Showing posts with label Rakyat Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Rakyat Malaysia. Show all posts

Monday, April 1, 2024

MCA: Adakah Padu jenaka April Fool untuk rakyat?

malaysiakini.com
Diterbitkan: Apr 1, 2024 8:00 PM
Naib Presiden MCA Wee Jeck Seng menyifatkan pengumuman terbaru mengenai pendaftaran automatik Pangkalan Data Utama (Padu) benar-benar membodohkan rakyat.

Menurutnya, kerajaan perlu menjelaskan bagaimana ia boleh membenarkan pendaftaran automatik bagi 30 juta rakyat sedangkan soal privasi dan pendedahan maklumat peribadi masih tidak dapat diselesaikan.

“Kerajaan telah meletakkan data peribadi orang ramai di bawah risiko kebocoran serta kecurian identiti oleh penggodam.

“Walaupun tarikh akhir pendaftaran Padu adalah 31 Mac 2024, hanya 10.8 juta rakyat Malaysia telah mendaftar di seluruh negara.

“Dua pertiga daripada penduduk kita bangun pagi ini dan mendapati bahawa mereka telah didaftarkan secara automatik ke dalam Padu.

“Pengumuman terbaru ini benar-benar membodohkan rakyat biasa yang beratur panjang untuk mendaftar Padu selepas diberi tanggapan bahawa pendaftaran adalah wajib,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pengarah Perangkawan Uzir Mahidin yang memaklumkan, individu yang tidak mendaftar sistem Padu sehingga berakhir 31 Mac 2024 akan dimasukkan ke dalam sistem secara automatik.

Sementara itu Wee berkata, dua pertiga lagi penduduk yang tidak mendaftar kini mempunyai kebimbangan tambahan sama ada maklumat peribadi mereka mungkin bocor atau dicuri.

“Kerajaan berulang kali menggunakan alasan ancaman kehilangan subsidi bagu meminta orang ramai mendaftar sistem Padu.

“Bagaimanapun, ia juga berdegil memekakkan telinga terhadap isu keselamatan Padu, dengan tidak menghiraukan kebimbangan rakyat tentang kebocoran data peribadi atau kecurian identiti selepas mendaftar dengan Padu

“Kerajaan tetap tidak mahu mengakui bahawa rancangannya telah gagal dan kini menggunakan pendaftaran Padu automatik untuk rakyat Malaysia - ini bersamaan dengan merisikokan data peribadi setiap orang,” dakwanya.

Justeru dia menggesa Menteri Ekonomi Rafizi Ramli tampil menjelaskan dan mengakui bahawa projek Padu gagal.

“Ini kerana tidak kira mendaftar atau tidak, semua orang akan ‘diPadukan’ pada akhirnya.

“Kedua, jika akaun anda telah digodam atau maklumat peribadi dibocorkan atau diselewengkan, adakah kerajaan akan bertanggungjawab?

“Ketiga, sebagai tambahan kepada RM80 juta yang dibelanjakan untuk projek pendaftaran Padu, berapakah jumlah modal insan, sumber material dan kos kewangan keseluruhan projek ini daripada penggubalan, pembangunan sehinggalah promosi?” kata ahli Parlimen Tanjung Piai itu.

Thursday, October 5, 2023

Rombak segera Kabinet kerajaan campuran yang tak berfungsi: Afnan

agendaily.com
05/10/2023
Afnan Hamimi Taib Azamudden

Kerajaan campuran digesa merombak barisan menterinya yang dilihat gagal memainkan peranan dalam menangani isu yang sedang membelenggu rakyat ketika ini.

Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata kegagalan kerajaan campuran dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin terserlah apabila isu barang asas gagal ditangani, ditambah dengan kenaikan harga barang dan ekonomi yang tidak diurus dengan baik.

“Mutakhir ini, berbagai isu timbul dan telah mencetuskan kebimbangan rakyat Malaysia. Isu-isu keperluan asas seperti beras, telur ayam dan minyak, isu kejatuhan matawang negara, isu reformasi tata kelola yang tidak direalisasikan dalam pentadbiran kerajaan campuran, sehinggalah isu ketidakcekapan kerajaan untuk menangani pelbagai sentimen negatif, dilihat terus menghantui dan meresahkan rakyat.

:Kini, Bank Dunia menjangkakan keadaan ekonomi negara akan terus ‘menyederhana’, dan bakal gagal mencapai paras KDNK sasaran, iaitu sekitar 4-5 peratus. Berkemungkinan, kita hanya mampu mencapai sekitar 3.9 peratus.

“Sasaran untuk membentuk Belanjawan ‘surplus’ sehingga kini masih lagi tidak nampak bayang. Pastinya hal ini telah lari daripada agenda YAB Perdana Menteri yang dahulunya berdegar-degar mahu menampilkan belanjawan yang tidak defisit,” katanya dalam satu kenyataan.

Timbalan Ketua Pemuda PAS itu berkata barisan pentadbiran kerajaan campuran dilihat terlalu rapuh sehingga membebankan Anwar sendiri.

“Pemuda PAS berpendirian bahawa pasukan kerajaan dan kabinet yang ada pada ketika ini terlalu ‘fragile’, dan dilihat hanya sebagai kabinet ‘one man show’ yang membebankan kedudukan Perdana Menteri itu sendiri.

“Peranan Menteri yang penuh dengan ‘formula’ dan beberapa Menteri yang gagal berfungsi dalam mengatur harga dan kawalan bekalan makanan asas sangat wajar digugurkan.

“Pemuda PAS juga menolak sebarang tugas ‘part time’ dalam kementerian penting seperti Kementerian Kewangan. Seorang Menteri ‘full time’ yang lebih berkesan berbanding Menteri yang ada kini perlu dinaikkan,” katanya lagi.

Afnan berkata sudah tiba masanya untuk Anwar merombak barisan jemaah menterinya untuk memastikan segala permasalahan dihadapi negara dapat ditangani dengan segera.

“Maka, sewajarnya dibuat satu penstrukturan semula bagi para Menteri dan Timbalan Menteri yang gagal berfungsi dan kembalikan fungsi beberapa kementerian yang penting untuk mengemudi negara dengan lebih baik.

“Insya-Allah Pemuda PAS akan terus memberikan komitmen bersama jika pihak kerajaan campuran benar-benar mahu mentadbir negara.

“Jika tidak, ianya mungkin hanya sekadar menjadi ‘transit’ sebelum diambil alih oleh pihak lain,” ujarnya lagi.

Spekulasi rombakan Kabinet hangat diperkatakan kebelakangan ini, bagaimanapun Anwar baru-baru ini berkata setakat ini tiada keputusan dibuat untuk menukar barisan menterinya.

Sunday, September 17, 2023

B40: Terpaksa catu makanan, kami tiada pilihan lain - Suri rumah

mediaprima.com.my
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@mediaprima.com.my
HARGA beras naik mendadak di pasar raya. FOTO Fathil Asri

Kuala Lumpur: Kenaikan mendadak harga beras membebankan bukan sahaja golongan B40 malah hampir keseluruhan rakyat Malaysia yang terus dihimpit peningkatan kos sara hidup, seolah-olah tiada berpenghujung.

Isu terbabit dilihat terus menjadi masalah utama membelenggu masyarakat meskipun kerajaan menyatakan akan mengambil tindakan segera.

Pengguna, Rohani Omar, 50, meluahkan kekecewaannya kerana harga beras tempatan jenama Nagasari yang sebelum ini dibeli pada harga RM25 bagi 10 kilogram (kg), sekarang naik sehingga RM40.

Katanya, dia hanya suri rumah dan suami bekerja sebagai tukang kebun berpendapatan RM1,500 sebulan terpaksa mencatu makanan kerana kenaikan harga beras yang mendadak.

"Kami tiada pilihan lain kerana sebelum ini kami hanya mampu membeli beras yang paling murah. Sekarang naik melampau, itu baru beras, belum lagi harga ayam dan telur sama naik," katanya kepada Harian Metro.

Bagi Mustafa Rusdi, 48, dia yang membeli beras wangi import turut merasakan kenaikan ketara kos perbelanjaan bulanannya.

Menurutnya, peningkatan itu sangat membebankan kerana beras adalah makanan utama rakyat negara ini.

"Saya terkejut apabila hendak membeli beras, kalau sebelum ini harga beras import wangi yang paling murah antara RM40 ke RM42 (10 kg), sekarang harga mencecah RM60 hingga RM70 dan stok beras memang selalu tiada.

"Susah nak dapat beras yang harga murah, mahu tak mahu terpaksa beli. Kalau tunggu pasar raya buat promosi pun harga beras masih tinggi berbanding sebelum ini.

"Pernah sampai satu tahap, saya terpaksa pergi ke setiap pasar raya berdekatan untuk membuat perbandingan harga beras yang lebih murah," katanya.

Sementara itu, peniaga runcit, Mohammad Afif, 34, berkata, stok beras di kedainya selalu habis dan hanya mendapat jumlah beras yang terhad dari pembekal.

