Tuesday, March 31, 2020

PH cadangkan kerjasama dwipartisan lawan Covid-19



Majlis Setiausaha Pakatan Harapan menggesa agar satu sidang Parlimen tergempar dipanggil bagi membincangkan masalah ekonomi Malaysia, termasuk kerjasama dwipartisan bagi membendung wabak Covid-10 dan menyelamatkan negara.

PH berpandangan bahawa keadaan ekonomi terutama enam bulan ke hadapan memerlukan perancangan rapi dan sokongan dwipartisan.

Katanya, ini kerana kesan wabak Covid-19 terhadap ekonomi bersifat jangkamasa panjang dan berupaya mengubah ekonomi global.

PH juga meminta kerajaan menyalurkan lebih banyak bantuan untuk menyelamatkan pekerja industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam negara.

Katanya, pakej rangsangan untuk PKS sama sekali tidak menjelaskan rancangan fiskal yang mampu menjamin kelangsungan pekerjaan mahupun perniagaan mereka akibat kesan ekonomi yang meleset.

Tambahnya, sebanyak RM5.9 bilion yang dibelanjakan di bawah Program Subsidi Upah bagi membayar RM600 sebulan bagi tiga bulan kepada sejumlah 3.3 juta pekerja juga belum memadai.

“PKS menyediakan tujuh dari 10 pekerjaan di Malaysia dan memainkan peranan penting dalam menjana pendapatan bagi kerajaan melalui pembayaran cukai korporat.

“Maka, bantuan tambahan amat diperlukan bukan sahaja demi membela kebajikan rakyat, tetapi juga nasib PKS.

“PH mencadangkan agar bayaran tersebut turut dinaikkan ke RM1,200 bersamaan kadar gaji minima negara,” katanya dalam satu kenyataan yang dibuat bersama hari ini.

Kenyataan itu dibuat antara, Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Abd Samad; Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin; dan DAP, Dr Dr Ong Kian Ming.

Menurut PH lagi, langkah itu bukan sahaja akan membantu pekerja tetapi juga PKS dengan meringankan beban bayaran gaji serta membantu mengelakkan pekerja dibuang kerja.

Jumlah lebih besar itu katanya, selari dengan usaha yang dilaksanakan beberapa negara lain termasuk Singapura, United Kingdom dan Australia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-