Monday, January 27, 2020

Anwar tidak saman Yusoff berhubung dakwaan serangan seksual

FMT Reporters
-January 27, 2020 
Anwar Ibrahim berkata beliau tidak akan menyaman Muhammed Yusoff Rawther yng menuduh beliau membuat serangan seksual.

PETALING JAYA: Anwar Ibrahim tidak akan menyaman Muhammed Yusoff Rawther berhubung dakwaan bahawa presiden PKR itu melakukan serangan seksual terhadap bekas pembantunya.

Keputusan ini mengejutkan berikutan janji Anwar sebelum ini untuk membersihkan namanya.

Peguam Anwar, Ramkarpal Singh berkata, beliau menasihati anak guamnya supaya tidak meneruskan saman berkenaan berikutan satu saman lain yang difailkan oleh setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak terhadap Yusoff, yang merupakan bekas pembantu penyelidik di pejabat Anwar di Petaling Jaya, Jumaat lepas.

Ramkarpal berkata, keputusan itu juga berkait dengan keputusan peguamcara negara untuk tidak meneruskan kes jenayah berhubung laporan polis Yusoff yang mendakwa Anwar membuat serangan seksual ke atasnya pada Okt 2018.

“Sekarang tidak perlu lagi untuk teruskan saman fitnah itu kerana nama baik Anwar Ibrahim telah dibersihkan susulan keputusan peguamcara negara,” kata Ramkarpal dalam satu kenyataan.

Beliau seterusnya berkata, Anwar hanya mahu membersihkan nama beliau, dan “tidak berminat untuk mendapatkan ganti rugi kewangan yang mungkin diberikan berikutan saman fitnah tersebut”.

“Justeru, tidak ada lagi keperluan memfailkan saman fitnah yang akan mengambil banyak masa dan membabitkan kos tidak perlu,” katanya.

Pada 17 Jan, beberapa hari selepas Peguamcara Negara Engku Nor Faizah Engku Atek melepaskan Anwar, Yusoff berkata, beliau mengalu-alukan saman presiden PKR itu berhubung dakwaan serangan seksual yang terkandung dalam satu kenyataan berkanun yang dikeluarkan oleh beliau.

“Anwar hendak saman saya? Dipersilakan,” kata Yusoff kepada pemberita bersama-sama peguamnya Haniff Khatri Abdulla.

Yusoff membuat laporan polis terhadap Anwar, yang membuka jalan kepada satu siasatan polis di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan berkait penggunaan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan seseorang.

Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Ketika memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan jenayah terhadap Anwar, Engku Nor Faizah, bagi pihak Peguam Negara Tommy Thomas, yang menarik diri daripada kes itu berkata, wujud “percanggahan fakta material” berhubung dakwaan Yusoff.

“Kami juga mendapati tiada keterangan mencukupi untuk membuat pendakwaan berikutan laporan yang dibuat berdasarkan keterangan yang terkandung dalam kertas siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-