Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Tuesday, January 21, 2020

‘Pendekatan Mujahid berkaitan Islam sangat liberal’

Oleh Athirah Huda Zalhe
21/01/2020
Mana menteri agama ketika Permaisuri dihina perkasa tulisan jawi?


BANGI, 25 Jamadilawal 1441H, Selasa – Kecenderungan Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf membela agama lain berbanding Islam, menimbulkan kekesalan dalam kalangan umat yang menyifatkan beliau gagal berperanan sebagai menteri agama di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Turut senada dalam perkara itu, Ketua Media Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Haji Rashidi Haris yang dari awal lagi beliau melihat pendekatan yang diambil Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkenaan, dalam perkara berkaitan agama Islam sangat liberal.

Beliau berkata, ia bermula dengan penafsiran ‘rahmatan lil alamin’ yang disifatkan jauh melencong daripada tafsiran ulama muktabar, bahkan selari dengan fahaman liberalisme.

“Ini terbukti apabila beliau cenderung membela golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) yang bercanggah dengan syarak, dengan dilihat seperti berselindung di sebalik pendekatan menjaga hak mereka.

“Persoalannya, apakah hak yang istimewa yang lain dari hak seorang lelaki dan hak seorang perempuan sehingga harus diberi keistimewaan?,” soalnya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Baru-baru ini, Mujahid kembali mencetuskan kontroversi setelah mempertahankan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang didakwa tidak rasis, selepas pertemuannya dengan kumpulan pendesak itu Rabu lalu.

Kenyataan Mujahid dikritik pelbagai pihak, kerana jelas bertentangan dengan pendirian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini yang menyifatkan Dong Zong sebagai sebuah pertubuhan rasis.

Kenyataan kontroversi seumpama itu bukanlah pertama kali dibuat oleh menteri menjaga portfolio agama berkenaan, sebaliknya sebelum ini pernah beberapa kali mengeluarkan pendirian yang ‘janggal’ bagi umat Islam.

Ia termasuklah kenyataan yang membenarkan golongan transgender menggunakan tandas wanita, isu membabitkan etnik muslim Uyghur di Xinjiang, hujahnya yang menentang kempen Beli Produk Muslim (BMF) dan gesaan tindakan tegas ke atas pekeliling mengharamkan Pesta Ponggal dirai di sekolah.

Mengulas lanjut, Rashidi berkata, kebelakangan ini juga, Mujahid dilihat sangat cenderung membela agama lain, apabila berlaku isu berbangkit membabitkan pertembungan antara kepentingan Islam dengan agama lain.

“Baik dari isu tanglung, tulisan jawi, isu Tabung Haji dan terbaru Pesat Ponggal, semuanya terang-terangan beliau lebih membela agama lain dari menjaga Islam, yang sememangnya termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Dan paling mendukacitakan apabila beliau langsung tidak mempertahankan kedudukan Raja Permaisuri Agong apabila baginda dihina oleh individu biadab memperlekeh perjuangan memperkasakan tulisan jawi. Di mana kewibawaan dan amanah yang beliau angkat sumpah sebagai menteri agama?,” soalnya lagi.

Demi kepentingan agama Islam di negara ini, beliau menggesa Mujahid supaya segera meletakkan jawatan secara hormat kerana gagal melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atasnya sebaik mungkin.

“Dan ianya adalah perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan asbab mengapa kementerian itu ditubuhkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-