Showing posts with label Kerajaan Pakatan Harapan (PH). Show all posts
Showing posts with label Kerajaan Pakatan Harapan (PH). Show all posts

Wednesday, January 22, 2025

PKR datang dari jalanan, jangan halang rakyat berhimpun – Hassan Karim

ByJanatul Firdaus Yaacob
22/01/2025

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR adalah kerajaan yang dibina dari gerakan di jalan raya dan perhimpunan aman.

Justeru PH khususnya PKR diingatkan supaya tidak sesekali lupa diri,” demikian peringatan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.

“Kerajaan PH khususnya PKR adalah kerajaan yang dibina dari gerakan di jalan raya dan perhimpunan aman.

“Jangan lupa sejarah PH terutama PKR itu sendiri.

“Jangan lupa diri,” tegas beliau.


Kenyataan wakil rakyat PKR ini menyusul selepas polis menolak permohonan penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang akan dianjurkan dari Kompleks Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman ke Dataran Merdeka pada Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya telah membuat semakan dan mendapati notis pemberitahuan himpunan itu tidak lengkap.

“Tidak elok Kerajaan Madani susah-susahkan rakyat untuk berhimpun secara aman.

“Lebih-lebih lagi tujuan mereka berhimpun untuk menyatakan hasrat mereka benci pada rasuah. Apa bahayanya perhimpunan anak-anak muda dan anggota masyarakat yang ingin menyatakan fikiran mereka benci kepada rasuah?

“Tidakkah Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Madani ini menjadikan tema benci kepada rasuah adalah perjuangan nombor satu.

“Akta perhimpunan aman 2012 pada masa kerajaan BN memerintah digubal dengan tujuan untuk memudahkan rakyat berhimpun secara aman kerana kerajaan menghormati hak rakyat di bawah perkara 10 Perlembagaan Persekutuan iaitu hak untuk berhimpun.

“Di bawah Perkara 10 yang sama dinyatakan hak rakyat untuk bebas bersuara dan menyatakan fikiran.Apa yang Kerajaan Madani sekarang takutkan? soal Hassan lagi.

Bukan cuma itu, beliau juga memaklumkan, Kerajaan PH 1.0 pada tahun 2019 telah meminda akta perhimpunan itu untuk memudahkan lagi rakyat berhimpun.

Malah katanya Kerajaan PH 1.0 telah menyediakan Padang Merbok tak jauh dari Bangunan Parlimen sebagai tempat untuk berhimpun.

“Jadi Menteri Dalam Negeri perlu membantu para aktivis, NGO dan anggota masyarakat untuk berhimpun secara aman.Itu hak rakyat.

“Tujuan mereka hendak lawan rasuah.Ia selari dengan matlamat kerajaan sekarang pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Menteri Dalam Negeri perlu bimbing pihak polis supaya menyedari zaman dulu-dulu sebelum 2012 memang kuasa Polis di bawah Akta Polis 1967 untuk mengeluarkan permit polis boleh atau tak boleh rakyat berhimpun.

“Sekarang kuasa Polis di bawah Akta Polis telah dibatalkan dan diganti dengan Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Jadi Menteri Dalam Negeri perlu menasihati pihak Polis supaya menjadi fasalitator atau pemudah cara untuk orang ramai berhimpun secara aman.
Lihat perhimpunan aman pada 6 Januari lalu di Istana Kehakiman di Putrajaya berjalan dengan aman.Ini menunjukkan rakyat Malaysia adalah rakyat yang aman bukannya perusuh.Polis harus hadir dalam perhimpunan aman benci rasuah ini sebagai pasukan pengaman yang bertujuan untuk mempermudahkan rakyat berhimpun,” jelas beliau.

Kata Hassan, di dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 itu terdapat tempat-tempat atau lokasi yang perhimpunan aman tidak boleh diadakan seperti di kawasan stesen minyak misalnya.

“Jadi pihak polis boleh nasihatkan pihak penganjur supaya memilih tempat lain yang tidak dilarang oleh Akta Perhimpunan Aman 2012 tersebut.

“Nama baik Kerajaan Madani akan jadi buruk jika menekan hak rakyat untuk berhimpun,” tegas Hassan.

Sunday, December 29, 2019

Potong elaun menteri, ahli politik harus direalisasikan, bukti PH lebih baik

Oleh MOHD ALI HASHIM

Amran menyampaikan sumbangan kelengkapan persekolahan kepada salah seorang pelajar di Padang Besar.

