan itu secara kebetulan hampir dengan tarikh pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang berlangsung sekarang.

Sebelum ini Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan peruntukan RM4 juta untuk projek naik taraf kemudahan sukan dan rekreasi di Tanjung Piai, manakala Salahuddin turut memperuntukkan RM3 juta bagi projek naik taraf tiga jeti nelayan.

Salahuddin berkata, RM400,000 juga diperuntukan untuk membaiki jalan ke kebun untuk memudahkan petani.

Katanya, RM3 juta diluluskan segera bagi membaiki tiga jeti yang telah usang.

“Dulu calon BN, Wee Jeck Seng jadi wakil rakyat apa dia buat. Apa dia buat untuk jeti usang? Dia tak buat, kita buat sekarang.

“Sebagai menteri saya boleh beri jaminan kepada rakyat, dan juga beri pembangunan,” katanya.

Salahuddin, yang merupakan anak jati Tanjung Piai berkata, beliau akan bekerja lebih kuat bagi membantu berkempen calon PH dalam PRK itu, iaitu Karmaine Sardini.

“Saya anak Tanjung Piai, saya tahu bukan mudah untuk menang di Tanjung Piai yang suatu ketika dahulu merupakan kubu kuat BN.

“Kita pernah hilang deposit bertanding, tetapi bila menang kita tak lupa diri. Kita beri peruntukan pada rakyat,” katanya.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik yang mewakili PPBM pada 21 Sept lepas kerana komplikasi jantung.

Enam calon yang disahkan akan bertanding ialah Karmaine Sardini mewakili PH, calon BN Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam (Gerakan), Badrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dan dua calon Bebas, Ang Uan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Friday, November 1, 2019

Presiden Berjasa tanding di Tg Piai

Dr Badhrulhisham calon muslim wibawa, aktif aktiviti kemasyarakatan

Oleh Azrul Hakimie Anuer
01/11/2019

PUCHONG, 4 Rabiulawal 1441H, Jumaat – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) mengumumkan Presidennya, Prof Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz sebagai calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, pada 16 November depan.

Pengumuman berkenaan dibuat dalam satu sidang media khas yang diadakan di Pejabat Berjasa, di sini hari ini.

Lebih mesra disapa sebagai Dr Badh, beliau kini berusia 56 tahun dan anak jati kelahiran Muar, Johor.

Beliau menamatkan pengajian Ijazah Sarjana (Sains) Kejuruteraan Kimia di Universiti Colorado, Amerika Syarikat (AS) sebelum menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia di Universiti Wales, United Kingdom (UK).
Prof Badhrulhisham kemudian berjaya mengenggam Ijazah Kedoktoran Kejuruteraan Kimia dari Universiti Kyoto, Jepun.

Beliau pernah berkhidmat lebih 10 tahun dalam sektor pendidikan di universiti awam dengan jawatan tertinggi disandang adalah Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Setelah meninggalkan dunia pendidikan, Prof Badhrulhisham kini adalah pengurus dan konsultan di Technopreneur Integrated Enterprise.

Sebelum diangkat sebagai Presiden Berjasa tahun lalu, Prof Badhrulhisham sangat aktif dalam aktiviti membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kemasyarakatan sama ada di dalam atau luar negara.

Pengundi Umno di Tanjung Piai dalam dilema - Tinjauan

Diterbitkan Hari ini 6:01 petang

BERITA

PRK TG PIAI | Tinjauan Institut Darul Ehsan (IDE), mengenai pilihan raya kecil parlimen Tanjung Piai mendapati 83 peratus responden berkata mereka akan mengundi parti yang sama semasa PRU14 lalu.

Daripada jumlah itu, 53 peratus responden Melayu berkata akan mengundi parti yang sama pada PRK kali ini, maklum IDE yang dimiliki kerajaan Selangor.

Timbalan Pengarah IDE, Prof Dr Mohammad Redzuan Othman membentangkan hasil kajian institut itu hari ini yang berdasarkan tinjauan daripada 1,518 responden.

Menurutnya, bagi pengundi Melayu yang masih belum memutuskan calon mana yang hendak diundi, mereka akan berhadapan dilema untuk memilih antara calon PH Karmaine Sardini dan calon BN Wee Jeck Seng.

Ini kata Redzuan terutamanya buat penyokong setia Umno yang masih belum membuat keputusan.

"Dengan calon yang seorang imam, saya difahamkan dia (Karmaine) ada dua tahfiz dan dilemma pengundi Melayu.

"Nak undi (calon) Cina, tapi PAS kata tak boleh menjadi kuda (tunggangan) DAP itu. (Jadi) macam mana dengan MCA?

"Ini akan menjadi satu perbincangan nanti dan sejauh mana parti akan menggunakan sentimen ini," katanya.
Jelasnya, pengundi Melayu dalam kategori ini berkemungkinan tidak akan keluar mengundi.

