Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu percaya gabungan baharu Perikatan Nasional (PN) akan membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil.
— Foto oleh Farhan Najib
IPOH, 9 Mac — Perikatan Nasional (PN) Perak terdiri daripada UMNO, PAS dan Bersatu mendapat sokongan 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membentuk kerajaan baharu di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Ahmad Faizal berkata sokongan itu datang daripada semua 25 ADUN UMNO, PAS (tiga) dan Bersatu (empat).
Empat ADUN Bersatu itu ialah Ahmad Faizal (Chenderiang) dan Datuk Zainol Fadzi (Sungai Manik) serta ADUN Kuala Kurau Datuk Abdul Yunus Jamahri (sebelum ini PKR) dan ADUN Tualang Sekah Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (sebelum ini Bebas) yang kedua-duanya kini menyertai Bersatu.
“Gabungan baharu ini akan membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil dan mampu menjalin kerjasama erat dengan kerajaan Perikatan Nasional di peringkat Persekutuan bagi meneruskan agenda pembangunan dan membela rakyat negeri Perak,” katanya.
Ahmad Faizal, yang mengetuai kerajaan Pakatan Harapan di negeri itu sebelum ini, berkata langkah menyertai Perikatan Nasional dibuat kerana merasakan adalah perlu kerajaan negeri sealiran dengan pentadbiran di peringkat Persekutuan bagi memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.
Menurut Ahmad Faizal, beliau masih Menteri Besar Perak setakat ini, namun gabungan baharu itu telah menyerahkan cadangan nama calon Menteri Besar kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Perak mempunyai 59 kerusi DUN semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan dengan Barisan Nasional yang kesemuanya UMNO (25), DAP (18), Amanah (6), PKR (4), PAS (3), Bersatu (2) dan Bebas (1).
Sidang media sulung Perikatan Nasional Perak itu turut dihadiri Pengerusi Perhubungan UMNO Perak Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria.
Ahmad Faizal berkata kesemua 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak (Exco) tergugur berkuat kuasa hari ini dengan hanya beliau kekal dengan jawatan menteri besar.
Ditanya mengapa pengumuman pembentukan Perikatan Nasional di Perak agak lewat, Saarani berkata ia disebabkan terdapat proses yang perlu diikuti bagi memperoleh persetujuan bersama untuk menghasilkan keputusan secara tertib.
“Kami perlu mengikut proses kerana tidak mahu kelam kabut dan berlaku huru hara. Biar lambat asalkan selamat,” katanya.
Dalam pada itu, Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol berharap perkembangan politik terkini itu memberi satu jawapan menyeluruh kepada isu pentadbiran negeri Perak.
— Bernama
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.