Friday, February 21, 2020

Peguam: Penyokong IS pun boleh mohon gugurkan kes

Hariz Mohd
Diterbitkan Hari ini 7:50 malam 

BERITA

Penyokong kumpulan militan Islamic State (IS) yang sedang berdepan dakwaan mempromosikan kumpulan itu, kini mempunyai peluang untuk menggugurkan kes mereka, kata peguam.

Ini susulan keputusan Peguam Negara (AG) Tommy Thomas hari ini yang menggunakan budi bicaranya untuk menarik balik pendakwaan ke atas suspek yang dikaitkan dengan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Peguam jenayah, M Hafiz Zainol Abidin yang berpengalaman mewakili beberapa orang tertuduh dalam kes berkaitan keganasan sebelum ini, berkata, pendakwaan yang dihadapi anak guamnya berkemungkinan besar serupa sahaja dengan yang dihadapi 12 individu yang didakwa menyokong dan mempromosikan LTTE.

Katanya, dalam kebanyakan kes mahkamah berkaitan keganasan, suspek didakwa kerana menyokong, atau menyimpan barang yang dikaitkan dengan kumpulan keganasan itu - satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Kanun Keseksaan.

“Hari ini, AG buat keputusan untuk memberhentikan prosiding terhadap 12 suspek yang dikaitkan dengan LTTE, dengan menyatakan bahawa memiliki barang-barang (berkaitan) pengganas seperti gambar dan lain-lain, tidaklah menjadikan orang itu juga pengganas, atau mempunyai rancangan melakukan keganasan,” katanya hari ini kepada Malaysiakini.

“Jadi, kemungkinan boleh guna ini (keputusan AG) untuk memastikan dakwaan seumpamanya ke atas suspek lain yang dituduh menyokong pengganas, turut digugurkan.

“Seperti anak guam saya yang dituduh menyokong dan mempromosikan IS, mereka dituduh menggunakan bukti yang sama seperti kes 12 individu yang dibebaskan oleh AG hari ini.

“Jadi, apa bezanya di antara penyokong IS dengan penyokong LTTE? Kedua-dua mereka menyimpan gambar dan barangan orang yang mereka kagumi atau sokong”.

Hafiz merujuk kepada laporan bahawa Thomas mengumumkan keputusan untuk menghentikan prosiding terhadap 12 suspek yang berdepan 34 tuduhan menyokong dan mempromosikan LTTE.

Kata peguam itu, keputusan AG itu membuka ruang kemungkinan buat mereka yang telah dihukum bersalah oleh mahkamah dengan bukti seumpamanya, untuk membuat rayuan ke atas kes mereka.

“Mereka boleh merayu dari aspek teknikal tuduhan itu.

“Saya akan berbincang dengan anak guam saya berhubung hal ini, dan langkah-langkah seterusnya (yang akan diambil) untuk kes mereka,” kata Hafiz.

Sementara itu, seorang lagi peguam yang kini aktif dalam politik, Syahredzan Johan turut tampil menggesa AG menilai semula kes-kes lain di bawah Seksyen 130J(1) dan Seksyen 130J(B) Kanun Keseksaan.

Peruntukan-peruntukan berkenaan, masing-masing berkaitan kesalahan menyokong organisasi pengganas, dan kesalahan memiliki barangan yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas.

“Saya dah baca asas-asas AG dan mengalu-alukan keputusannya untuk menghentikan prosiding.

“Saya turut menggesa Tommy Thomas untuk menilai semula semua tuduhan di bawah Seksyen 130J(1) dan Seksyen 130J(B) Kanun Keseksaan, yang menggunakan prinsip sama,” ciapnya di Twitter.

[Baca berita asal]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-