"Jadi, akhirnya nanti, bagi mereka yang menganggap undi ini soal pahala dan dosa, dia akan pilih yang mana paling kurang sekali.

"Tak keluar mengundi lah," katanya.

Mengulas lanjut hasil tinjauan itu, Redzuan berkata faktor calon akan menentukan pola pengundian pilihan raya kecil ini.

"[...] faktor calon dia akan menentukan bagaimana pengundian (dibuat).

"Mahu tidak mahu dalam konteks Malaysia ini, ras pun kita tak lari lagi, masih ada element-elemen tertentu," katanya lagi.

Tinjauan yang dibuat dari 18 ke 20 Oktober lalu sebelum parti politik mengumumkan calon-calonnya itu berdasarkan responden penduduk yang menepati pengundi parlimen tersebut dari segi kaum, jantina dan umur.
Walaupun kebanyakan responden tinjauan itu berkata mereka akan mengundi parti politik yang sama ketika PRU14 lalu, namun pecahan mengikut kaum mendedahkan hanya 41 peratus responden Cina berkata akan berbuat demikian.

Tinjauan IDE juga mendapati majoriti pengundi Cina masih belum membuat keputusan siapa yang hendak dipilih pada hari pengundian 16 November akan datang.

Pada PRU14, sokongan pengundi Cina dan pertembungan tiga penjuru dengan calon PAS, membolehkan PH merampas kerusi tradisi MCA itu dengan majoriti tipis 524 undi.
Redzuan ketika ditanya menjangkakan pengundi Cina, terutama mereka yang tinggal dan bekerja di luar Johor akan teragak-agak untuk mengundi.

Kaji selidik itu menunjukkan bahawa kira-kira 56 peratus daripada semua responden berkata mereka mempunyai ahli keluarga yang mengundi di Tanjung Piai tetapi tinggal di tempat lain.

"56 peratus yang mereka ditanya ini - keluarga - ada keluarga yang pengundi luar - bekerja di Singapura, luar negeri, Johor Bahru dan sebagainya.

"Untuk mereka balik itu, itu merupakan sesuatu komitmen. Komitmen akan berlaku jika mereka rasakan perkara yang menyentuh.

"Maksudnya, walaupun tak setuju kepada PH, (pengundi) Cina yang juga tidak puas hati kepada PH, tidak semestinya dia menyeberang kepada BN.

"Sama ada dia tak balik atau dia buat keputusan dia tak mengundi," katanya kepada Malaysiakini.

Selanjutnya, Redzuan meramalkan kadar peratusan keluar mengundi yang rendah tetapi enggan memberikan anggaran.
Katanya, ini akibat rasa tidak puas hati pengundi Cina terhadap PH dan rasa tidak puas hati Melayu terhadap calon MCA.

Tinjauan IDE menunjukkan 69 peratus responden telah memutuskan tentang siapa yang akan diundi sementara yang lain (31 peratus) tidak dapat diputuskan.

Bagi responden Cina, bagaimanapun tinjauan IDE menyatakan hanya 36 peratus responden telah membuat keputusan. Ini adalah perbezaan yang ketara berbanding responden Melayu, di mana kebanyakan (63 peratus) mengatakan bahawa mereka telah membuat keputusan.

PH mengumumkan akan meletakkan Ketua Bahagian Tanjung Piai dan bekas imam Karmaine Sardini sebagai calon pada pilihan raya kecil akan datang.
BN pula menampilkan bekas MP Tanjung Piai selama dua penggal dan Ketua Bahagian MCA Wee Jeck Seng. Parti pembangkang Gerakan dan Berjasa turut mengumumkan hasrat bertanding di kerusi tersebut.

Pengundi Tanjung Piai terdiri daripada 57 peratus Melayu, 42 peratus Cina dan satu peratus India.

Bagaimanapun, Redzuan enggan menyatakan parti mana yang mempunyai peluang yang lebih baik pada PRK ini tetapi berkata parti yang akan menang bakal mendapat majoriti tipis.

Redzuan berkata dengan kerjasama Umno-PAS melalui Muafakat Nasional, maka BN mempunyai peluang yang lebih baik jika hasil keputusan PRU14 diterjemahkan dalam pilihan raya kecil ini.

Pada pilihan raya umum lalu, penambahan undi BN dan PAS merangkumi 51.7 peratus daripada jumlah keseluruhan undi manakala PH pula mendapat 46.3 peratus.
Walau bagaimanapun, perbezaannya adalah kini PH mentadbir kerajaan persekutuan dan negeri.

Beliau juga berkata berdasarkan PRU14, PH popular di kawasan yang lebih padat penduduknya dan boleh diakses di kawasan itu; yang memerlukan kurang kerahan jentera kempen pilihan raya.

[Baca berita asal]

Thursday, October 31, 2019

Ulama PAS: Larangan undi calon bukan Islam tak mutlak


PRK TG PIAI | Ulama PAS menegaskan, larangan parti itu untuk mengundi calon bukan Islam dalam pilihan raya bukan bersifat mutlak, sebaliknya bergantung kepada keadaan tertentu.

