Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Saturday, November 23, 2019

Satu setengah tahun itu

Diterbitkan Hari ini 9:39 pagi

BERITA

ULASAN | Masih tidak lama satu setengah tahun itu. Rasanya seperti baru semalam kita menyambut kemenangan besar rakyat Malaysia dalam satu pertarungan yang asalnya dilihat tidak mungkin menang.

Ketika Anwar Ibrahim masih di dalam penjara, Dr Mahathir Mohamad menggalas tugas mengemudi PH di bahu tuanya. Rakyat - perwira sebenar hari itu - menyambut matahari sinar baru untuk negara ini kemudiannya.

Pada malam itu saya bersama rakan-rakan pergi ke pusat pengiraan undi sekitar jam 1 pagi untuk menyambut kemenangan menumpaskan rejim BN. Luar biasa auranya.

Setiap pelusuk paru-paru terisi nafas harapan. Tidak sabar menunggu hari esoknya. Masihkah anda ingat saat itu?

Sepanjang tempoh berkempen, semua pemimpin PH fokus untuk menumbangkan BN yang menggunakan segala senjata - wang, jentera kerajaan, TV dan surat khabar - untuk mengekalkan kuasa.

Ugutan dan fitnah bermaharajalela, namun rakyat tidak bodoh. Rejim BN tumbang walau apa saja yang perlu dikorbankan.

Kos sara hidup yang mencengkam, penganggguran yang ditanggung sedangkan pemerintah ketika itu hidup senang-lenang dan membazir. Rasuah dan menayang kemewahan bukan sesuatu yang memalukan lagi.

Rakyat kini jadi musuh

Satu setengah tahun tidaklah terlalu lama untuk kita lupa pada kesepakatan PH yang terbina erat dan menjanjikan harapan baru untuk rakyat Malaysia. Namun, ramai juga yang telah lalai.

Pimpinan PH seolah-olah tiada grup WhatsApp untuk berbincang sesama sendiri setiap kali wujud pertikaian. Maka mereka - dengan dilihat rakyat terbanyak - sering bertelingkah secara terbuka.

Pada masa sama ada pula kini berkereta mewah, sedangkan elaun untuk nelayan miskin dikurangkan lebih daripada separuh. Polisi separuh masak diumum kemudian diubah ke dasar sebelumnya apabila rakyat membantah.

Ini bukan soal kerajaan baru yang masih muda. Ini masalah pengurusan persepsi. Justeru kerajaan PH seperti tidak bersuara dalam satu pasukan. Semua mahu bercakap dan ada pendapat masing-masing. Rakyat menjadi celaru dan mempersoalkan: Adakah kata-kata kerajaan hari ini boleh dipercayai?

Suara rakyat yang mengangkat mereka naik kini menjadi musuh. Tiada lagi konsultasi rakyat, dan PH menjadi seolah-olah diktator kecil. Cukai gula dan cukai digital yang akan bermula tidak lama lagi masih belum ada penerangan jelas.
Sistem pembelajaran aliran tunggal juga masih kelabu. Ini soal masa depan anak-anak kami. Sekejap dalam kajian, sekejap kata dah keluar surat. Ibu bapa dan pelajar ini bertaraf tunggul kayu sajakah?

Apakah rakyat terlalu bodoh untuk faham dan bincangkan? Apakah rakyat hanya perlu telan bulat-bulat keputusan kerajaan?

Bantuan kerajaan untuk bantu rakyat juga tak kedengaran. Yang kita dengar polisi yang tajuk-tajuk yang muluk kekal di atas kertas. Bagaimana ini semua dapat membantu rakyat yang lapar dan terpaksa melakukan dua kerja untuk menyara keluarga?

Adakah impian rakyat sudah melayang bersama kereta terbang yang menjadi obsesi peribadi pak menteri?

Di Tanjung Piai rakyat memberi amaran. Muka pimpinan 'ditampar' agar kembali sedar. Majoriti besar untuk BN - sebuah parti yang melekat segala tuduhan korupsi dan agenda rasis - tetapi adakah PH akan sedar? Atau terus selesa menyalahkan gerak kerja punca dirinya gagal?

Banyak cuma satu penggal

Sekarang kita dengar pelbagai ceritera bagaimana kekalahan itu asalnya sebuah sabotaj untuk menjatuhkan Dr Mahathir, atau kesalahan diletakkan pada jentera menteri besar Johor yang tiada pengalaman.

Dongengan ini seperti cermin kabur yang menghalang PH daripada benar-benar menyuluh diri sendiri ketika rakyat lelah dengan prestasi kerajaan sekarang.

Jangan sampai terluncur ayat: "Jika dulu Umno rasuah, sekurang-kurangnya mereka membantu".
Ketika keadaan itu berlaku, tiada lagi jalan pulang. Segala usaha untuk mengajak rakyat membenci rasuah akan gagal. Biarlah rasuah asalkan rakyat hidup senang!

Keluarga PH perlu kembali menilai diri dan mencari identiti. Sebagai ahli kepada parti komponen PH, saya lihat apa yang terjadi sekarang tidak lebih daripada sikap enau dalam belukar - melepaskan pucuk masing-masing.

Mana hilang kesepakatan kita ketika menjadi pembangkang di saat kita mampu bergelak dan menangis bersama? Begitu hebatkah ujian kuasa dan harta?

Satu setengah tahun terlalu awal untuk kita melupakan perit jerih yang kita hadapi bersama dulu. Satu setengah tahun adalah tempoh yang terlalu singkat untuk kita menjadi linglung akan janji dan matlamat PH, untuk menjadi kerajaan reformasi - yang bukan saja melawan rasuah tapi juga menterjemahkan hasil perlawanan itu kepada nikmat yang dikongsi bersama rakyat.

PH perlu ingat berapa banyak kerajaan seperti kita cuma bertahan satu penggal. Mungkin ahli parlimen sekarang boleh mendabik dada yang mereka tidak peduli untuk kalah, namun apa yang akan jadi kepada rakyat jika BN kembali memerintah?

PH harus kembali menyantuni rakyat, buang segala protokol dan laporan agensi kerajaan yang serba warna-warni, sebaliknya kembali merasai denyut nadi rakyat.

Demokrasi ini bising, memenatkan dan tidak akan sempurna, namun inilah tekad kita - untuk mengangkat suara rakyat dan memberi solusi terbaik untuk segala permasalahan mereka.

Masih ada masa untuk berubah jika mahu. Jangan tenggelam dalam politik tamak kuasa peribadi yang begitu hiruk-pikuk sekarang. Ingat, jika rakyat mengangkat kita, rakyat juga boleh buang kita.

Testamen Tanjung Piai jangan dibiarkan berlalu tanpa apa pun perubahan.

IRFAN MAHZAN ialah mahasiswa jurusan media dan komunikasi yang mendukung Reformasi. Dia juga timbalan presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-