Monday, February 17, 2020

PKR tidak lagi ada majoriti di Parlimen - Tariq Ismail

BERITA

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Tariq Ismail menasihatkan pemimpin PKR supaya berhenti bercakap mengenai isu peralihan kuasa.

Ia susulan kenyataan angota Parlimen Selayang William Leong yang mahukan "pelan B" diaktifkan bagi menekan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad supaya patuh terhadap perjanjian peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim.

"(Berhenti bercakap mengenai peralihan kuasa) ia mewujudkan ketidakpastian mengenai siapa yang memegang kuasa.

"Seperti kanak-kanak, mereka mahu jaminan yang berterusan dari seorang negarawan yang tua bila dia akan menyerahkan kuasa.

"Dia (Mahathir) telah memberitahu banyak kali ia akan berlaku selepas APEC," kata Tariq kepada FMT.

Tariq turut mengingatkan PKR bahawa parti itu tidak lagi mempunyai kuasa majoriti di Dewan Rakyat untuk memutuskan siapa yang patut menjadi perdana menteri.

"Walaupun PKR telah memenangi kebanyakan kerusi, tetapi mereka tidak mempunyai majoriti untuk memutuskan siapa yang patut menjadi perdana menteri," katanya.

Beliau memetik Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kausa melantik seorang perdana menteri daripada kalangan anggota Parlimen yang mempunyai sokongan majoriti.

Tekanan awam

Dalam satu forum semalam, William memberi bayangan sesuatu perlu dilakukan, termasuk tekanan daripada pandangan awam sekiranya pelan peralihan kuasa antara Mahathir dan Presiden PKR itu tidak berlaku.

Bekas bendahari itu berkata sekarang adalah masa untuk menggunakan "pelan B" bagi memastikan Anwar diangkat sebagai perdana menteri kelapan.

"Ini masa untuk pelan B dikeluarkan, suara rakyat itu penting, kita nakkan pandangan awam, ia adalah tekanan pandangan untuk kerajaan kembali kepada landasan.

"Kita sudah turun ke jalan raya sebelum ini, bukan saya mahu suruh mereka turun, tapi kita mahukan semangat," katanya pada majlis kupasan politik semasa di Damansara, semalam.

Isu peralihan kuasa antara perdana menteri kepada Anwar terus menjadi pertikaian, walaupun Mahathir telah berulang kali menyatakan hasratnya untuk berundur daripada jawatan perdana menteri pada November ini, selepas Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Kuala Lumpur.

Spekulasi terus bertiup apabila terdapat laporan mendakwa sesetengah pihak dalam PH dan Umno mahu Mahathir - yang juga pengerusi Bersatu - menamatkan penggalnya sehingga pembubaran parlimen akan datang.

Sesetengah pihak mendakwa terdapat anggota parlimen pembangkang dan PH berpakat untuk menandatangani SD sokongan kepada Mahathir.

Pada masa sama PAS menggerakkan usaha membawa usul menyokong Mahathir pada sidang Dewan Rakyat akan datang, dijadual berlangsung bulan depan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-