Ketua Ulama PAS Pusat, Dr Nik Zawawi Salleh, berkata penentangan parti itu terhadap calon bukan Islam berdasarkan kepada sentimen berlainan agama atau bangsa.

"Malah Islam sendiri tidak melarang untuk berbuat baik dan melakukan keadilan kepada non-Muslim yang tidak melawan Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Zawawi berkata demikian semasa membuat gesaan kepada pengundi Tanjung Piai untuk memberikan undi kepada calon dari MCA - yang mewakili pembangkang - dalam PRK kali ini, iaitu Wee Jeck Seng.

"Walaupun calon dari Muafakat Nasional (gabungan PAS dan Umno) yang diwakili oleh BN adalah non-Muslim, namun ia bukanlah terlarang secara mutlak," katanya.

Untuk rekod dalam PRK Cameron Highlands, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata pengundi Islam wajib menyokong calon BN berdasarkan kepada sifat keagamaannya.

“Dimaklumkan dia seorang pegawai polis yang tak pernah melakukan apa-apa salah laku, semasa khidmat dia jadi anggota polis,” katanya.

PH letak calon Islam

Tambah Hadi, umat Islam tidak sepatutnya memilih calon DAP yang menurutnya menunjukkan tanda-tanda negatif yang tak dapat disembunyikan terhadap Islam.

“Kita minta supaya kaum yang bukan Islam kalau mahu selamat, jangan undi DAP.

Undi calon Islam ini, semua selamat. Orang Islam selamat, orang bukan Islam pun selamat,” katanya.

Seorang lagi ulama kanan PAS, Mokhtar Senik, berpendapat anggota PAS, petugas dan penderma PAS mendapat pahala kerana membantu kemenangan BN di PRK Cameron Highlands dan Semenyih.

Menurut anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu mengalahkan PH adalah sebahagian daripada amalan mencegah kemungkaran yang tarafnya sama penting dengan menegakkan kebaikan.
Untuk rekod, bagi PRK Tanjung Piai yang akan berlangsung pada 16 Nov ini, PH menurunkan calon Melayu dan Islam, iaitu Karmaine Sardini, yang juga ketua Bersatu kawasan parlimen berkenaan.

Nik Zawawi berkata walaupun calon terbabit bukan dari DAP, memberi undi kepada PH didakwanya boleh dianggap mengekalkan kuasa parti terbabit dan ia adalah mudarat besar yang mesti dielakkan.

"Sehubungan itu, Dewan Ulama PAS Pusat menyokong calon yang dikemukakan dari MCA, Wee Jeck Seng untuk bertanding dalam PRK Tanjung Piai pada 16 November 2019 nanti.

"Sokongan ini berasaskan kepada semangat Muafakat Nasional yang telah dimeterai di antara PAS dan Umno pada 14 Sept lalu, sekali gus melibatkan parti-parti dalam komponen Gagasan Sejahtera dan BN.

"Lantaran itu, secara asasnya apa sahaja syarat bersama pada perkara yang tidak mengandungi unsur haram dan percanggahan syariat adalah dihormati dan disempurnakan," katanya.

Baca Mokhtar Senik: Nik Zawawi ini level menteri

Anggota parlimen Pasir Puteh itu menyatakan "wajib" untuk menyokong usaha "menyelamatkan negara" ketika ini.

"Perlu difahami bahawa penentangan ke atas DAP adalah kerana sikap mereka yang keras memusuhi agenda umat Islam yang dizahirkan oleh pimpinan mereka dalam banyak isu, serta keterlibatan pimpinan mereka dengan kumpulan pengganas iaitu LTTE.

"Menyelamatkan negara dan agama Islam dari terus menjadi mangsa kerakusan PH merupakan satu kewajiban pada masa kini.

"Maka apa sahaja usaha untuk menjayakan kewajiban ini sekali gus juga menjadi wajib," katanya.

UMNO silap besar letak calon ‘recycle’ ultra kiasu

Politik bodoh akan berulang, yang rugi tentu orang Melayu Islam
31/10/2019


BANGI, 3 Rabiulawal 1441H, Khamis – “Sudah tiada calon lain nak bertanding? Jika calon MCA sekali pun carilah individu seperti mendiang Prof Khoo Kay Kim, Prof Teo Kok Siong.

“Bukan calon ‘recycle’ yang kita sudah tahu pendirian dia terhadap Melayu dan Islam,” luah pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Beliau mengakui kecewa tindakan Barisan Nasional (BN) memilih calon daripada parti perkauman MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng bagi mewakili gabungan itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang akan berlangsung pada 16 November depan.

Difahamkan, pemilihan Jeck Seng sebagai calon bagi PRK berkenaan adalah keputusan sepakat yang telah dicapai bersama seluruh kepimpinan BN.

