Saturday, January 18, 2020

Perjanjian peralihan kuasa tidak boleh dipakai - Ku Li

Oleh Ramli Ibrahim
bhnews@bh.com.my

VETERAN UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah memotong pulut kuning merasmikan Majlis Makan Malam Ikatan Kasih di Dewan Pusat Sivik, malam tadi. 
- Foto Ramli Ibrahim

GUA MUSANG: Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan desakan pelbagai pihak supaya disegerakan peralihan kuasa Perdana Menteri berdasarkan perjanjian antara parti komponen Pakatan Harapan (PH) tidak boleh dipakai.

Katanya, ini kerana peralihan kuasa mengikut apa yang dijanjikan itu di luar daripada ketetapan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, lantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri mengikut Perlembagaan Persekutuan dan dipersetujui serta mendapat sokongan majoriti dalam Parlimen.

“Mengikut Perlembagaan, peralihan kuasa Perdana Menteri hanya berlaku jika Perdana Menteri berhenti, mati atau usul tidak percaya di Dewan Rakyat, baru boleh dilantik Perdana Menteri baharu.

“Kalau keadaan itu tidak berlaku dalam Dewan Rakyat, maka dia kekal sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Malam Ikatan Kasih, di Pusat Sivik, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim; ADUN Nenggiri, Ab Aziz Yusof dan ADUN Paloh, Amran Ariffin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan pelbagai pihak berhubung peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berdasar perjanjian.

Tengku Razaleigh juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, Dr Mahathir dipilih dan mengangkat sumpah untuk memegang jawatan itu sehingga tamat penggal.

Sehubungan itu, katanya selagi Dr Mahathir menjadi Ahli Parlimen, beliau akan kekal memegang jawatan Perdana Menteri untuk tempoh sepenggal kecuali ada undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-