Sebagai peniaga runcit, pihaknya hanya mampu menjual beras tempatan lima kilogram kerana perlu membeli bekalan secara tunai dan memerlukan modal yang besar.

"Baru hari ini, kami dapat 20 pek beras tempatan Faizah (5 kg) itu pun selepas tunggu lama," katanya.

Mohammad berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat memberi subsidi beras sama seperti minyak masak dan tidak membenarkan warga asing menikmati kemudahan subsidi berkenaan.

Menurutnya, Malaysia perlu tegas terhadap warga asing yang turut menikmati barangan subsidi.

Disiarkan pada: September 17, 2023 @ 1:46pm

Tuesday, October 11, 2022

Isu-isu utama yang pengaruhi cara rakyat mengundi

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 11, 2022 12:17 PM
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Dewan Rakyat semalam bagi membolehkan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan dengan alasan bagi mendaptkan mandat lebih kuat demi menstabilkan landskap politik berliku yang berterusan berikutan skandal berbilion dolar 1MDB dan krisis Covid.

Berikut ialah isu utama yang akan menentukan cara rakyat Malaysia mengundi:

Ekonomi dan inflasi

Kenaikan harga dan prospek ekonomi akan menjadi pertimbangan utama pengundi kerana kerajaan dan bank pusat telah memberi amaran mengenai pertumbuhan perlahan tahun depan.

Ekonomi dijangka berkembang 4-5 peratus tahun depan, susulan jangkaan pertumbuhan 6.5-7 peratus tahun ini.

Harga terus mencanak naik, terutamanya barangan makanan.

Kerajaan berkata ia akan mengurangkan subsidi mulai 2023 disebabkan tekanan fiskal, yang akan menyaksikan kenaikan harga selanjutnya jika kerajaan baharu meneruskan rancangan itu.

"Isu utama (dalam pilihan raya) ialah kesejahteraan sosioekonomi yang semakin merosot dengan cepat," kata Oh Ei Sun, seorang felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.
Oh Ei Sun
Kebanyakan majoriti etnik Melayu di negara ini menjangkakan Umno "sebagai paling bersedia untuk memberikan bantuan pada masa yang sukar ini", katanya.

Umno, sebagai tunjang pakatan BN, mentadbir Malaysia selama lebih 60 tahun sejak merdeka sehingga 2018 apabila ia digulingkan atas dakwaan rasuah yang berleluasa.

Parti nasionalis Melayu itu membina sokongannya selama ini melalui sistem naungan yang kuat, terutamanya di kalangan orang Melayu.

Kestabilan politik

Rakyat Malaysia kecewa dengan perebutan kuasa dan politik yang menggegarkan negara sejak kemenangan bersejarah oleh pembangkang yang menumbangkan Umno.

Kemenangan oleh pakatan pimpinan Mahathir Mohamad adalah yang pertama oleh pembangkang dalam sejarah Malaysia.

Sejak digulingkan, Umno cuba untuk kembali ke tampuk kuasa dan menjadi punca utama pergolakan, dengan pergaduhan di dalam barisan dan juga dengan rakan perikatannya.
Najib, Mahathir, Muhyiddin, Ismail Sabri
Negara ini mempunyai tiga perdana menteri dalam dua tahun kebelakangan ini, ketika ekonomi terjejas akibat pandemik Covid-19.

Semasa mengumumkan pembubaran parlimen, Ismail berkata ketidakstabilan politik telah memberi kesan negatif kepada ekonomi dan menyatakan keperluan untuk mengembalikan mandat kepada rakyat.

Penganalisis juga menjangkakan ketidakstabilan akan menjejaskan peratusan keluar mengundi, terutama di kalangan mereka yang secara tradisinya mengundi pembangkang, disebabkan kekecewaan politik.

Rasuah

Rasuah adalah sebab utama kekalahan Umno pada 2018, dan beberapa pengkritik berkata kemenangan Umno yang meyakinkan pada pilihan raya akan datang boleh memburukkan lagi rasuah dan menyaksikan kembalinya ahli politik yang dicemari rasuah untuk berkuasa.

Beberapa pemimpin tertinggi parti itu diheret ke mahkamah selepas kalah pada pilihan raya, dan mereka yang menggesa Ismail untuk mengadakan pilihan raya awal.
Zahid Hamidi
Ismail bulan lalu mengumumkan siasatan salah laku yang meluas terhadap bekas peguam negara yang membawa kes rasuah terhadap pemimpin Umno.

Bekas perdana menteri Najib Razak, bersama presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa pemimpin kanan parti lain, berdepan dengan puluhan tuduhan rasuah. Semua mereka menafikan sebarang salah laku, dengan Najib dan Zahid menyifatkan pertuduhan terhadap mereka sebagai bermotifkan politik.

Pada Ogos lalu, Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabitkan dengan rasuah dan pengubahan wang haram dalam kes yang dikaitkan dengan skandal kewangan berbilion dolar 1MDB. Dia masih berdepan dengan empat perbicaraan yang lain.

Bangsa dan agama

Perkauman dan agama kekal sebagai isu yang memecahbelahkan di Malaysia - sebuah negara berbilang kaum dengan kira-kira 32.7 juta penduduk.

Etnik Melayu, yang kebanyakannya beragama Islam, dan kumpulan peribumi membentuk kira-kira 70 peratus daripada penduduk negara ini, manakala selebihnya terdiri daripada kebanyakan mereka etnik Cina dan India.
Gambar Hiasan
Melayu konservatif, yang membentuk sebahagian besar pengundi, lebih berkemungkinan kembali menyokong Umno selepas berasa diketepikan oleh pentadbiran Mahathir, yang menyaksikan lebih ramai bukan Melayu dilantik ke jawatan kanan kabinet.

"Bagi kebanyakan orang Melayu, pilihan mereka adalah Umno atau sekurang-kurangnya parti-parti Melayu," kata penganalisis politik Oh.

- Reuters

Saturday, April 9, 2022

Kemenangan kepada rakyat Malaysia – Peguam Persekutuan AS

wartamalaysia.com.my
By Admin
-April 9, 2022
KEJAYAAN pihak pendakwaan memastikan bekas Pengarah Urusan Goldman Sachs, Roger Ng yang berdepan tuduhan terlibat rasuah dan penggubahan wang haram berkait dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menerima hukuman, bukan sahaja satu kejayaan kepada kemenangan dalam menegakkan undang-undang tetapi juga kemenangan kepada rakyat Malaysia.

Peguam Persekutuan AS, Breon Peace dalam satu sidang video selepas mahkamah di Brooklyn memutuskan Ng sebagai bersalah berkata, rakyat Malaysia yang sepatutnya menerima manfaat daripada dana itu yang bertujuan mengumpul wang bagi membangunkan ekonomi negara mereka, lapor Satu Berita.

Berikut transkrip penuh sidang video Peace:

Sebentar tadi Juri Persekutuan di mahkamah Brooklyn menjatuhkan hukuman bersalah kepada bekas Pengarah Urusan Goldman Sachs, Roger Ng, atas penglibatannya dalam rasuah dan penggubahan wang haram berkait dengan dana pelaburan pembanguna Malaysia iaitu 1MDB.

Skim/skandal ini sangat besar, defendan dengan rakan-rakan konspiratornya menggelapkan berbillion dollar dana itu. Cara mereka melakukan sangat berani, mengejutkan dan luar biasa.

Ng mendapatkan peluang perniagaan untuk majikannya dengan merasuah pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi dan sangat jelas ini berlaku kerana sikap tamak.

Kemenangan hari ini bukan sahaja dalam menegakkan keluhuran undang-undang tetapi juga kepada rakyat Malaysia yang sepatutnya menerima manfaat daripada dana itu bertujuan mengumpul dana bagi membangunkan ekonomi negara mereka.

Defendan dan kroninya tidak melihat 1MDB sebagai entiti untuk melakukan perkara baik buat rakyat Malaysia sebaliknya lubuk untuk mengkayakan mereka dengan timbunan wang daripada dana itu.

Di antara 2012 – 2013, Roger Ng menerima lebih 32 juta US dollar sebagai balasan daripada peranannya mencuri dan menggubahkan berbillion dollar daripada 1MDB termasuk satu dana yang 1MDB terbitkan sepanjang 2012 – 2013 menerusi tiga transaksi bon dan menggunakan wang berkenaan untuk merasuah.

Roger Ng juga berkonspirasi mempengaruhi bahagian kawalan dalaman Goldman Sachs bagi memastikan bank tersebut meluluskan ketiga-tiga bon berkenaan yang sangat penting untuk (menjayakan) skim (skandal) ini.

Roger Ng juga berpakat dengan pihak lain untuk membolehkan aktiviti penggubahan wang haram itu berjaya memasuki sistem kewangan Amerika dengan membeli antaranya hartanah mewah di New York, hasil seni bernilai tinggi, barang kemas dan menaja penerbitan filem Hollywood, The Wolf of Wall Street.