Saranan supaya elaun menteri dan ahli politik dipotong adalah suatu tindakan yang harus diberi sokongan kerana ia mampu merealisasikan usaha penjimatan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri (MPN) Perlis, Amran Kamarudin ketika ditemui selepas majlis sumbangan kelengkapan persekolahan di Padang Besar.

Jelasnya, cadangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa beliau akan memotong pendek cuti tahunannya dan akan memulangkan setiap sen duit yang diterima sebagai ‘holiday’ elaun adalah tindakan yang bijak dan harus dicontohi oleh pimpinan yang lain.

Malah ujar Amran lagi, tindakan Syed Saddiq mengurangkan 10 peratus dari gaji beliau dan akan memastikan yang lain akan dikurangkan juga sehingga masalah ini selesai seharusnya diteladani.

“Sepertimana yang dilaporkan oleh media baru-baru ini pendapatan menteri dan ahli politik yang mencecah puluhan ribu setiap bulan amat tinggi dan mendapat pelbagai reaksi masyarakat.

“Sehubungan itu cadangan mengurangkan elaun tersebut seharusnya diterima dengan hati terbuka dan direalisasikan dalam usaha kearah penjimatan sepertimana yang dilaung-laungkan sebelum ini.

“Apabila perkara ini menjadi realiti sudah pasti rakyat akan turut memberi dokongan kepada kerajaan sedia ada jika dibezakan dengan apa yang diamalkan semasa pentadbiran kerajaan BN dahulu,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Ketua Cabang PKR Padang Besar turut berkata, saranan Syed Saddiq agar pemotongan elaun menteri dan ahli politik sewajarnya dilaksanakan dengan segera.

“Dengan pemotongan tersebut ia sudah pasti akan mampu menjimatkan wang negara kerana jumlah yang diterima oleh menteri dan ahli politik jika digabungkan kesemuanya mampu mengurangkan kos yang terpaksa dibelanjakan oleh kerajaan.

“Adalah diyakini dengan pemotongan tersebut ia tidak akan menjejaskan prestasi dan gerak kerja sedia ada maupun yang akan datang.

“Sebaliknya ia sudah pasti akan mendapat dokongan rakyat yang tidak mahu pendapatan melampau diamalkan sepertimana yang dilaksanakan semasa zaman BN sebelum ini, ” tambah beliau.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/potong-elaun-menteri-ahli-politik-harus-direalisasikan-buktikan-ph-lebih-baik/

Saturday, August 24, 2019

Malapetaka buat usahawan Bumiputera : Tiada lagi bantuan geran modal.



Ini berita buruk untuk usahawan bumiputera!

Berikut adalah kenyataan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan

Memberhentikan bantuan geran modal kepada syarikat bumiputera adalah satu perkara yang drastik dan ‘counter-productive’. Lebih-lebih lagi semasa bank-bank sekarang ini lebih konservatif dalam meluluskan pinjaman ketika negara berhadapan dengan kemelesetan ekonomi.

Bukan semua usahawan bumiputera gagal! Kalau diberhentikan, usahawan bumiputera yang berdaya maju akan menjadi mangsa. Kalau pun ada kelemahan, baiki bukan berhentikan. Jangan kerana ketidakupayaan kerajaan mengurus ekonomi dengan baik, usahawan bumiputera yang berwibawa menjadi mangsa.

Zaman BN dulu, satu cara untuk menapis syarikat bumiputera yang berdaya saing daripada yang tidak, ialah melalui penubuhan agensi seperti Teraju yang diurus oleh kumpulan pengurusan profesional dengan tatacara kerja yang teliti. SOP (Standard Operating Procedure) mereka ketat dan telus.

Teraju memastikan proses pemilihan dan proses pemantauan berterusan dapat dijalankan dengan lebih profesional, terbuka dan adil. Dan banyak contoh kejayaan syarikat bumiputera melalui Teraju termasuk di Sabah dan Sarawak.

Saya ingin bertanya kenapa kerajaan Pakatan Harapan (PH), terutamanya Menteri Kewangan, kenapa boleh pula menyediakan dana besar untuk kereta nasional ketiga dan kereta terbang? Apakah Kementerian Kewangan merasakan itu lebih penting dari agenda membantu usahawan bumiputera?