Ridhuan Tee menyifatkan, UMNO melakukan kesilapan besar dengan meletakkan calon ‘recycle’ yang sudah terkenal dengan sifat ultra kiasu itu.

“Kecewa yang teramat apabila mendapat berita UMNO memilih MCA untuk bertanding di Tanjung Piai, mungkin kerana telah diugut MCA, akan keluar BN sehingga membawa kepada terbubarnya BN.

“Hina sangat UMNO jika termakan dengan ugutan ini. Jika benarlah dengan keluarnya MCA akan terbubar BN, semua Ahli Parlimen BN akan menjadi tidak berparti atau ahli bebas, reda dan hadapilah dengan penuh tabah.

“Jika tidak, sampai PRU15 nanti, pasti politik ‘bodoh’ akan berulang dan menjadi budaya. Budaya yang membodohkan kita sebagai orang Islam. Yang rugi sudah tentu bukan MCA, tetapi adalah parti orang Melayu seperti UMNO dan PAS,” katanya.

Ridhuan Tee bagaimanapun mengakui tidak semua ahli MCA bersikap ultra kiasu, namun malangnya mereka yang baik tidak menjadi pemimpin utama.

“Rata-rata yang memimpin adalah ultra kiasu. Mereka ini jadi duri dalam daging, gunting dalam lipatan. Tidak mahu patuh kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial. Terus pertikaikan, ugut dan desak. Sampai bila kita mahu menjadi pengemis kepada MCA?

“Saya bukan rasis. Saya tetap Cina sampai bila-bila. Semua Cina itu saudara saya. Lebih-lebih lagi ahli keluarga saya. Namun, saya masih boleh mengenali mana Cina baik, mana yang ultra kiasu.

“Cina baik adalah Cina seperti mendiang Profesor Khoo Kay Kim, Prof Teo Kok Siong dan lain-lain lagi. Manakala, Cina ultra kiasu adalah Cina yang berada dalam parti ultra kiasu seperti MCA, Gerakan dan DAP,” katanya.

Mengulas lanjut, Ridhuan Tee berkata, sekiranya parti berkenaan tidak ultra kiasu, sudah tentu mereka akan bersama menjunjung perkara yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial yang telah menghasilkan Perlembagaan negara.

“Contoh-contoh yang biasa kita dengar seperti kedudukan Islam, bahasa Melayu, hak istimewa Melayu dan Bumiputera, Raja-Raja Melayu dan sebagainya,” katanya.

Wednesday, October 30, 2019

Wee Jeck Seng calon BN di Tanjung Piai


BN akan diwakili oleh Wee Jeck Seng daripada MCA dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai.

Keputusan itu dibuat walaupun Umno kuat melobi untuk bertanding di kerusi campuran itu.

Perkara itu disahkan oleh MCA Tanjung Piai, yang mengajak penyokongnya berkumpul di ibu pejabat MCA Pontian malam ini untuk untuk mendengar pengumuman itu.

Malaysiakini juga difahamkan bahawa pengerusi Umno Johor Hasni Mohammad akan memberikan taklimat khas berkaitan pencalonan Wee itu kepada Umno Tanjung Piai hari ini.

Umno bahagian itu sebelum itu mahukan pemimpin mereka Jefridin Atan bertanding.

Wee pernah menjadi anggota parlimen kawasan itu dua kali.
Beliau gagal memeprtahankan kerusi itu tahun lepas dan tewas dengan majoriti tidak sampai seribu undi kepada calon Pakatan Harapan Mohd Farid Mohd Rafik.

Wee akan bergasak dengan Pengerusi Bersatu Tanjung Piai Karmaine Sardini dan Timbalan Setiausaha Agung Gerakan Wendy Subramaniam.

PAS yang kini menjadi sekutu Umno tidak bertanding.

[Baca berita asal]

Friday, October 25, 2019

Tanjung Piai macam ‘medan perang’ menjelang pilihan raya kecil

Mohamad Fadli
-October 25, 2019 6:40 AM

Penamaan calon bagi PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 2 Nov ini dan hari mengundi pada 16 Nov ini. (Gambar Bernama)

PONTIAN: Umno Tanjung Piai membidas tindakan Pakatan Harapan (PH) yang cuba meraih undi sebelum bermulanya kempen pilihan raya kecil di kawasan tersebut.

Ketuanya, Jefridin Atan berkata sudah menjadi ‘trend’ apabila tiba pilihan raya kerajaan sibuk tunaikan janji.

“Kawasan Tanjung Piai ini kecil tetapi bila semua menteri Kabinet datang, saya rasa macam nak perang Parlimen Tanjung Piai.

“Bila setiap hari akan bunyi siren, bunyi rombongan daripada pihak menteri dan sebagainya, jadi ini suasana agak luar biasa,” katanya kepada FMT ketika ditemui di sini.