Dalam satu filem lain berkaitan Wall Street apabila ditonjolkan sikap tamak sebagai bagus, tetapi tamak tidak bagus apabila ia mendorong kita kepada rasuah dan penyalahgunaan kuasa untuk mempengaruhi kawalan dan polisi korporat serta melanggar undang-undang persekutuan.

Keputusan hari ini satu mesej tegas telah disampaikan kepada mereka yang berhasrat melakukan jenayah kewangan yang didorong sikap tamak. Anda akan ditangkap, didakwa dan dihukum seperti Roger Ng dan berdepan hukuman penjara panjang.

Thursday, July 29, 2021

Ahli parlimen DAP harus minta maaf pada PM, rakyat – Mohamad

suaramerdeka.com
Home
MOHAMAD HASAN

AHLI Parlimen DAP yang bersikap biadab kerana tidak menghormati saat bertafakur dan membaca surah al-Fatihah kepada mangsa Covid-19 dalam Dewan Rakyat digesa untuk meminta maaf kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan rakyat Malaysia.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ahli Parlimen DAP yang dirakam menjerit dan mengganggu ketika saat bertafakur dan membaca al-Fatihah yang dianjurkan oleh Muhyiddin merupakan perbuatan tercela dan jelik.

“Umat Islam dan rakyat Malaysia sangat tersinggung dengan tindakan biadab beberapa Ahli Parlimen DAP yang tidak menghormati saat bertafakur yang dianjurkan oleh Perdana Menteri semasa persidangan Parlimen dua hari lepas.

“Ketika Perdana Menteri membaca surah Al Fatihah dan menyatakan rasa dukanya terhadap kehilangan begitu banyak nyawa akibat pandemik ini, pemimpin DAP dan rakan-rakannya terus berteriakan dan menggangu Perdana Menteri.

“Tiada sedikitpun rasa hormat dan sopan kepada seruan bertafakur dan berdoa. Apa lagi terhadap seorang Perdana Menteri,” kata Mohamad.

Beliau menegaskan sikap yang ditunjukkan oleh ahli parlimen DAP tersebut bercanggah dengan peribadi masyarakat Malaysia yang teguh dengan nilai dan moral.

Mohamad berkata, Parlimen tidak sepatutnya menjadi tempat perbuatan biadab terhadap agama dan bangsa.

“DAP harus meminta maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri dan seluruh umat Islam serta rakyat Malaysia atas tindakan tidak sopan mereka itu.

“Parlimen Malaysia tidak boleh menjadi tempat agama dan nilai terbaik bangsa menjadi sendaan dan perbuatan biadab,” kata Mohamad.

Isnin lalu rakyat Malaysia terkejut dengan tindakan segelintir ahli parlimen DAP yang memekik dan menjerit ketika Muhyiddin dan ahli parlimen lain bertafakur dan membaca al-Fatihan kepada mangsa Covid-19 sebagai pembuka Mesyuarat Khas Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, ahli-ahli parlimen DAP bangun dan terus menjerit-jerit tanpa menghiraukan Muhyiddin dan ahli parlimen lain yang sedang membacakan surah Al-Fatihah.

“Point of order, point of order,” kata mereka untuk menghalang Muhyiddin meneruskan ucapan.

-SM

Sunday, May 10, 2020

Apa yang UMNO dapat tawarkan kepada rakyat Malaysia?

- @politik
-May 10, 2020

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata cabaran utama parti kini adalah apakah yang UMNO ingin tawarkan kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia.

Ujarnya, UMNO perlu menawarkan keunggulan dan kelainan baharu yang boleh membezakannya dengan lain-lain parti dan seterusnya memberikan UMNO kelas tersendiri sebagai sebuah gerakan politik yang moden.

“Kita perlu renungkan dengan ikhlas soal ini kerana semenjak kita tidak mendapat sokongan rakyat untuk tidak menjadi kerajaan, kita belum lagi persembahkan tawaran kita. Selain dari kita bercakap soal UMNO ini membela bangsa, agama dan negara.

“Soal ini UMNO mesti realistik, mesti kemukakan kelainan, tanpa kelainan apa beza dengan parti yang lain.

“Maknanya UMNO mesti menawarkan sesuatu yang lebih unggul dan kelainan yang meletakkan kita dalam kelas, kedudukan dan pengaruh yang berbeza dari parti-parti yang lain,” katanya seperti dilapor Umno Online.

Jelasnya, sebagai contoh apa yang UMNO pernah lakukan semasa menjadi kerajaan, selama lebih 60 tahun parti memberi kelainan dalam mentadbir.

“..mengurus perpaduan dalam negara dan melahirkan sebuah negara yang rakyatnya bersatu. Ini sangat unik dan membezakan kita dengan yang lain.

“Begitu juga mengurus pengagihan kekayaan melalui dasar yang diperkenalkan, membantu golongan bumiputera tetapi dalam masa yang sama kita tidak menyekat peluang untuk kaum bukan bumiputera.

“Akses pendidikan menjadi universal, berjaya melahirkan kelas menengah yang besar melalui dasar pengupayaan kita. Lihat juga sumbangan UMNO dalam mewujudkan kestabilan melalui politik, perkongsian kuasa yang sangat unik dan tentulah juga dengan pertumbuhan ekonomi,” tambahnya.

Monday, April 27, 2020

Polis siasat hantaran media sosial isu pelarian Rohingya


Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata pihak polis sedang menyiasat audio, video dan berita mengenai isu pelarian Rohingya ke negara ini, sehingga menimbulkan kenyataan berbaur kebencian di media sosial baru-baru ini.

Menurutnya, beliau hairan mengapa isu kedatangan Rohingya itu tiba-tiba dibangkitkan, sedangkan kedatangan mereka sebelum ini telah mendapat simpati dari Malaysia ekoran pelbagai musibah yang ditimpa mereka seperti dibakar hidup-hidup dan dibunuh dengan kejam.

“Semua berita-berita itu menyebabkan kita sebagai sebuah negara menerima mereka waktu itu dan tak ada isu pun.

“Tapi akhir-akhir ini tiba-tiba isu ni menjadi besar dan ini juga menghairankan pihak berkuasa, pihak polis terutamanya kerana akhir-akhir ini terlalu banyak berita-berita melalui media sosial, video misalnya dikeluarkan yang menimbulkan kemarahan rakyat kepada mereka.

“Jadi pihak polis sedang menyiasat perkara ini sebab ada juga yang menganggap sesetengah video dan audio itu adalah palsu.

"Walau bagaimanapun tiada sesiapa pun boleh menentukan kesahihan palsu atau tidak kecuali pihak polis,” katanya pada satu sidang media harian di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai isu Rohingya dan bagaimana pihak keselamatan mengendalikan sentimen antipelarian itu supaya tidak mencetuskan sebarang insiden keganasan.

Isu Rohingya menjadi perhatian ramai di media sosial sejak beberapa hari lalu selepas pihak berkuasa memintas cubaan sebuah bot membawa pelarian Rohingya memasuki negara ini pada 16 April lalu.

Bot yang membawa pelarian Rohingya itu membawa kira-kira 200 orang Rohingya yang mahu memasuki Malaysia menerusi perairan Langkawi.

Bertenang, biar polis siasat

Ismail yang juga menteri pertahanan menasihatkan supaya rakyat Malaysia bertenang dan tidak menimbulkan isu-isu yang membangkitkan kemarahan sehingga boleh mencetuskan perkara yang tidak diingini.

“Malaysia adalah sebuah negara aman dan kita terkenal dengan negara sangat bertimbang rasa oleh sesiapa saja yang ada di bumi Malaysia ini.

“Jadi saya harap kita bertenang dan kita beri peluang kepada pihak polis untuk menyiasat perkara-perkara yang ditimbulkan. Insyaallah polis akan siasat semua perkara yang ditimbulkan di dalam media sosial, YouTube dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini, keadaan pelarian Rohingya itu mendapat perhatian Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom), Zafar Ahmad Abdul Ghani, yang kemudiannya mengeluarkan kenyataan supaya kerajaan bertanggungjawab terhadap pelarian berkenaan.

Zafar turut didakwa mengeluarkan kenyataan menghina rakyat Malaysia, menuntut hak kerakyatan penuh.

Bagaimanapun, dia menafikan pernah mengeluarkan kenyataan seperti itu dan menyifatkannya sebagai tuduhan palsu.
Kem pelarian Rohingya di Cox Bazaar, Bangladesh.
Pada 16 Feb lalu, sekurang-kurangnya 14 nyawa melayang selepas sebuah bot dalam perjalanan menuju Malaysia membawa pelarian Rohingya karam di perairan selatan Bangladesh.

Sementara itu, AFP pada 17 April melaporkan 32 pelarian Rohingya dipercayai maut dalam sebuah bot yang sesak dengan kira-kira 400 penumpang yang "kebuluran."