Saya lebih sedih kerana usahawan bumiputera dari Sabah dan Sarawak sudah tentu akan lebih terkesan dengan keputusan kerajaan ini kerana mereka berdepan dengan cabaran yang jauh lebih besar dari dalam mereka di Semenanjung!

Dana usahawan adalah salah satu cara mereka mendapat modal untuk berniaga! Kalau tidak, mereka tidak akan berpeluang untuk menceburi bidang perniagaan.

Kerajaan perlu diingatkan bahawa membantu usahawan bumiputera adalah sebahagian daripada agenda besar bumiputera yang telah diiktiraf oleh negara sejak merdeka lagi! Agenda ini wajib diteruskan sehinggalah ia mencapai objektifnya.

Kalau ada kelemahan, baiki bukan berhenti!

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan
Pemangku Ketua UMNO Sabah Bahagian Tuaran,
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia

Saturday, May 18, 2019

Perlu 10 tahun baiki kepincangan ekonomi negara: Muhyiddin

18/05/2019
PH akan pastikan tiada masyarakat terbiar, miskin, dan hidup susah


MUAR, 12 Ramadan 1440H, Jumaat – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyasarkan seawal 10 tahun bagi memperbaiki kepincangan yang berlaku dalam negara terutama dari segi penguasaan ekonomi dalam kalangan masyarakat.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan adanya inisiatif “Kemakmuran Bersama”, yang diperkenalkan kerajaan baru-baru ini, tidak akan ada satu kelompok dalam masyarakat pun, tidak kira datang dari mana pun, akan tertinggal, terbiar, tidak mencapai kemajuan, miskin, hidup papa dan susah.

“Maka sebab itulah, dengan adanya pandangan baru (Kemakmuran Bersama) yang telah dikemukakan, kerajaan kita harap dalam tempoh 10 tahun, seawal-awalnya 10 tahun, kepincangan yang berlaku dalam masyarakat dan negara kita, terutama dari segi penguasaan ekonomi akan dapat kita perbaiki,” kata beliau pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni pada Bulan Ramadan di luar Masjid Jamek Nurul Yakin, Gugusan Felda Maokil, dekat sini, hari ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, inisiatif yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu memperlihatkan bahawa kerajaan memahami akan tanggungjawab dalam memastikan tahap penguasaan ekonomi dalam negara dapat dilakukan menerusi pertandingan yang sihat.

“Supaya nanti tidak adalah kelompok yang maju dan dapat menguasai satu bidang yang jauh ke hadapan dan ada satu kelompok, kumpulan dalam masyarakat yang terpaksa tinggal jauh di belakang,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu.

Justeru itu, beliau mengingatkan rakyat agar sedar dengan tugas dan tanggungjawab yang masih besar terutamanya masyarakat Islam supaya meningkatkan semangat bekerja serta mengambil peranan dan tanggungjawab terutama sempena bulan Ramadan yang mulia ini, agar tidak ketinggalan.

Muhyiddin, yang juga Ahli Dewan Undangan negeri Gambir itu berkata, meskipun pelbagai kejayaan telah dicapai umat Islam di negara ini, masih banyak lagi usaha dan kejayaan yang boleh dicapai dalam pelbagai bidang.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Pada majlis itu, Muhyiddin menyampaikan surat kelulusan permohonan taraf kewarganegaraan kepada sembilan individu selain bantuan berbentuk barang keperluan dan duit raya kepada kira-kira 100 asnaf terdiri daripada anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang tidak berkemampuan. 

-Bernama

Wednesday, December 12, 2018

ICERD: Kerajaan cuba kelirukan rakyat



Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didakwa cuba menipu dan mengelirukan rakyat berhubung isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr, Shamsul Anuar Nasarah berkata, rumusan itu dibuat selepas kenyataan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy semalam yang mengesahkan akan komitmen Malaysia untuk menandatangani enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD.

Jelas Shamsul Anuar, ini bermakna ICERD lambat-laun akan diratifikasikan juga satu yang sekali gus menjadi hakikat yang perlu disedari oleh orang Melayu dan penduduk beragama Islam di negara ini.