Sebelum ini pengumuman peruntukan oleh anggota Kabinet menjadi isu. Antaranya melibatkan pengumuman oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan perkara itu dengan menyifatkan pengumuman projek kerajaan dan peruntukan berjumlah RM7.2 juta di Parlimen Tanjung Piai bukannya untuk membeli undi, sebaliknya ia hanya kebetulan menjelang pilihan raya kecil pada 16 Nov ini.

Jefridin berkata selepas ini ramai lagi menteri akan turun di Tanjung Piai.

“Mereka menggunakan kemudahan kerajaan dan telah beri peruntukan untuk rakyat.

“Sebagai kerajaan dia memang tanggungjawab memberi peruntukan pada rakyat kerana itu adakah hak rakyat, tetapi untuk meraih undi dia kena ingat rakyat semakin sedar bahawa undi tidak boleh dibeli,” katanya

Jefridin Atan.
Jefridin menambah sebagai wakil rakyat, atau kerajaan perlu beri perkhidmatan dan ambil hati rakyat dengan betul.

Beliau berkata jika sudah berjanji perlu ditunaikan sebab rakyat termasuk di Tanjung Piai sudah pandai menilai dan mengetahui perkembangan semasa.

“Kita tidak boleh anggap rakyat di Tanjung Piai ini seperti dalam gua dan tidak tahu perkembangan terkini.

“Mereka ikuti perkembangan sebab sekarang semua terdedah dengan media sosial dan kita kena berhadapan dengan realiti pengundi kita di Tanjung Piai,” katanya.

Tiga nama calon tempatan

Jefridin berkata Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon pada 28 Okt ini di Pontian.

“Di peringkat bahagian kita telah hantar tiga nama dan di peringkat negeri akan dibawa ke peringkat nasional. Di peringkat presiden parti akan berbincang dengan Majlis Tertinggi BN dan akan dia orang akan buat keputusan,” katanya.

Dalam pada itu, Jefridin berkata secara jujurnya Umno bahagian mahu parti itu bertanding menggantikan MCA untuk mewakili BN.

Bagaimanapun, beliau berkata MCA pula bertegas mengatakan Tanjung Piai sebagai kerusi tradisi mereka.

“Jadi kita serah pada Majlis Tertinggi BN untuk buat pengumuman,” katanya yang tanpa berselindung memberitahu, peluang Umno bertanding di Tanjung Piai juga cerah.

Beliau berkata apa yang perlu difikirkan sekarang ini adalah untuk menang dan bukannya soal kerusi tradisi.

Jefridin yang merupakan antara tiga calon dinamakan kepada pusat berkata, kesemua mereka adalah anak tempatan.

“Tetapi kalau dilihat dari segi komposisi, kaum Melayu adalah majoriti di Tanjung Piai, mewakili 57% dan itu menyebabkan kita Umno merasakan bahawa, inilah masa terbaik untuk kita ambil alih mewakili BN.

“Peluang kita tinggi, tak kisah kerajaan nak letak siapa, tetapi masyarakat hari ini sudah tidak mahu, ditipu lagi,” katanya.

Umno dakwa PPBM mungkin hantar calon “heavyweight”.

Umno harap kerjasama erat dengan MCA

Jefridin juga berharap kerjasama erat dengan MCA dalam kempen PRK Tanjung Piai.

Beliau berkata biar Umno atau MCA bertanding, diharap tidak ada isu boikot di Tanjung Piai.

“Kalau pemimpin seperti Wee Jeck Seng (MCA), saya yakin beliau seorang profesional dan berjiwa besar dan akan bersama-sama berusaha menangkan BN,” katanya.

Saturday, October 12, 2019

GERAKAN uji kekuatan di Tanjung Piai

Oleh Nazura Ngah
nazura_ngah@bh.com.my

Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau.
 - NSTP/Mikail Ong

KUALA LUMPUR: Selepas tidak bertanding dalam lapan Pilihan Raya Kecil (PRK) sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), GERAKAN hari ini mengesahkan akan meletakkan calon di PRK Tanjung Piai, Johor.

Keputusan itu bakal menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru pada PRK yang akan diadakan 16 November ini.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau, berkata setakat ini parti mengenal pasti enam calon termasuk calon wanita untuk diteliti dan akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu.

Beliau berkata, GERAKAN akan bertindak sebagai blok ketiga pada PRK itu sebagai peringatan kepada Pakatan Harapan (PH) yang didakwa gagal membawa perubahan.

Keputusan bertanding juga katanya sebagai mesej kepada Barisan Nasional (BN) untuk menghentikan sentimen perkauman yang ditonjolkan parti itu selepas menjalin kerjasama dengan PAS.

“GERAKAN buat pertama kali akan bertanding mengguna logo sendiri selepas keluar dari BN (Jun tahun lalu).

“Pada PRK kali ini, GERAKAN akan menonjol sebagai blok ketiga yang menawarkan pilihan alternatif kepada pengundi di Tanjung Piai. Bulan madu PH harus dihentikan dan sentimen perkauman BN perlu ditamatkan.