Bot yang membawa hampir 250 kanak-kanak dan wanita itu pada awalnya menuju ke Malaysia tetapi terdampar di perairan Teluk Bengal hampir dua bulan sebelum diselamatkan pihak berkuasa Bangladesh.

Lebih 730,000 etnik Rohingya melarikan diri dari Myanmar selepas tindakan keras dilakukan tentera pada tahun 2017, memaksa mereka memenuhi kem-kem di sempadan Bangladesh.

Penyiasat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyimpulkan bahawa kempen ketenteraan itu dilaksanakan dengan "niat melakukan genosid".

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Januari mengarahkan Myanmar mengambil langkah segera melindungi penduduk Rohingya daripada tindakan kejam - keputusan yang dipuji sebagai "kejayaan keadilan antarabangsa" oleh negara kecil Afrika yang membawa kes itu ke ICJ.

Tindakan undang-undang yang failkan Gambia pada November tahun lalu kepada badan tertinggi PBB untuk pertikaian antara negara itu, mendakwa Myanmar melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Rohingya dengan melanggar konvensyen 1948.

Keputusan akhir mahkamah mungkin mengambil masa bertahun-tahun, dan keputusan pada Khamis hanya melibatkan permintaan Gambia untuk langkah-langkah awal, lapor Reuters.

Monday, March 30, 2020

Sikap rakyat Malaysia tentukan tempoh PKP

Setakat ini lebih 97 peratus rakyat Malaysia mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu.
 — Foto oleh Ahmad Zamzahuri

KUALA LUMPUR, 30 Mac — Tidak dinafikan tahap kepatuhan rakyat Malaysia kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah mencapai 97 peratus namun bukan peratusan itu yang dimahukan kerajaan untuk menjayakan usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Kerajaan mahukan pematuhan 100 peratus. Namun apabila melihat kepada jumlah 649 individu yang ditahan pada Sabtu di seluruh negara iaitu meningkat sekali ganda berbanding hari sebelumnya, ia menggambarkan masih ada kalangan rakyat yang ingkar dengan PKP dan memandang ringan ancaman maut Covid-19.

Ada antara mereka yang diperiksa dan ditahan ketika melepak di warung kopi, tempat-tempat awam dan lebih teruk melanggar sekatan jalan raya PKP yang dijalankan. Keluar membeli makanan adalah antara alasan yang diberikan. Tetapi perlukah sampai keluar empat kali membeli makanan? Apa sudah jadi?

Walaupun tempoh dua minggu pertama PKP akan berakhir esok (Selasa), masih ada dua minggu lagi untuk rakyat Malaysia memperbaiki ‘angka pematuhan’ perintah PKP dan bersama kerajaan memerangi wabak ini. Jadi teruskanlah bantu kerajaan dengan cara mendisiplinkan diri, “duduk di rumah” dan hanya keluar bila perlu sahaja.

Hari ini merupakan hari ke-13 penguatkuasaan PKP dan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan PKP peringkat kedua dijangka diumumkan hari ini (Isnin) dengan peraturan lebih tegas berbanding dilaksanakan ketika ini, dengan harapan PKP tidak perlu dilanjutkan lagi selepas 14 April, menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Hari ini juga, kerajaan akan melakukan Operasi Nyah Cemar wabak Covid-19 di seluruh negara melibatkan lokasi titik panas iaitu Zon Merah dan Zon Jingga melibatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal di seluruh negara.

Selain PKP, usaha serius dan berterusan kerajaan melaksanakan proses nyah cemar sememangnya wajar dipuji dalam memutuskan rantaian wabak Covid-19 kerana sehingga petang semalam 150 kes baharu dicatatkan, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini sebanyak 2,470 dengan jumlah kematian sebanyak 35 kes.

Sebenarnya, beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) di beberapa negeri terlebih dahulu mengambil langkah proaktif melaksana proses nyah cemar dengan menumpukan di kawasan berisiko tinggi terhadap jangkitan wabak berkenaan.

Antaranya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah secara besar-besaran melakukannya di sekitar ibu kota bermula Sabtu, di sekitar kawasan Sri Petaling.

Selain itu hampir semua 15 PBT di Perak telah melaksana proses itu di kawasan masing-masing sejak awal minggu ini, dengan tumpuan antaranya pasar awam, taman atau padang rekreasi. Proses sanitasi juga dilakukan Majlis Perbandaran Klang sejak 23 Mac melibatkan 35 lokasi.

Tidak dilupakan juga semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika meninjau sebuah pasar raya di ibu kota, melahirkan rasa syukur dan lega kerana orang ramai semakin peka terhadap saranan kerajaan berhubung pematuhan jarakan sosial sepanjang tempoh PKP ini.

“Pagi tadi (semalam) saya sempat turun ke sebuah pasar raya di Kuala Lumpur. Cari barang-barang sedikit sambil melihat amalan orang ramai di pasar raya. Alhamdulillah, ramai sudah peka mengenai keperluan jarak sosial,” katanya dalam catatan di media sosial rasminya.

Apa yang menariknya, hantaran tersebut menerima komen positif daripada rakyat yang memuji Muhyiddin sebagai seorang pemimpin yang mengotakan apa dikatakan, iaitu hanya ketua keluarga dibenarkan keluar sekiranya perlu mendapatkan barang keperluan di rumah khususnya barangan makanan.

Mulai tengah malam tadi juga, kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor membabitkan tujuh kampung merangkumi 700 kediaman merupakan kawasan terbaharu dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) oleh kerajaan. 

Bernama

Thursday, February 27, 2020

'Cukup-cukuplah pamer kejelikan kita di celah kesempitan rakyat'

Diterbitkan Hari ini 8:56 pagi

BERITA

ULASAN | Mewakili kawan-kawan, saya pohonkan kemaafan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Kami sedar apa yang diistilahkan oleh disiplin sains politik sebagai kemelut politik elit ini sememang layak ditanggapi rakyat sebagai golongan politikus yang saling mencari formula politik koalisi bagi menubuhan sebuah kerajaan.

Mungkin sahaja ada yang berkata, dua kali lima sahaja semuanya. Aduh!

Lalu ia tidak akan mencetuskan keinginan rakyat untuk turut berdemonstrasi di jalanan kalau ia gagal mencapai keputusan tuntas.

Ini bukan politik rakyat yang mencetuskan gerakan Reformasi satu ketika dahulu. Tapi kali ini - dalam simpang-siur yang memeningkan - silap-silap hari bulan, mereka (rakyat) akan bosan, mual dan jelak.

Justeru, jangan terus-terusan membebani rakyat dengan pelbagai gelagat buruk serta kerakusan kita, termasuk kesanggupan mengkhianati perjuangan dan kawan-kawan!

Cukup-cukuplah mempamerkan kejelekan tabiat kita di celah-celah kesempitan kehidupan rakyat.

Apa yang dipamerkan itu mengganggu kesejahteraan, bahkan menambahkan penyeksanaan hidup mereka.

Ketika rakyat menantikan pakej rangsangan ekonomi dan keprihatinan kerajaan menangani seterusnya wabak Covid-19, tetapi kemelut ini pula yang kita hadiahkan sebagai 'penyelesaian' buat mereka.

Sekarang political impasse (kebuntuan politik) dalam menentuan perdana menteri kelapan Malaysia bakal mengundang pelbagai reaksi serta melibatkan wacana yang kurang produktif.

Malah ia mungkin sahaja berpotensi untuk meledakkan berontak.

Jangan sampai hilang kewajaran dan arah. Berpada-padalah berpolitik kerana rakyat mahukan kebaikan daripada kekusutan ini, bukan perbalahan serta pertelingkahan berpanjangan.

Jangan tajamkan lagi sensitiviti ras dan agama. Tidak sopan menjadikan semua ini modal politik.

Segera tamatkan era tidak berkerajaan ini. Tidak wajar negara dikemudi secara berpanjangan oleh hanya seorang perdana menteri interim. Ayuh!

Daulat Tuanku.

DR DZULKEFLY AHMAD ialah ahli parlimen Kuala Selangor merangkap bekas menteri kesihatan, serta pengarah strategik Amanah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Monday, February 3, 2020

Melayu jangan terpengaruh, terpesona muslihat DAP


PASIR SALAK: Rakyat Malaysia terutama orang Melayu diingat supaya berwaspada terhadap DAP agar tidak terpesona atau terpengaruh dengan tindak tanduk dan muslihat yang ditunjukkan oleh pemimpin kerana parti itu.

Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim menegaskan perkara tersebut pada Ceramah Perdana sempena Himpunan Warga FELCRA 2.0 di Markas PAS Kampung Gajah, di sini kelmarin.

“Yang terbaru apabila Penolong Setiausaha Agung DAP, Nga Khor Ming berkata parti itu akan keluar daripada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) jika Putrajaya enggan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC),” katanya.

