Sunday, February 23, 2020

‘Rombakan besar’ Kabinet: MT Umno adakan mesyuarat khas

Adam Abu Bakar
-February 23, 2020 4:24 PM
Setiausaha agung Umno Annuar Musa berkata, presiden parti Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan ahli Majlis Tertinggi Umno hadir ke PWTC hari ini.

KUALA LUMPUR: Umno mengadakan mesyuarat tergempar parti itu hari ini bagi membincangkan kedudukan dan pendirian mereka susulan jangkaan akan berlakunya rombakan Kabinet sewaktu cakap-cakap mengenai penjajaran baru politik tersebar luas kini.

Beberapa ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno dilihat hadir ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, namun enggan memberikan sebarang penjelasan lanjut mengenai agenda mesyuarat hari ini.

Antara pemimpin yang dilihat tiba ke PWTC adalah naib presiden, Mohamed Khaled Nordin; ketua Wanita, Noraini Ahmad; setiausaha agung, Annuar Musa; ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan dan ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman.

Annuar ketika ditemui pemberita, memberitahu bahawa arahan untuk ahli MT Umno hadir ke ibu pejabat dibuat selepas menerima makluman daripada presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pagi tadi.

“Presiden keluarkan arahan pada pagi tadi. Saya diminta untuk beritahu semua ahli MT. Jadi kita adakan mesyuarat khas MT. Apa agendanya saya tidak tahu, kena tunggu selepas mesyuarat nanti,” katanya, hari ini.

Annuar turut memaklumkan bahawa PAS juga akan mengadakan mesyuarat tergempar parti itu hari ini, selepas pertemuan kedua-dua parti itu di Janda Baik, Pahang, sejak semalam.

“Presiden PAS Abdul Hadi Awang ada bersama dengan kita sejak semalam, memang semalam kita berkampung di Janda Baik,” katanya.

Awal hari ini, timbalan presiden PKR Azmin Ali dan kira-kira 9 pemimpin dan ahli Parlimen PKR yang menyokong beliau berada di hotel Sheraton Petaling Jaya.

Pada masa sama pemimpin tertinggi PPBM pula bermesyuarat di ibu pejabat parti itu di Yayasan Selangor tidak jauh dari situ.

Difahamkan pemimpin PPBM, termasuk Mahathir akan menyertai Azmin dan pemimpin lain di Sheraton untuk membuat satu “pengumuman penting” lewat hari ini.

Pengumuman itu hampir pasti akan menyebabkan DAP hilang kuasa kerajaan pusat, sementara parti berteraskan orang Melayu memainkan peranan dominan di bawah gabungan baru politik yang lahir.

Dalam pada itu, apa-apa perubahan di peringkat kerajaan persekutuan bakal memberi kesan di peringkat negeri.

Ketegangan semakin memuncak dalam Pakatan Harapan ketika PKR, DAP, dan Amanah terus menekan Mahathir supaya menetapkan tarikh penyerahan kuasa kepada presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Perkembangan hari ini berlaku kurang 48 jam selepas sidang media pada tengah malam Jumaat, yang menyaksikan Mahathir secara tegas mengumumkan bahawa beliau masih berkuasa dan rakan kongsi dalam PH memberi kepercayaan kepadanya untuk terus kekal sebagai perdana menteri selagi dia mahu.

Bulan lepas, FMT melaporkan pertemuan peribadi antara Mahathir dengan presiden PAS, Abdul Hadi Awang mungkin memberi petanda tentang penyusunan semula kuasa politik di Putrajaya, langkah yang mungkin mengetepikan DAP, dan khususnya, menggagalkan cita-cita Anwar menjadi perdana menteri.

Penyusunan baru itu akan menyatukan kumpulan politik yang menyokong Mahathir dengan pengaruh PAS di negeri Melayu di semenanjung.Awal bulan ini, ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam bercakap tentang kemungkinan suatu pakatan baru, iaitu “Pakatan Nasional” yang sedang terbentuk.

PH dibentuk pada 2015 oleh PKR, DAP dan Amanah berikutan perpecahan Pakatan Rakyat, yang sebelum ini menggabungkan parti pembangkang iaitu PAS, PKR dan DAP.

Pada 2016, pakatan itu memperoleh rakan ke-4, PPBM, yang dibentuk oleh Mahathir selepas berpisah dengan Umno.

Penggabungan itu terbukti berkesan dalam menggerakkan sokongan rakyat di sebalik kekecewaan orang ramai terhadap pentadbiran Najib berkait skandal 1MDB, justeru membawa kepada kekalahan bersejarah Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya 2018.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-