Amran menyampaikan sumbangan kelengkapan persekolahan kepada salah seorang pelajar di Padang Besar.
Saranan supaya elaun menteri dan ahli politik dipotong adalah suatu tindakan yang harus diberi sokongan kerana ia mampu merealisasikan usaha penjimatan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri (MPN) Perlis, Amran Kamarudin ketika ditemui selepas majlis sumbangan kelengkapan persekolahan di Padang Besar.
Jelasnya, cadangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa beliau akan memotong pendek cuti tahunannya dan akan memulangkan setiap sen duit yang diterima sebagai ‘holiday’ elaun adalah tindakan yang bijak dan harus dicontohi oleh pimpinan yang lain.
Malah ujar Amran lagi, tindakan Syed Saddiq mengurangkan 10 peratus dari gaji beliau dan akan memastikan yang lain akan dikurangkan juga sehingga masalah ini selesai seharusnya diteladani.
“Sepertimana yang dilaporkan oleh media baru-baru ini pendapatan menteri dan ahli politik yang mencecah puluhan ribu setiap bulan amat tinggi dan mendapat pelbagai reaksi masyarakat.
“Sehubungan itu cadangan mengurangkan elaun tersebut seharusnya diterima dengan hati terbuka dan direalisasikan dalam usaha kearah penjimatan sepertimana yang dilaung-laungkan sebelum ini.
“Apabila perkara ini menjadi realiti sudah pasti rakyat akan turut memberi dokongan kepada kerajaan sedia ada jika dibezakan dengan apa yang diamalkan semasa pentadbiran kerajaan BN dahulu,” ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Ketua Cabang PKR Padang Besar turut berkata, saranan Syed Saddiq agar pemotongan elaun menteri dan ahli politik sewajarnya dilaksanakan dengan segera.
“Dengan pemotongan tersebut ia sudah pasti akan mampu menjimatkan wang negara kerana jumlah yang diterima oleh menteri dan ahli politik jika digabungkan kesemuanya mampu mengurangkan kos yang terpaksa dibelanjakan oleh kerajaan.
“Adalah diyakini dengan pemotongan tersebut ia tidak akan menjejaskan prestasi dan gerak kerja sedia ada maupun yang akan datang.
“Sebaliknya ia sudah pasti akan mendapat dokongan rakyat yang tidak mahu pendapatan melampau diamalkan sepertimana yang dilaksanakan semasa zaman BN sebelum ini, ” tambah beliau.
Berita penuh https://malaysiadateline.com/potong-elaun-menteri-ahli-politik-harus-direalisasikan-buktikan-ph-lebih-baik/
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.