Oleh Amir Mamat
bhnews@nstp.com.my
bhnews@nstp.com.my

Kedudukan Norhizam sebagai ahli DAP akan ditentukan dalam masa terdekat.
- Foto NSTP
AYER KEROH: Kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai ahli DAP akan ditentukan dalam masa terdekat.
Naib Pengerusi DAP negeri, Khoo Phoay Tiong, berkata parti itu akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kedudukan Norhizam selepas mengesahkan menyertai Perikatan Nasional (PN) hari ini.
“Perkara ini akan dibincangkan di peringkat Pusat dan parti akan keluarkan kenyataan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, Norhizam yang juga Timbalan Pengerusi DAP Melaka mengumumkan menyertai gabungan PN dalam satu sidang media, hari ini.
Beliau dilaporkan berkata, tindakannya menyokong PN demi orang Melayu.
“Saya bertindak demi kepentingan orang Melayu yang mana saya sudah bekerja keras, mereka kata nak berkhidmat, tapi saya tengok saya jadi barua saja.
“Bila hati dan jiwa raga saya serahkan (kepada kepemimpinan sebelum ini), ini yang berlaku.
“Saya kecewa, jadi saya balik ke pangkuan. Saya harap barisan kepemimpinan kerajaan baru tak kecewakan rakyat,” katanya.
Pada sidang media itu juga, Norhizam turut menyatakan kesediaan untuk berhadapan dengan apa-apa tindakan parti terhadapnya.
“Itu antara saya dengan parti. Saya bersedia dengan semua kemungkinan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.