“Waytha Moorthy menegaskan bahawa meratifikasikan ICERD tetap menjadi janji manifesto PH yang akan ditunaikan juga. Ini selaras dengan janji Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, baru-baru ini. “UMNO bersama-sama Pas dan lebih 500,000 rakyat Malaysia dari seluruh negara yang mengadakan Himpunan Aman Daulat 812, menolak ICERD kerana jelas menjejaskan kepentingan Islam, orang Melayu bumiputera, anak negeri dan pelbagai kepentingan kaum termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, tambah Shamsul Anuar, janji kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD kini sah sebagai satu helah untuk memikat hati rakyat, khasnya orang Melayu.

Katanya lagi, Waytha Moorthy sebagai menteri yang menjaga portfolio perpaduan juga seharusnya menyedari bahawa Malaysia sudah aman dan hak semua kaum diiktiraf dan ICERD tidak diperlukan di negara ini.

“Kami ingin mendesak kerajaan agar membuat pendirian tegas di dalam perkara ini. Selagi tidak dimasukkan ke dalam hansard Parlimen secara rasmi, selagi itulah manusia sejenis dengan Waytha Moorthy akan menggunakannya untuk kepentingan politik perkauman. “Harus diingat, UMNO bukan sahaja menentang ICERD untuk kepentingan Melayu dan Islam malah meliputi pribumi Sabah dan Sarawak. Ini sudah diperjelaskan berulang kali tetapi Waytha Moorthy sengaja tidak mahu memahaminya,” katanya.

- UTUSAN ONLINE.

Saturday, October 27, 2018

'RM900 hendak makan apa?'

Badrul Hafizan Mat Isa
pengarang@utusan.com.my
27 Oktober 2018 3:00 AM

Pendapatan berkurangan selepas kejatuhan harga sawit – Peneroka
HARGA kelapa sawit terus merudum sehingga menjejaskan pendapatan peneroka buah kelapa sawit. – GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Peneroka Felda kini ber­hadapan kegelisahan dan keresahan selepas harga komoditi sawit mencatatkan penurunan hari demi hari, sekali gus menjejaskan pendapatan mereka sehingga hanya sekitar RM900 sebulan.

Seorang peneroka Felda Wilayah Mempaga, Mansor Hashim berkata, anggaran pendapatan tersebut diperoleh selepas mengambil kira harga sawit ketika ini iaitu purata kira-kira RM400 bagi satu tan metrik.

“Dalam sebulan setiap peneroka dianggarkan dapat menuai kira-kira empat tan hasil kelapa sawit. Selepas ditolak pula dengan pelbagai kos operasi lain seperti baja, racun dan upah memotong buah sawit, peneroka hanya mendapat purata pendapatan bersih sekitar RM900 sahaja.

“Dengan RM900 hendak makan apa? Itu belum lagi pelbagai bil yang mesti diselesaikan. Peneroka di Felda kini betul-betul berada dalam keadaan resah, bagi saya senang sahaja, kerajaan mesti pastikan harga sawit meningkat, selesai semua masalah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mansor, menambahkan lagi tekanan, pelbagai bantuan dan insentif bagi me­ngurangkan kesan kejatuhan harga sawit tidak lagi diterima oleh peneroka.

“Ketika ini peneroka seperti tidak mempunyai tempat untuk mengadu sedangkan harga sawit terus jatuh. Kebanyakan peneroka merupakan golongan usia emas yang tidak peduli siapa memerintah, cuma mereka mahu harga sawit dinaikkan, itulah sumber pendapatan mereka.

“Saya harap kerajaan Pakatan Harapan (PH) lebih prihatin terhadap nasib golongan peneroka termasuklah dengan mengembalikan pelbagai bantuan dan insentif yang diterima sebelum ini, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban dihadapi,” katanya.

Menurut Ketua Peneroka Felda Wilayah Jengka, Sulaiman Bakar pula, selepas kejatuhan harga sawit pendapatan purata diperoleh peneroka setiap bulan adalah di bawah RM1,000.

“Memang tidak cukup, macam saya terpaksa mengharapkan wang simpanan, mujur ada berjimat cermat dahulu. Kalau harap pendapatan sekarang memang tidak cukup, bayar bil elektrik, air dan pinjaman lain, harapkan anak-anak juga untuk membantu serba sedikit.