“GERAKAN adalah parti berbilang kaum yang mempunyai banyak bahagian dan cawangan di seluruh negara termasuk di Tanjung Piai. Sebelum ini parti kurang menonjol kerana kita bersama BN, kita bantu calon BN tetapi kali ini kita akan tunjukkan pilihan alternatif kepada rakyat,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

GERAKAN melantik Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong selaku Pengarah Jentera PRK Tanjung Piai, manakala Senator Datuk Teo Kok Chee sebagai Ketua Bilik Gerakan.

PRK itu diadakan susulan penyandangnya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) meninggal dunia pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Allahyarham Dr Md Farid memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menewaskan penyandang dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wee Jeck Seng dan calon PAS, Nordin Othman.

BN akan hanya mengumumkan calon mereka seminggu sebelum penamaan calon atau hujung bulan ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 November sebagai tarikh penamaan calon dengan tempoh berkempen selama dua minggu.

Sebelum ini Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mengesahkan akan bertanding jika pembangkang dan PH meletakkan calon bukan Melayu.

Presiden penaja PUTRA, Datuk Ibrahim Ali, dilaporkan berkata parti yang ditubuhkan pada Mei lalu itu juga bersedia menghadapi pertandingan tiga penjuru membabitkan mana-mana blok parti dalam pilihan raya akan datang.

Tuesday, October 8, 2019

'BN mungkin letak calon UMNO'

Oleh Nazura Ngah
nazura_ngah@bh.com.my

Besar kemungkinan BN akan mempertaruhkan calon UMNO di kerusi Parlimen Tanjung Piai.
 - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai peluang calon Pakatan Harapan (PH) kekal di kerusi Parlimen Tanjung Piai jika Barisan Nasional (BN) meletakkan calon UMNO disifatkan sebagai strategi perang saraf.

Pemerhati politik juga berpandangan kenyataan Pengerusi PH itu sekadar mengumpan BN supaya memilih calon MCA untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 16 November ini.

Penganalisis politik, Azmi Hassan, berkata melihat senario semasa, besar kemungkinan BN akan mempertaruhkan calon UMNO di kerusi berkenaan.

Ini kerana, katanya, risiko BN tewas pada PRK itu lebih tinggi jika meletakkan calon MCA berbanding UMNO.

“Cubaan meletakkan calon MCA berkemungkinan menyebabkan BN kehilangan undi Melayu, manakala untuk mengharapkan undi Cina mengundi calon MCA adalah jauh sekali,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azmi berkata, kenyataan Perdana Menteri itu spesifik kepada calon UMNO sehingga timbul tanda tanya dan persepsi bahawa kenyataan itu lebih menjurus kepada strategi gerak saraf.

Katanya, kekuatan PH di Tanjung Piai adalah pengundi Cina, manakala UMNO pula kepada pengundi Melayu.

“Tetapi jangan lupa calon PH besar kemungkinan Melayu dan ini akan beri sedikit tekanan kepada UMNO untuk menarik seramai mungkin pengundi Melayu,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik yang juga pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata kenyataan itu adalah perang psikologi supaya BN tidak berani meletakkan calon UMNO.

Beliau berkata, ia bagi membolehkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) meraih undi dan sokongan pengundi Melayu.

Katanya, calon Melayu sama ada dari BERSATU mahupun UMNO mempunyai kelebihan memandangkan jumlah pengundi Melayu yang lebih ramai dengan sentimen isu Melayu/Islam yang semakin membara.

“Ramai pihak mahu melihat pertembungan antara calon Melayu, iaitu BERSATU dan UMNO buat masa ini. Walaupun kedua-dua pihak perlu meletakkan calon terbaik tanpa mengira kaum, pemilihan calon Melayu di Tanjung Piai tidak boleh dielakkan.

“Jika letak calon MCA, sokongan dan kekuatan tetap ada kerana orang Melayu ada semangat muhibah dengan bersedia memberi undi kepada calon Cina.

“Malah, Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) menyatakan PAS akan sokong calon MCA. Saya fikir untuk PRK ini, berilah kepada calon UMNO. Untuk PRU-15, mungkin boleh pulangkan semula pada MCA,” katanya.

Semalam Dr Mahathir yakin calon PH boleh memenangi PRK Parlimen Tanjung Piai jika BN meletakkan calon UMNO.

Monday, October 7, 2019

PRK Tanjung Piai: Tun M yakin PH menang jika lawan calon UMNO

Oleh Wan Faizal Ismayatim dan Petah Wazzan Iskandar
bhnews@bh.com.my

Dr Mahathir pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, petang tadi. 
- NSTP/Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) yakin boleh memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai jika Barisan Nasional (BN) meletakkan calon UMNO.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata PH berpendapat pakatan itu juga bergantung kepada parti lawan untuk menang.

Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta UMNO meletakkan calonnya pada PRK berkenaan yang dijadualkan pada 16 November ini.

“Hari ini, kita bincang (berkaitan PRK) Tanjung Piai. Banyak masalah di situ, kita juga berpendapat bahawa kita bergantung kepada parti lawan untuk menang.

“Kita minta supaya mereka letak calon UMNO. Tolonglah supaya kita (PH) boleh menang,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, petang tadi.

Ditanya faktor membuatkan PH yakin menang jika UMNO bertanding PRK berkenaan, Dr Mahathir berkata: "Adalah faktor, tapi tak boleh diterangkan”.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) turut mengesahkan calon PH pada PRK Parlimen Tanjung Piai adalah daripada parti yang diterajuinya.

“Calon belum ditentukan, tetapi daripada BERSATU,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya daripada BERSATU, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 43, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Tanjung Piai, menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandang, Wee Jeck Seng daripada MCA dan Nordin Othman daripada PAS.

Saturday, October 5, 2019

Tg Piai: MCA enggan ulas kenyataan Zahid, tunggu keputusan BN

News | Diterbitkan Hari ini 9:02 malam 


Presiden MCA Wee Ka Siong enggan memberi penjelasan susulan kenyataan Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberi gambaran bahawa partinya kemungkinan bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang akan diadakan pada 16 Nov.

Sebaliknya, Wee berkata setelah BN membuat keputusan, semua komponen parti akan bekerjasama bagi memastikan mereka memenangi kerusi tersebut.

Dalam sesi Facebook live dari ibu pejabat MCA hari ini, Wee menjelaskan bahawa dia tidak akan mentafsir kenyataan Zahid kerana komennya mungkin dianggap berat sebelah jika tidak melihat konteks secara menyeluruh.

“Pada masa kini, saya masih merasa tiga parti komponen BN adalah seperti abang […] kami berharap setelah keputusan dibuat bagi sesiapa yang akan bertanding, kami akan pastikan memenangi kerusi tersebut,” katanya.

Wee juga berkata BN adalah satu keluarga dan objektif utama adalah untuk memenangi PRK tersebut.

Tambahnya, ucapan Zahid pada pembukaan Konvensyen Umno Johor di Johor Bahru pagi ini mengesahkan bahawa MCA turut ingin bertanding di Tanjung Piai.

“Seperti apa yang disahkan Zahid hari ini (dalam ucapannya), dan saya juga menyatakan dengan jelas (semasa mesyuarat minggu lepas), kami (MCA) menegaskan bahawa ingin bertanding.

“Kami (MCA) telah berjumpa selama 75 minit, saya dengan tegas memberitahu (pendirian kami). Hari ini dia (Zahid) juga memberitahu bahawa MCA mahu mengembalikan tradisi dengan bertanding untuk kerusi tersebut,” kata Wee.

Wee telah berjumpa dengan Zahid pada 26 Sept lalu sejurus selepas MCA berkata akan menghormati keputusan BN dalam meletakkan calon di Tanjung Piai.

Wee juga berkata adalah perkara biasa buat mana-mana pihak untuk berusaha bertanding sebelum calon ditentukan tetapi BN sewajarnya mempunyai kebijaksanaan politik untuk membuat keputusan terbaik.

"MCA dengan jelas menunjukkan bahawa ini adalah kerusi tradisi kami," tambah Wee.

Tidak perlu risau

Ditanya mengapa MCA tidak dapat membuat keputusan sama ada akan bertanding di Tanjung Piai atau tidak, Wee berkata Zahid tidak mengatakan bahawa MCA tidak akan bertanding.

"Dia tidak pernah berkata MCA tidak bertanding. Dia sedang menunggu mesyuarat BN (majlis tertinggi) untuk memutuskan, "kata Wee.

Merujuk persoalan sama ada MCA yakin dapat bertanding atau tidak, Wee menjelaskan jika MCA mahu bertanding, yakin atau tidak, tidak perlu risau.

Pagi tadi, Zahid memberi gambaran Umno kemungkinan bertanding dalam PRK Tanjung Piai.

Berucap di Konvensyen Umno Johor, Zahid menjelaskan pengundi Melayu di Tanjung Piai mahukan perubahan di kawasan tersebut.

"Ya, kerusi tradisi adalah kerusi MCA. Kita tahu bahawa 56.9 peratus atau hampir 57 peratus daripada pengundi Tanjung Piai adalah orang Melayu.

"Umno dan orang Melayu di Tanjung Piai mahukan perubahan. Namun, MCA juga mahu mengekalkan tradisinya. Tidak ada sesuatu yang mustahil, jika MCA dapat berbesar hati, MCA dapat berlapang dada kan," katanya.

Wee turut hadir pada konvensyen tersebut.

Ditanya pemberita maksud kenyataan bahawa MCA perlu berlapang dada itu selepas majlis perasmian berkenaan, Zahid berkata: “MCA sentiasa berlapang dada sama seperti MIC di PRK Cameron Highlands.”