Turut berceramah ialah Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato’ Seri Tajuddin Abd Rahman dan Ketua Wanita Umno Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin.
Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Perumahan dan Hal Ehwal Penduduk Asal PAS Pusat memberitahu, DAP mahu kerajaan mengiktiraf UEC dan ia jelas bercanggah dengan Akta Pendidikan yang akan melebarkan jurang perkauman di negara ini

Menurutnya, ini adalah perkembangan yang tidak sihat untuk semua kaum, tetapi DAP tetap mahu meraih kepentingan politik kaum Cina, selain turut menyentuh beberapa perkara termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Beliau mengingatkan, perkara sensitif jangan sekali disentuh seperti Islam sebagai agama Persekutuan, hak keistimewaan orang Melayu serta Bumiputera di negara ini sebagai penduduk asal.

“Bagitu juga Bahasa Melayu hendaklah dijadikan sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan. Perlembagaan negara ini akan diancam sebegitu rupa kerana sudah ada tanda beberapa perkara ini tidak segan silu dipertikaikan,” bidasnya

Dato’ Seri Tajuddin pula mendakwa Kerajaan PH gagal membela rakyat khususnya yang berada di luar bandar di mana mantan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu telah mencadangkan penubuhan Kolej FELCRA di Seberang Perak pada 5 tahun lalu.

Katanya, tapak tanah seluas 250 ekar telah diluluskan oleh Kerajaan untuk dijadikan kolej tersebut sebagai pembangunan modal insan khusus untuk anak peserta FELCRA dari seluruh negara

“Tetapi sehingga kini cadangan itu dibekukan oleh Kementerian Ekonomi dan tapak tanah tersebut terbiar,” katanya.

 – HARAKAHDAILY
    3/2/2020

Sunday, January 26, 2020

Jangan cetus panik, M'sia ada pengalaman tangani kes virus - Wan Azizah

BERITA

Malaysia mempunyai kapasiti untuk menangani kes virus 2019 novel coronavirus dengan sejarah kejayaan cemerlang mengawal penyakit Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), Virus Ebola dan Virus Nipah yang pernah terjadi sebelum ini.

“Ia menunjukkan bahawa kita mempunyai keupayaan untuk menjaga diri kita, tetapi kita memerlukan kerjasama semua rakyat Malaysia.

"Jangan tular berita palsu, menakutkan dengan memberi gambaran kita dalam keadaan panik, adalah penting untuk menjaga satu sama lain," nasihat timbalan perdana menteri pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat koordinasi kluster 2019 novel coronavirus di Putrajaya hari ini.

Malah katanya status virus coronavirus di negara ini masih dalam keadaan terkawal tanpa perlu mencetuskan suasana panik.

"Di China ia dikategorikan sebagai wabak tapi di negara ini ia disifatkan sebagai satu kluster.

"Saya telah mempengerusikan mesyuarat khas dengan kluster penyakit kluster virus yang telah dikesan di Wuhan, China yang kini merebak ke 14 buah negara dimana dilaporkan empat kes positif di Malaysia.

"Penyakit ini terkawal, jadi kita tidak mahu panik dan keadaan masih terkawal," katanya.
Selain empat kes positif tersebut, Dr Wan Azizah berkata 23 kes disahkan negatif dan masih terdapat empat kes yang masih menunggu keputusan makmal.

Jelasnya KKM memberi kerjasama rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kementerian kesihatan negara-negara jiran berhubung dengan situasi penyakit tersebut.

"Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) turut membentang langkah-langkah kesiapsiagaan dan respon Kementerian bagi mengelak penularan kluster penyakit ini, termasuk melakukan saringan kesihatan terperinci di pintu masuk antarabangsa negara, dan pemantauan rapi di semua peringkat koodinasi menerusi pengaktifan bilik gerakan di peringkat daerah, negeri dan pusat," katanya.

"Sebelum memasuki ke pesawat juga, wakil Malaysia Airlines akan melakukan saringan dengan bertanya soalan-soalan kepada penumpang untuk memberi kita pengetahuan adakah mereka berisiko untuk masuk ke negara kita," katanya.

Pada masa yang sama katanya Wisma Putra terus memantau rapat keadaan 49 rakyat Malaysia yang masih berada di Wuhan, yang kebanyakannya terdiri daripada mahasiswa dan golongan profesional dan tidak ada keperluan untuk melakukan evakuasi buat masa ini.

"Pihak Kedutaan Malaysia di Beijing juga telah mengeluarkan dua nasihat perjalanan kepada semua rakyat Malaysia di China dan menangguhkan sebarang perjalanan ke 13 wilayah yang dianggap berisiko di China," katanya.
Pesakit dikuarantin di hospita di Wuhan, China.
Hasil mesyuarat itu katanya beberapa cadangan dibuat termasuk kawalan kemasukan di pintu masuk negara diperketatkan.

"Ini termasuk semua penumpang penerbangan dari China termasuk warganegara Malaysia wajib melalui saringan kesihatan terperinci," katanya.

Selain itu beliau berkata semua rakyat Malaysia yang telah melawat atau pulang bercuti dari Wuhan khususnya yang mengalami simptom, diminta untuk melaporkan diri segera ke hospital terdekat bagi pemeriksaan kesihatan.

"Manakala mereka yang tidak mempunyai simptom dikehendaki memantau status kesihatan masing-masing dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari China," katanya.

Pada masa yang sama katanya difahamkan bahawa pihak China telah menyekat penerbangan antarabangsa komersil keluar dan masuk di Wuhan, dan telah tidak membenarkan pakej pelancongan secara berkumpulan bagi warganegaranya ke luar negara bermula 23 Januari, 2020.

Oleh itu, Timbalan Perdana Menteri juga menasihatkan semua rakyat Malaysia agar menangguhkan perjalanan ke Wuhan.

"Orang ramai turut diingatkan untuk mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan; serta segera mendapatkan rawatan di hospital sekiranya mengalami simptom," katanya.

Beliau juga meminta pihak hospital swasta melaporkan segera kepada KKM bagi mana-mana kes penyakit berjangkit.

Beliau turut meminta orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang tepat daripada pihak KKM dan agensi kerajaan yang berkaitan dan semua pihak dinasihatkan agar tidak menimbulkan keadaan tidak tenteram dengan menyebarkan fitnah atau maklumat yang tidak pasti.

Situasi belum sampai tahap henti visa

Mengenai soalan adakah visa pelancong dari China akan dihentikan, beliau berkata mengikut saranan WHO situasi di negara ini belum sampai ke tahap itu.

Beliau berkata pihak kerajaan akan menambah mesin pengesan haba di pintu-pintu masuk negara selain akan mengambil suhu semua penumpang.

"Namun ada penumpang yang tidak ada gejala pun, tetapi mereka adalah pembawa," katanya namun pihak berkuasa akan cuba mengesan sejarah hubungan dengan orang lain yang pernah dilakukan penumpang sebelum ini.

Mengenai status pelancong Wuhan yang telah berada di Malaysia, katanya masalah logistik turut dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

"Kalau dah ramai kita nak letak kat mana, kerana mereka sihat dan tidak menunjukkan simptom kita nak kuarantin, jadi kita nak letak kat mana dan itu kita akan kita bincangkan dengan Kedutaan China di Malaysia," katanya.

Menjawab soalan mengenai "berita" yang menyatakan bahawa Filipina telah menyekat kedatangan warganegara China, Dr Wan Azizah berkata pihaknya telah mendapatkan pengesahan bahawa negara itu hanya menyekat pelancong dari Wuhan, langkah yang sama telah diambil oleh Malaysia.

- Bernama

Thursday, December 26, 2019

Lokman dakwa Zahid halang prosiding disiplin ke atas Hisham

BERITA

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam mendakwa bahawa Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi adalah individu yang menghalang prosiding disiplin terhadap anggota Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein, yang dijalankan hari ini.

Mengulas keputusan Mohamed Apandi Ali untuk meletakkan jawatannya sebagai pengerusi lembaga disiplin Umno susulan penangguhan prosding hari ini, beliau berkata terdapat "sesuatu yang tidak kena".

Dia memuji Apandi sebagai seorang berprinsip.

“Lembaga Disiplin Umno sepatutnya adalah sebuah badan bebas yang tidak boleh disekat daripada menyiasat sesiapa sahaja tanpa dihalang termasuk oleh presiden parti.

“Tindakan presiden Umno ini jelas bercanggah dengan perlembagaan parti dan menghina kedudukan pengerusi dan lembaga disiplin parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lokman mendakwa ini adalah tindakan tatatertib kali ketiga terhadap Hishammuddin yang tidak menjadi kenyataan, di sebalik apa yang didakwanya sebagai peranan bekas naib presiden parti itu yang cuba menggerakan pembelotan ahli parlimen Umno kepada Bersatu.

“Jika Umno serius ingin menggantikan kerajaan Pakatan Harapan, Umno perlu melahirkan lebih ramai pemimpin yang mempunyai sikap terpuji sebegini.

“Kita tidak perlukan pemimpin yang cuba menutup kes mereka yang melanggar disiplin parti,” katanya.