“Peneroka ketika ini memang resah, tapi tidak boleh hendak buat apa, hendak marah kepada siapa? Jika dahulu bila kea­daan harga sawit jatuh begini ada sedikit bantuan daripada kerajaan, hutang-hutang peneroka se­perti perumahan dan pendidikan dikecualikan dan tidak dipotong, sekarang ni potong habis,” katanya.

Sementara itu, tambah Sulaiman, sebagai peneroka, beliau tidak begitu menaruh harapan besar kepada kerajaan menerusi pembentangan Bajet 2019 minggu depan, cuma berharap langkah sepatutnya dapat diambil segera bagi menangani kejatuhan harga sawit dan ke­sannya kepada peneroka.

“Saya tidaklah menaruh harapan besar, tapi kalau boleh kerajaan kena tengok dan jenguk Felda, beri bantuan kepada peneroka, jangan diam sahaja,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/rm900-hendak-makan-apa-1.775775#ixzz5V5vbMRdq
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tuesday, September 4, 2018

Kepercayaan terhadap ketelusan PH semain terhakis

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
4 SEPTEMBER 2018

Nik Abduh Nik Abdul Aziz

SHAH ALAM - Kepercayaan terhadap ketelusan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengangkat nilai kedaulatan undang-undang semakin terhakis.

Menurut Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, ini rentetan daripada penarikan semula dua kes rasuah melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon.

"Ia menimbulkan persoalan ramai terhadap sejauh mana institusi teras dalam negara ini benar-benar bersih daripada pengaruh pihak luar dalam menentukan tindakannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng bebas tuduhan rasuah]

Semalam, Guan Eng, yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, dan ahli perniagaan Phang Li Koon dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran.

Nik Mohamad Abduh berkata, kerajaan sering melaung-laungkan slogan kedaulatan undang-undang dengan gagasan mereformasi institusi perundangan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Namun, soalnya, apakah sebuah kedaulatan undang-undang itu terpakai hanya untuk melindungi mereka yang berkuasa, sedangkan perbicaraan kes rasuah Menteri Kewangan tersebut baru pada fasa awal setelah melalui penyiasatan sejak 2016.

"Jika pihak tertuduh yakin berada pada pihak yang benar, sewajarnya kes yang berprofil tinggi ini dibicarakan sehingga diputuskan oleh sebuah Mahkamah yang bebas, bukannya ditarik balik oleh Peguam Negara," katanya.

Itu katanya, makna sebenar di sebalik hasrat Kerajaan PH mengangkat slogan kedaulatan undang-undang.

Malah, jelasnya selain dilihat wujudnya campur tangan, pengguguran kes ini menimbulkan persepsi bahawa pihak tertuduh tidak berani berhadapan dengan perbicaraan.

"Selain kekaburan terhadap janji reformasi tersebut, saya juga berpandangan pengguguran kes ini akan berkait dengan kredibiliti penyiasatan SPRM," katanya.

Jelasnya, persoalan ini semua masih menjadi tanda tanya di kalangan rakyat.

Katanya, kesemua perkara ini jelas memberi gambaran implikasi terhadap pengguguran kes berprofil tinggi dalam negara kita.

"Lebih malang lagi, ia bukan sahaja membelakangi janji reformasi pihak Kerajaan terhadap rakyat, bahkan telah menyebabkan institusi-institusi tersebut mengalami defisit keyakinan oleh rakyat hari ini," katanya.

Friday, August 24, 2018

Najib Gesa PH Tubuh RCI dan Siasat Tiga Projek Jika Syaki Ada Salah Laku

SUARA TV
Suara Tanpa Sempadan
Abdul Mursyid Zainuddin
August 24, 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat tiga projek berkaitan China bagi menentukan sama ada wujudnya salah laku.

Projek berkenaan adalah Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan dua projek saluran paip gas oleh Suria Strategic Energy Resources (SSER).

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mendesak kerajaan PH mendedahkan kesemua perjanjian, kajian kebolehlaksanaan, kajian impak ekonomi dan analisa manfaat kos bagi membolehkan rakyat menilai dengan sendiri sama ada baik atau sebaliknya bagi Malaysia meneruskan atau membatalkan ketiga-tiga projek tersebut.

“Rakyat berhak mengetahui jika keputusan membatalkan itu dibuat atas alasan yang munasabah serta kukuh dan tidak dibuat bersandarkan kepada kemarahan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) atau terhadap kerajaan China yang tidak mahu tunduk dengan kemahuan PH.