Pada PRK Cameron Highland 26 Jan lalu, Ramli Mohd Nor yang menjadi calon langsung BN menang dan dia bukan ahli kepada mana-mana komponen parti tersebut.

Untuk rekod, Cameron Highland secara tradisinya merupakan kerusi MIC.

Friday, October 4, 2019

PRK Tanjung Piai: Calon Melayu Islam paling terbaik

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
04/10/2019

UMNO-PAS perlu bukti Muafakat Nasional bukan retorik sehingga jadi bahan peluru PH, jika masih berkeras pilih bukan Melayu sebagai calon


BANGI
, 5 Safar 1441H, Jumaat – Parti-parti Melayu dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu duduk semeja bagi membincangkan calon dan strategi paling sesuai untuk menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor.

Mengesyorkan perkara itu, Presiden Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa), Datuk Dr Badhrulhisham Abd Aziz berkata, UMNO dan PAS perlu ikhlas dalam membuktikan Muafakat Nasional bukan hanya untuk mereka berdua tetapi juga melangkaui dan membabitkan semua orang Melayu.

“Jika tidak, kepercayaan yang diberi oleh orang Melayu pada 14 September lalu, akan lebur dan sukar untuk dikembalikan.

“Muafakat Nasional akhirnya akan jadi retorik dan bahan peluru PH jika memilih calon bukan Melayu sebagai calon PRK Tanjung Piai kali ini. Ini bukan isu perkauman tetapi strategi yang perlu diguna pakai pada waktu dan situasi tertentu,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebarang niat untuk meletakkan calon bukan Melayu pada PRK kali ini perlu dipadamkan kerana Tanjung Piai adalah kawasan majoriti Melayu.

Katanya, kawasan majoriti Melayu, kekalahan MCA pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan penurunan undi beberapa PRU sebelum PRU14, semangat kesepakatan hasil Muafakat Nasional dan keadaan semasa politik membuktikan bahawa pilihan calon Melayu Islam adalah yang terbaik.

“MCA perlu berkorban dan memberi laluan serta kena faham kerana ini bukan PRU tetapi PRK yang memerlukan strategi tertentu untuk menang dan melonjakkan perjuangan pembangkang dalam PRU-PRU akan datang untuk menguasai negara.

“Bila PRU15 nanti, medan untuk berbincang pembahagian kerusi yang lebih menyeluruh boleh dibuat mengambil kira kepentingan semua kaum,” katanya.

Komposisi pengundi P165 Tanjung Piai ialah Melayu 56.7 peratus, Cina 41.6 peratus, India 1 peratus dan lain-lain 0.7 peratus.

Pada PRU14, Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai, Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik memperolehi 21,255 undi menewaskan Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS) dengan majoriti 524 undi.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini manakala tarikh penamaan calon ditetapkan 2 November serta pengundian awal akan diadakan pada 12 November.

Tuesday, October 1, 2019

Mat Sabu akui PH sukar menang di Tanjung Piai

B Nanth Kumar
Diterbitkan Hari ini 3:32 petang


Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mengakui sukar bagi Pakatan Harapan mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Menurutnya, faktor pengundi luar yang dijangka tidak ramai pulang mengundi menyukarkan PH mempertahankan kerusi tersebut yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

"Selalunya PRK memang kita (PH) sukar untuk mencapai kemenangan. Terutama sekali pengundi-pengundi luar, sama ada bekerja di Singapura, Australia dan tempat-tempat lain.

"Banyak yang tidak pulang sebab mereka menganggap siapa menang pun tak dapat mengubah kerajaan.

"Tapi kalau PRU, mereka sanggup berbelanja sendiri untuk pulang, walaupun mereka habis lima atau enam ribu Ringgit," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sekalung Budi Media Pertahanan di Hotel Istana, Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu juga memberi contoh keputusan PRK Teluk Intan pada tahun 2014, yang menyaksikan pembangkang pada masa itu tewas kepada BN walaupun kerusi tersebut merupakan kubu kuat DAP.

Belum dapat notis mesyuarat bincang calon

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik dari Bersatu pada 21 Sept lalu akibat komplikasi jantung.

Pada PRU lalu, Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai memperolehi 21,255 undi menewaskan Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS) dengan majoriti 524 undi.

Sementara itu, Mohamad yang juga presiden Amanah berkata notis mesyuarat Majlis Presiden PH bagi membincangkan calon pada PRK berkenaan masih belum diterima.

"Belum lagi dapat notis kerana perdana menteri baru pulang hari ini (dari luar negara). Esok mesyuarat kabinet. Dan barangkali esok akan dibagitahu oleh Tun (Dr Mahathir Mohamad) bila mesyuarat PH," katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini dan pengundian awal pada 12 November.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun turut mengumumkan hari penamaan calon ditetapkan pada 2 November.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-