Beliau menambah bahawa justifikasi untuk tidak meneruskan tindakan disiplin terhadap Hishammuddin tidak dapat diterima.

“Inilah masa yang paling sesuai untuk mengambil tindakan kepada mereka yang mahu mengkhianat perjuangan suci ini dan harapan rakyat Malaysia.

“Sebarang langkah untuk menyapu kes Hishammuddin di bawah karpet atas alasan mahu memastikan ahli parlimen Umno kekal bersama dan untuk membuat keputusan secara en-block jelas membuktikan bahawa ada perundingan sedang berlaku untuk membentuk kerjasama dengan Bersatu.

“Apa sudah jadi dengan janji tidak mahu mewujudkan kerajaan pintu belakang?” soalnya.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Ahmad Zahid untuk ulasannya mengenai dakwaan campur tangan itu.

Hishammuddin pada 13 Disember lalu diberikan surat tunjuk sebab dan dikehendaki hadir di hadapan lembaga disiplin parti hari ini. Walau bagaimanapun prosiding itu tidak menjadi kenyataan.

Ia susulan tindakannya yang mengadakan perjumpaan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali, 18 Nov lalu. Turut menyertai pertemuan tersebut ialah 21 ahli parlimen Umno yang lain.

Berikutan perjumpaan berkenaan, Lokman mendakwa Hishammuddin cuba menggerakkan sokongan anggota parlimen Umno kepada Azmin.

Lokman juga mendedahkan bahawa beliau telah membuat aduan terhadap Hishammuddin pada 30 Oktober lalu dan menggesa parti bertindak. Katanya, bekas naib presiden parti itu bertanggungjawab mengatur supaya ahli parlimen Umno melompat menyertai Bersatu.

Ketika itu spekulasi bertiup kencang bahawa Hishammuddin dan Azmin bekerjasama untuk mengumpulkan bilangan ahli parlimen yang mencukupi untuk memastikan Dr Mahathir Mohamad dapat kekal sebagai perdana menteri dan menggagalkan usaha Presiden PKR Anwar Ibrahim daripada menggantikannya.

Ini walau bagaimanapun dinafikan oleh Hishammuddin.

Friday, November 29, 2019

Hanya 24% rakyat berpendapat PH berdaya maju

November 29, 2019

MENGEJUTKAN bila satu kaji selidik yang dijalankan oleh Emir Research yang Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya adalah Datuk Wira Dr Rais Hussin Mohamed Ariff, Pengerusi Biro Dasar Dan Strategi BERSATU, menunjukkan bahawa:

(1) Hanya 24 peratus rakyat Malaysia berpendapat Kerajaan PH berdaya maju (viable), 30 peratus rakyat Malaysia berpendapat Kerajaan PH tidak berdaya maju (not viable) dan 46 peratus tidak pasti sama ada Kerajaan PH berdaya maju (viable) atau tidak (not viable).

(2) Hanya 26 peratus rakyat Malaysia berpendapat ekonomi negara berada pada kedudukan yang kukuh, 30 peratus rakyat Malaysia berpendapat ekonomi negara tidak berada pada kedudukan yang kukuh dan 44 peratus tidak pasti sama ada ekonomi negara berada pada kedudukan yang kukuh atau tidak.

(3) Hanya 26 peratus rakyat Malaysia berpendapat masa depan negara berada pada trek yang betul, 24 peratus rakyat Malaysia berpendapat masa depan negara tidak berada pada trek yang betul dan 50 peratus tidak pasti sama ada masa depan negara berada pada trek yang betul atau tidak.

Memetik kata-kata Assistant Professor Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar:

“Gabungan mereka yang berpendapat Kerajaan PH tidak berdaya maju (not viable) atau tidak pasti sama ada Kerajaan PH berdaya maju (viable) atau tidak (not viable) adalah 81 peratus untuk Melayu, 78 peratus untuk India dan 63 peratus untuk Cina”.

Lebih mengejutkan bila kaji selidik ini adalah diketuai oleh tiga orang pensyarah dari sebuah Universiti Awam Tempatan, UIA, iaitu:
(1) Professor Dr Mohamad Sahari Nordin dari Kulliyyah of Education.
(2) Assistant Professor Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Kulliyyah of Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences.
(3) Assistant Professor Dr Margarita Peredaryenko (isteri Datuk Wira Dr Rais Hussin Mohamed Ariff) dari Kulliyyah of Economics and Management Sciences.

Kaji selidik ini adalah membabitkan 1,992 responden dan dijalankan pada 5 September ke 10 Oktober 2019 dengan menggunakan 25 enumerator.

Maklumat lanjut boleh baca di pautan ini: https://www.themalaysianinsight.com/s/20149
– HARAKAHDAILY
   29/11/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Saturday, November 23, 2019

Satu setengah tahun itu

Diterbitkan Hari ini 9:39 pagi

BERITA

ULASAN | Masih tidak lama satu setengah tahun itu. Rasanya seperti baru semalam kita menyambut kemenangan besar rakyat Malaysia dalam satu pertarungan yang asalnya dilihat tidak mungkin menang.

Ketika Anwar Ibrahim masih di dalam penjara, Dr Mahathir Mohamad menggalas tugas mengemudi PH di bahu tuanya. Rakyat - perwira sebenar hari itu - menyambut matahari sinar baru untuk negara ini kemudiannya.

Pada malam itu saya bersama rakan-rakan pergi ke pusat pengiraan undi sekitar jam 1 pagi untuk menyambut kemenangan menumpaskan rejim BN. Luar biasa auranya.

Setiap pelusuk paru-paru terisi nafas harapan. Tidak sabar menunggu hari esoknya. Masihkah anda ingat saat itu?

Sepanjang tempoh berkempen, semua pemimpin PH fokus untuk menumbangkan BN yang menggunakan segala senjata - wang, jentera kerajaan, TV dan surat khabar - untuk mengekalkan kuasa.

Ugutan dan fitnah bermaharajalela, namun rakyat tidak bodoh. Rejim BN tumbang walau apa saja yang perlu dikorbankan.

Kos sara hidup yang mencengkam, penganggguran yang ditanggung sedangkan pemerintah ketika itu hidup senang-lenang dan membazir. Rasuah dan menayang kemewahan bukan sesuatu yang memalukan lagi.

Rakyat kini jadi musuh

Satu setengah tahun tidaklah terlalu lama untuk kita lupa pada kesepakatan PH yang terbina erat dan menjanjikan harapan baru untuk rakyat Malaysia. Namun, ramai juga yang telah lalai.

Pimpinan PH seolah-olah tiada grup WhatsApp untuk berbincang sesama sendiri setiap kali wujud pertikaian. Maka mereka - dengan dilihat rakyat terbanyak - sering bertelingkah secara terbuka.

Pada masa sama ada pula kini berkereta mewah, sedangkan elaun untuk nelayan miskin dikurangkan lebih daripada separuh. Polisi separuh masak diumum kemudian diubah ke dasar sebelumnya apabila rakyat membantah.

Ini bukan soal kerajaan baru yang masih muda. Ini masalah pengurusan persepsi. Justeru kerajaan PH seperti tidak bersuara dalam satu pasukan. Semua mahu bercakap dan ada pendapat masing-masing. Rakyat menjadi celaru dan mempersoalkan: Adakah kata-kata kerajaan hari ini boleh dipercayai?

Suara rakyat yang mengangkat mereka naik kini menjadi musuh. Tiada lagi konsultasi rakyat, dan PH menjadi seolah-olah diktator kecil. Cukai gula dan cukai digital yang akan bermula tidak lama lagi masih belum ada penerangan jelas.
Sistem pembelajaran aliran tunggal juga masih kelabu. Ini soal masa depan anak-anak kami. Sekejap dalam kajian, sekejap kata dah keluar surat. Ibu bapa dan pelajar ini bertaraf tunggul kayu sajakah?

Apakah rakyat terlalu bodoh untuk faham dan bincangkan? Apakah rakyat hanya perlu telan bulat-bulat keputusan kerajaan?

Bantuan kerajaan untuk bantu rakyat juga tak kedengaran. Yang kita dengar polisi yang tajuk-tajuk yang muluk kekal di atas kertas. Bagaimana ini semua dapat membantu rakyat yang lapar dan terpaksa melakukan dua kerja untuk menyara keluarga?

Adakah impian rakyat sudah melayang bersama kereta terbang yang menjadi obsesi peribadi pak menteri?

Di Tanjung Piai rakyat memberi amaran. Muka pimpinan 'ditampar' agar kembali sedar. Majoriti besar untuk BN - sebuah parti yang melekat segala tuduhan korupsi dan agenda rasis - tetapi adakah PH akan sedar? Atau terus selesa menyalahkan gerak kerja punca dirinya gagal?

Banyak cuma satu penggal

Sekarang kita dengar pelbagai ceritera bagaimana kekalahan itu asalnya sebuah sabotaj untuk menjatuhkan Dr Mahathir, atau kesalahan diletakkan pada jentera menteri besar Johor yang tiada pengalaman.