“Sehingga kesemua dokumen itu didedahkan, saya kecewa dan sedih bagi penduduk Pantai Timur Semenanjung kerana akan kehilangan pembangunan pemangkin kemajuan negeri mereka dan peluang untuk mereka meningkatkan taraf ekonomi sama seperti yang diperoleh penduduk di pantai barat,” katanya menerusi akaun Facebook beliau, hari ini.

Hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam wawancara dengan Malaysiakini, mengakui tidak mudah untuk membatalkan projek mega dibiayai negara China yang telah ditandatangani persetujuannya.

Kata beliau, apa yang telah beliau lakukan adalah menetapkan prinsip tentang bagaimana untuk bergerak ke hadapan tetapi sama ada projek itu akan dibatalkan, ditangguhkan atau diselesaikan melalui cara lain, belum dapat ditentukan lagi.

Selasa lalu, Dr. Mahathir dalam sidang akhbar di Beijing, China, memberitahu kerajaan memutuskan untuk membatalkan projek ECRL dan Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP).

 – UTUSAN

Wednesday, August 8, 2018

Jangan gembira sangat menanti SST, pesan Ahmad Maslan

By Kasthuri Jeevendran
- 8 Ogos 2018 

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK,

KUALA LUMPUR – Hasrat Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan menggantikannya dengan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebenarnya jauh lebih membebankan rakyat kelak.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan (BN), kegembiraan kononnya selepas ini boleh makan di mana-mana restoran makanan segera kononnya jauh lebih murah selepas pemansuhan GST adalah tidak benar sekali.

“Semalam, Yang Berhormat Jelutong mendakwa selepas pemansuhan GST sifar peratus, makan di KFC tiada cukai.

“Benar ketika ini KFC atau mana-mana tempat makanan francais tidak kenakan cukai kerana tiada cukai lagi ketika ini.

“Tapi beliau silap. Selepas pelaksanaan SST kelak, ianya jauh lebih mahal. Makanan yang di jual di situ sudah dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus. Kemudian anda membeli makanan dengan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus pula. Campur kedua-duanya, sudah jadi 16 peratus.

“Bak kata orang di luar sana, SST bersamaan dengan ‘Senyap Senyap Tambah’ atau ‘Slow Slow Tipu’. Jangan terlalu gembira,” katanya.

Tambah Ahmad, setiap barang import juga akan dikenakan cukai perkhidmatan dan cukai jualan.

Jika anda servis kenderaan akan dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus untuk barangan di situ, ditambah pula dengan servis perkhidmatan enam peratus.

“Pergi ke hotel pula, sebahagian barang-barang hotel sudah ada cukai jualan, campur pula dengan cukai perkhidmatan. Kemudian ditambah lagi caj servis antara satu hingga 15 peratus.

“Caj servis ini selalunya sebagai ‘tips’ untuk pekerja hotel tetapi segelintir tempat ianya diambil oleh syarikat atau restoran itu sendiri,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan 2018 dibentangkan dan dibaca buat kali kedua dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Ahmad yang juga merupakan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, rata-rata anak muda yang menggunakan kad prabayar telefon juga hanya tunggu masa harganya dinaikkan dalam masa terdekat.

“Kepada anak-anak muda yang ada kad prabayar, bersedialah tunggu kad prabayar anda itu naik harga dengan cukai-cukai yang dikenakan kelak.

“Jika sedemikian, pasti akan mengamuk dalam sosial, saya minta anda ‘bantu’ kami dalam Pakatan Pembangkang untuk ‘membantai’ sekali inisiatif PH yang cuba bantu kurang bebankan rakyat tetapi sebenarnya ia tidak berlaku,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ahmad juga menyoal relevan dan rasional bagaimana kerajaan dilihat seolah-olah ‘berlembut’ apabila mengenakan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus sahaja untuk aktiviti perjudian yang terdiri daripada nombor ramalan, kasino, kelab, loteri dan lumba kuda.

“Mengapa tidak naikkan sahaja cukai enam peratus kepada 20 atau 30 peratus? Lagi baik naikkan atau kenakan cukai tinggi supaya orang berhenti pergi ke tempat sebegitu.

“Tempat-tempat seperti kasino, judi, kelab malam atau persendirian itu patut dinaikkan harga,” tegasnya. 

MalaysiaGazette

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-