Sunday, March 22, 2020

PKP: Tindakan tegas mungkin diambil

By Norlaile Abd Rahman
       - 22 March 2020

Anggota kem Rejimen 502 Askar Wataniah Kem Sungai Buloh tiba bagi membantu pihak Polis Diraja Malaysia dalam Ops Covid-19 susulan Perintah Kawalan Pergerakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor.
 foto AFIQ RAZALI, 22 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Tidak mustahil tindakan lebih tegas akan diambil sekiranya orang ramai masih gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah pun masuk hari kelima.

Bagaimanapun, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, sebarang tangkapan akan dibuat oleh pihak polis dan bukannya tentera seperti mana khabar angin yang disebarkan di media-media sosial.

Namun setakat ini, kerajaan masih menggunakan nasihat melalui hebahan maklumat supaya orang ramai memahami dan mematuhi PKP.

“Terlalu banyak khabar angin yang bertebaran contohnya kereta kebal diletakkan di setiap sekatan jalan raya. Kedengaran lucu tetapi inilah yang disebarkan.

“Saya ingin tegaskan, anggota tentera hanya untuk membantu polis dalam sama-sama memberi nasihat kepada orang awam,

“PKP dilaksanakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit yang di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan, bukannya akta darurat atau undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN). Jadi operasi ini diketuai oleh polis.

“Memang ada peruntukan undang-undang untuk mengenakan hukuman di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit tetapi sebarang tangkapan akan dibuat oleh polis, bukan tentera. Jangan takut,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Jelas Ismail Sabri, penglibatan Angkatan Tentera Malaysia sejak jam 12 tengahari tadi adalah untuk memastikan semua rakyat memahami dan mematuhi perintah yang telah dikeluarkan sebelum ini.

Ia bagi memastikan lebih banyak nyawa boleh diselamatkan, katanya. 

MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-