Dongengan ini seperti cermin kabur yang menghalang PH daripada benar-benar menyuluh diri sendiri ketika rakyat lelah dengan prestasi kerajaan sekarang.

Jangan sampai terluncur ayat: "Jika dulu Umno rasuah, sekurang-kurangnya mereka membantu".
Ketika keadaan itu berlaku, tiada lagi jalan pulang. Segala usaha untuk mengajak rakyat membenci rasuah akan gagal. Biarlah rasuah asalkan rakyat hidup senang!

Keluarga PH perlu kembali menilai diri dan mencari identiti. Sebagai ahli kepada parti komponen PH, saya lihat apa yang terjadi sekarang tidak lebih daripada sikap enau dalam belukar - melepaskan pucuk masing-masing.

Mana hilang kesepakatan kita ketika menjadi pembangkang di saat kita mampu bergelak dan menangis bersama? Begitu hebatkah ujian kuasa dan harta?

Satu setengah tahun terlalu awal untuk kita melupakan perit jerih yang kita hadapi bersama dulu. Satu setengah tahun adalah tempoh yang terlalu singkat untuk kita menjadi linglung akan janji dan matlamat PH, untuk menjadi kerajaan reformasi - yang bukan saja melawan rasuah tapi juga menterjemahkan hasil perlawanan itu kepada nikmat yang dikongsi bersama rakyat.

PH perlu ingat berapa banyak kerajaan seperti kita cuma bertahan satu penggal. Mungkin ahli parlimen sekarang boleh mendabik dada yang mereka tidak peduli untuk kalah, namun apa yang akan jadi kepada rakyat jika BN kembali memerintah?

PH harus kembali menyantuni rakyat, buang segala protokol dan laporan agensi kerajaan yang serba warna-warni, sebaliknya kembali merasai denyut nadi rakyat.

Demokrasi ini bising, memenatkan dan tidak akan sempurna, namun inilah tekad kita - untuk mengangkat suara rakyat dan memberi solusi terbaik untuk segala permasalahan mereka.

Masih ada masa untuk berubah jika mahu. Jangan tenggelam dalam politik tamak kuasa peribadi yang begitu hiruk-pikuk sekarang. Ingat, jika rakyat mengangkat kita, rakyat juga boleh buang kita.

Testamen Tanjung Piai jangan dibiarkan berlalu tanpa apa pun perubahan.

IRFAN MAHZAN ialah mahasiswa jurusan media dan komunikasi yang mendukung Reformasi. Dia juga timbalan presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Saturday, October 26, 2019

'Boleh cakap tentang Melayu, Islam tapi tanpa akhlak takkan berjaya'

Diterbitkan Hari ini 4:35 petang


Naratif pembinaan negara baru bagi Malaysia perlu menumpukan kepada asas-asa ekonomi dan bukannya retorik kaum atau agama, kata Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Anwar berkata negara secara keseluruhannya perlu memfokuskan perkara penting, menyatukan rakyat dengan menangani isu-isu yang sering dihadapi rakyat Malaysia.

"Fokus kepada ekonomi, untuk tegakkan keadilan. Untuk mempamerkan keprihatinan terhadap masalah golongan miskin, ketidaksamaan dalam masyarakat kita.

“Isu utama tetap menjadi keperluan untuk mencapai visi baru bagi negara ini berdasarkan etika dan tadbir urus," kata anggota parlimen Port Dickson itu.

Anwar dalam ucapannya berkata pelbagai kajian menunjukkan ekonomi Malaysia mengalami kelembapan selama 15 tahun yang lalu.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Ijtimak Harakiy kali keenam anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Kajang, hari ini.
Seruan itu dibuat beberapa minggu selepas beberapa NGO berteraskan Melayu Islam menganjurkan Kongres Maruah Melayu yang dihadiri kira-kira 5,000 orang.

Kongres itu membuat tuntutan yang sukar kepada kerajaan, termasuk jawatan kerajaan tertinggi perlu dikhaskan secara eksklusif untuk orang Melayu, memandangkan pada masa sama, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengakui kerajaannya tidak 'cukup Melayu'.

Permintaan mereka juga dibuat selepas ketua eksekutif sekretariat Kongres berkenaan, Zainal Kling, menyampaikan ucapan pembukaan dengan nada keras yang menekankan mengenai kedaulatan raja-raja Melayu dan kedudukan istimewa bangsa Melayu.

'Tanpa akhlak takkan berjaya'

Anwar dalam ucapannya hari ini menegaskan Malaysia selama 60 tahun di bawah pentadbiran BN menyaksikan kerosakan dan penyalahgunaan kuasa akibat kurangnya etika dalam tadbir urus.

"Kita boleh bercakap tentang agama atau Islam, atau tamadun Melayu, tetapi tanpa etika, tanpa akhlak, kita tidak boleh berjaya sebagai sebuah negara," tegasnya.

Terdahulu, Anwar mengimbas semula bagaimana isu mengenai Islam dalam masyarakat berbilang kaum telah dibincangkan oleh Abim dan sekutunya sejak tahun 1970-an.

Anwar berkata, sebelum ini, perbincangan yang panjang mengenai topik itu telah membawa Abim di kedudukan yang tidak berkompromi dengan perlembagaan yang melindungi agama Islam atau Melayu dan Bumiputera, selain menghormati hak kaum lain.

Memetik status Bahasa Melayu sebagai contoh, Anwar berkata pemimpin Melayu mesti menguatkuasakan penggunaannya dalam semua majlis rasmi, dan bukannya menyalahkan kaum lain kerana kelemahan mereka dalam menguasai bahasa kebangsaan.

Ijtimak Harakiy kali keenam yang diadakan di Pusat Konvensyen Bangi Avenue itu menyaksikan penyertaan daripada ahli-ahli Abim, Wadah dan PKPIM di seluruh negara.

Antara perkara utama dibincangkan dalam ucapannya, dan dihuraikan melalui beberapa sesi forum, termasuk peranan Islam dalam masyarakat berbilang kaum dan pelbagai agama; peningkatan 'populisme sayap kanan' di Malaysia dan di luar negara; serta peranan pemimpin dalam membangunkan negara.

Monday, September 30, 2019

Bila ringgit akan naik, bukannya bila Anwar akan naik



Sama ada Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri ataupun tidak, ia adalah persoalan yang tidak penting bagi rakyat Malaysia hari ini.

Oleh itu, pihak yang suka berbalah bila Anwar harus menjadi perdana menteri ialah pihak yang suka membuang masa rakyat Malaysia.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sudah berjanji akan menyerahkan kerusi perdana menteri kepada Anwar apabila negara kembali pulih dan stabil, bukan sekali, malah berkali-kali.

Jadi, isu ini sepatutnya tamat, tidak perlu soal bila. Sesiapa yang ditanya bila cuma perlu menjawab “ia rahsia Tuhan”, terutamanya Anwar.

Jika ada dalam kalangan Pakatan Harapan, terutamanya PKR, yang tidak mempercayai janji Mahathir, mengapa tidak keluar PH saja? Jika mereka tidak boleh bersangka baik terhadap Mahathir, mengapa tidak letak jawatan daripada apa-apa yang berkait dengan PH saja?

Apabila Mahathir menjawab soalan wartawan bahawa beliau akan menyerahkan jawatan kepada Anwar sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, sebagai PM yang dipilih PH sendiri, mengapa ada dalam kalangan mereka yang suka bersangka buruk terhadap apa yang dikatakannya?

Penting sangatkah sama ada Mahathir berkata tiga tahun lagi atau paling panjang tiga tahun sebelum pilihan raya? Ia sebenarnya sangat tidak penting jika semua orang dalam PH dapat bersangka baik dengan Mahathir.

Ini tidak, semasa Mahathir sibuk membelasah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Israel dan mempertahankan nasib etnik Rohingya di pentas antarabangsa, beliau dibelasah ahli rakan PH di negara sendiri.

Contohnya, ahli PKR, Syed Husin Ali menuduh Mahathir pemimpin lidah bercabang tiga.

“Kerja apa 18 jam sehari sedangkan negara semakin hancur? Apakah manusia yang berusia 94 tahun itu tidak makan, tidak tidur, tidak mandi, tidak solat, tidak rehat sama sekali?

“Apakah perdana menteri ketujuh ini bukan seorang manusia? Terbukti Mahathir tidak ikhlas, tidak punyai maruah dan tidak pernah insaf,” tulis beliau.

Tidakkah itu melampau?

Kalau Mahathir lidah bercadang tiga, mengapa Syed Husin tidak menggesa semua pimpinan PKR berundur daripada Kabinet Mahathir serta-merta dan tunggu diangkat semula selepas Anwar menjadi perdana menteri?

Mahathir berjanji akan menyerahkan jawatan apabila negara kembali pulih dan stabil.

