Tuesday, March 24, 2020

106 jangkitan baru Covid-19, 24 pulih hari ini

Nur Hasliza Mohd Salleh
-March 24, 2020 5:26 PM


PUTRAJAYA: Sebanyak 106 kes baru jangkitan Covid-19 direkodkan hari ini, berbanding 24 pesakit yang pulih sepenuhnya.

Kes jangkitan baru hari ini lebih rendah berbanding 212 semalam, sementara kes pulih dan dibenar keluar wad tinggi sedikit berbanding 20 semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 sebanyak 1,624 kes, berbanding 183 kes yang dibenarkan keluar wad.

Bercakap pada sidang media hari ini, beliau menjelaskan sebanyak 43 kes daripada angka kes jangkitan baru itu berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, manakala 63 kes lain berkaitan kluster lain yang masih dalam siasatan untuk kepastian kementerian.

Ditanya apakah kluster lain sudah dikenalpasti, Hisham berkata ia melibatkan beberapa generasi pembawa virus selepas ahli jemaah tabligh yang dijangkiti, menjangkiti generasi pembawa virus berikutnya, seperti isteri atau ahli keluarga (generasi ke-2), anak-anak atau rakan-rakan generasi ke-2 (generasi ke-3 berjangkit dari generasi ke-2), dan jiran tetangga (generasi ke-4 berjangkit daripada generasi ke-3).

Beliau bagaimanapun menasihatkan orang ramai supaya jangan menyalahkan, meletakkan stigma atau mendiskriminasikan jemaah tabligh dalam kes penularan wabak.

“Apa yang penting, kita bantu mengesan dan merawat jangkitan Covid-19 di kalangan jemaah tabligh, keluarga dan kontak mereka,” katanya.

Mengenai kes kematian ke-15 yang diumumkan di FB hari ini, Hisham memaklumkan mangsa mempunyai sejarah kontak dengan kes jangkitan ke-703, seorang peserta perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, semasa solat Jumaat.

Katanya, dia mempunyai gejala selama seminggu iaitu demam, batuk, dan kesesakan nafas untuk 3 hari. Mangsa berusia 70 tahun itu diberi bantuan pernafasan di unit rawatan rapi dan kemudian disahkan meninggal dunia pada 5.35 pagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-