Monday, November 18, 2019

'PH perlu teliti kalah kerana populariti BN pulih atau undi protes'


BERITA

PH dilihat perlu meneliti punca kekalahan mereka di pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai melalui dua perspektif dan isyarat yang ditunjukkan oleh pengundi, kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Kata Saifuddin, PH perlu meneliti secara berhikmah dan bijaksana prestasi mereka bagi setiap pusat daerah mengundi (PDM), sokongan mengikut kaum serta isu-isu yang menyumbang kepada kekalahan itu.

"Yang paling penting adalah PH mesti bersedia belajar apa saja isyarat yang dihantar pengundi Tanjung Piai, mesti bersedia terbuka dan berlapang dada memahami apakah isyarat yang dihantar.

"Apakah itu isyarat populariti BN kembali pulih, atau itu lebih kepada protes pengundi terhadap PH?" katanya kepada media selepas merasmikan Program Food Bank Siswa di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok, Kelantan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kekalahan kerusi parlimen itu adalah isyarat supaya peralihan kuasa perdana menteri dilakukan.

Saifuddin yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna menjelaskan, PH tidak sampai kepada isu tersebut (peralihan kuasa) dalam menangani kekalahan di Tanjung Piai.

Sabtu lalu Wee Jeck Seng dari MCA menang PRK Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi.

Wee meraih 25,466 undi untuk mengalahkan calon PH Karmaine Sardini yang mendapat 10,380 undi.

Sementara itu, mengulas lanjut, Saifuddin berkata, semua pihak dalam PH perlu menjadikan mesyuarat bulan Majlis Presiden PH sebagai platform terbaik untuk memulakan post-morterm terperinci kekalahan di Tanjung Piai.

Selain itu katanya, PH juga akan melihat perspektif sama ada kekalahan itu menjadikan PRK Tanjung Piai sebagai cerminan situasi (sokongan) menyeluruh di seluruh negara.

"Terakhir, jangan ada 'denial syndrome' (sindrom penafian) dan bersedia mengakui ia adalah hak demokrasi pengundi yang sudah membuat keputusan masing-masing.

"Saya lihat sistem PRK kali ini lebih baik dan berjalan dengan kemas sekali gus menjadi nilai tambah kepada kerajaan baru. Semua orang boleh sampaikan pandangan tanpa rasa keluh kesah dan mereka sudah buat keputusan berkenaan.

"Jadi, lebih baik kita menghormati keputusan dan belajar isyarat yang disampaikanrakyat yang dilihat lebih penting. Sudah tentu strategi perlu diubah kerana barangkali usaha yang dibuat sudah baik cuma proses komunikasi tidak lancar menyebabkan rakyat tidak tahu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-