Jadi, untuk mempercepatkan Anwar menjadi perdana menteri, PH perlu fokus dan berusaha memulihkan nilai ringgit, pasaran saham dan ekonomi negara agar Mahathir dapat bersara dengan tenang.

Ini tidak, saban hari PH suka bergaduh bila Anwar nak jadi perdana menteri, dua tahun, tiga tahun ke lima tahun?

“So what” kalau Anwar tak jadi perdana menteri pun, banyak lagi janji dalam manifesto PH yang tidak dapat ditunaikan. “So what” kalau janji ini pun dimungkiri, bukan rakyat akan dapat untung apapun. Rakyat pun dah naik muak dengan soalan ini.

Mereka yang inginkan Anwar menjadi perdana menteri lebih baik fokus bertanya soalan bilakah nilai ringgit akan naik kerana apabila nilai ringgit pulih melepasi RM4 terhadap AS$1, mereka boleh berkata ekonomi Malaysia sudah pulih dan syarat untuk Mahathir berundur sudah dipenuhi.

Mahathir pun akan berundur dengan tenang dan Anwar akan menjadi perdana menteri dengan suka hati, tanpa perlu memikirkan bebanan hutang negara. Bukankah begitu lebih baik?

FMT

Sunday, September 15, 2019

Sokongan Melayu-Islam tidak cukup jayakan kerjasama Umno-PAS, kata Khaled

OLEH ALIFF FIKRI AZIZ
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sesiapa yang mendakwa kerjasama tersebut hanya tentang Melayu dan Islam jelas tersasar. 
Foto oleh Hari Anggara

KUALA LUMPUR, 15 Sept — Gabungan Umno-PAS memerlukan sokongan seluruh rakyat, bukannya Melayu dan Islam semata-mata, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Naib presiden Umno berkata apa jua kerjasama mesti mengambil kira kemajmukan negara yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum.

“Kerjasama Umno dan PAS semata-mata, tidak akan menjelmakan kemenangan politik yang diharapkan. Ini sangat difahami kedua-dua parti,” katanya dalam satu kenyataan.

“Untuk menjadi kerajaan, Umno dan PAS memerlukan sokongan setiap rakyat Malaysia, bukan hanya Melayu dan Islam.”

Mendakwa penyatuan mereka bukan sekadar kesefahaman parti politik, Khaled menegaskan, ia sebenarnya lebih besar daripada itu.

Sehubungan itu, menurut bekas menteri besar Johor, sesiapa yang mendakwa kerjasama tersebut hanya tentang Melayu dan Islam jelas tersasar.

“Umno dan PAS adalah jauh lebih ‘sofistikated’ dan tidak akan sama sekali terjerumus dalam perangkap kaum serta agama yang digambarkan Pakatan Harapan,” katanya.

Thursday, August 15, 2019

Kenapa kita bergaduh kerana orang asing, soal Rafidah

News | Diterbitkan Hari ini 2:35 tengahari 


Bekas menteri Rafidah Aziz kecewa kerana rakyat Malaysia saling mengecam antara satu sama lain kerana orang asing.

Dengan situasi dunia yang menurutnya berkemungkinan menuju ke arah kemelesetan ekonomi, Rafidah berkata rakyat Malaysia mesti bersatu dalam menghadapi cabaran.

"Saya hanya ingin bertanya - mengapa rakyat Malaysia bergaduh sesama sendiri disebabkan orang asing yang kini dicari oleh (pihak berkuasa) negaranya sendiri?" katanya.

Rafidah berkata demikian sebagai mengulas pertikaian berhubung pendakwah kelahiran India, Dr Zakir Naik yang membuat kenyataan kontroversi dalam programnya di Kelantan minggu lalu.

Rafidah berkata rakyat Malaysia mempunyai isu sendiri untuk ditangani, yang mempunyai kaitan langsung dengan masa depan negara dan generasi muda.

"Kenapa ada di antara kita yang masih sangat mudah mindanya terperangkap dalam pelbagai perkara atas nama agama?

"Kita tidak boleh membiarkan perkara-perkara yang tiada kaitan, tidak relevan mengalihkan perhatian kita dari isu-isu sebenar yang perlu ditangani," katanya dalam mesej teks kepada Malaysiakini petang ini.

Rafidah juga menegaskan bahawa terdapat tindakan undang-undang yang boleh diambil berhubung status Zakir dan ia akan berpihak kepada negara asal pendakwah itu.

Rafidah turut mengingatkan bahawa Malaysia juga sedang menunggu pemulangan beberapa pelarian yang mahu dibawa ke muka pengadilan.

"Saya menggesa rakyat Malaysia supaya tidak membiarkan perkara-perkara yang tidak relevan menyebabkan perpecahan dalam kalangan masyarakat kita dan tidak ada pihak yang seharusnya menjadikan masalah itu modal politik," tambahnya.
Pihak berkuasa India sebelum ini meminta Putrajaya untuk mengekstradisi Zakir untuk dibawa pulang ke negaranya bagi menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, Zakir menegaskan bahawa dakwaan terhadapnya palsu, dan keengganan polis antarabangsa (Interpol) untuk memberikan Notis Merah merupakan bukti.

Sebelum ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Zakir, yang merupakan penduduk tetap Malaysia, tidak akan dihantar pulang kerana ada kebimbangan bahawa beliau mungkin tidak akan diberikan perbicaraan yang adil.

Zakir, yang mendapat status penduduk tetap ketika di bawah kerajaan BN pada 2012, menimbulkan kemarahan masyarakat apabila dalam ceramahnya di Kelantan minggu lalu menyifatkan rakyat Malaysia dari kaum Cina sebagai "tetamu lama" di Malaysia, selain mempertikai kesetiaan masyarakat India di Malaysia terhadap perdana menteri.

Zakir berkata demikian sebagai respons balas atas gesaan pengkritiknya supaya beliau keluar dari negara ini.

“Kamu tahu tak yang ada orang yang panggil saya seorang tetamu? Jadi saya kata, sebelum saya (datang), kaum Cina adalah tetamu. Jika kamu mahu tetamu baru keluar dulu, minta tetamu lama pulang.

“Kaum Cina, kebanyakan dari mereka tidak lahir di sini, mungkin generasi baru, ya (lahir di sini),” katanya.

[Baca berita asal]

Thursday, June 6, 2019

Reformasi institusi: PH ulangi pemerintahan BN

KAZMAN NOORDIN
06 JUNE 2019


TANGGAL 9 Mei 2018 adalah permulaan siri episod malang buat rakyat Malaysia. Apa yang didampakan rakyat hanyalah retorik serta pembohongan nyata, ia menjadi mimpi ngeri buat keseluruhan rakyat.

Rule Of Law yang dilaung-laungkan selama ini pun kian terhakis. Kini perjuangan membebaskan badan-badan utama dalam kerajaan dari campur tangan politik hanyalah sebuah 'skrip drama samarinda' yang dilakonkan oleh pewatak politikus dalam arena politik muktahir ini.

Slogan "suara rakyat, suara keramat" terus dikhianati. Sokongan rakyat kepada mereka terus dimanipulasi untuk melakukan apa sahaja perkara, meskipun bertentangan dengan dasar dan polisi perjuangan mereka sebelum ini.

Bermula pelantikan Speaker Dewan Rakyat yang mencabuli aturan Parlimen, dituruti lantikan Ketua Hakim Negara yang membelakangi Majlis Raja-Raja Melayu serta disusuli penerimaan Peguam Negara yang membutakan semangat 'Separation of Powers' membuktikan PH jauh lebih teruk dari rejim BN.

Setahun PH mengambil alih kuasa kerajaan telah menyaksikan siri pendustaan serta penipuan terhadap Manifesto PH yang menjadi sumber rujuk rakyat menumbangkan rejim sebelum ini.

Langkah terkebelakang rejim PH dizahirkan lagi, apabila satu surat siaran yang menyatakan pemberhentian segera Dato' Seri Mohd Shukri Abdull dengan diganti Ahli Majlis Tertinggi PKR ke dalam badan penguat kuasa kerajaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merosakkan semangat tidak campurtangan politik dan mengelak atau menghindari bahaya 'kezaliman' (tyranny), di mana dikatakan doktrin pembahagian kuasa (atau fungsi) dapat mewujud dan mengekalkan kepimpinan, kebebasan sebenar dan menghindari kemaharajalelaan (despotisma) dengan cara membahagi-bahagikan kuasa untuk mewujudkan semak dan seimbang (check and balance)antara kuasa tersebut.

Justeru, DPPNS mendesak penjelasan segera dari pejabat POM dalam isu ini. Dalam masa yang sama mengajak semua parti politik, badan-badan NGO dan rakyat keseluruhan membantah agar pelantikan ini di tarik balik dan diberi kepada tokoh yang disegani dan berkaliber atau penjawat awam yang jelas bebas dari pengaruh serta penguasaan politik, supaya badan dan agensi kerajaan difungsikan tanpa menimbulkan 'conflict of interest'.

KAZMAN NOORDIN

Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-