Saturday, March 28, 2020

Rakyat gembira terima pakej Prihatin, pembangkang yang panas

By Muhammad Azizul Osman
      - 28 March 2020

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Beberapa pemimpin pembangkang mula mempersoalkan pakej ransangan ekonomi RM250 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Antaranya veteran DAP, Lim Kit Siang yang menggesa agar Muhyiddin mengadakan mesyuarat khas Parlimen di Dewan Rakyat.

Jelasnya, langkah itu perlu bagi mendedahkan kepada 222 orang Ahli Parlimen Dewan Rakyat tentang pakej ransangan itu sebelum diumumkan kepada rakyat.

“Muhyiddin sepatutnya mengadakan mesyuarat darurat dua hari di Parlimen untuk meluluskan pakej rangsangan ekonomi dan perancangan semula rancangan ekonomi Malaysia,” katanya di Twitter beliau, hari ini.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad turut berkata segala peruntukan itu perlu dibawa ke pengetahuan Dewan Rakyat terlebih dahulu.

Jelas Khalid, langkah itu perlu dibawa ke pengetahuan ahli-ahli Parlimen dan dibahaskan bagi memastikan peruntukan itu digunakan dengan jalan yang baik.

“Demokrasi menuntut supaya pakej kewangan dibahas di Parlimen untuk menentukan keputusan terbaik dicapai.

“Pakej ransangan yang dibentang bernilai berbilion maka perlu dibahas untuk menjamin hasil terbaik bagi negara. Begitu juga soal perlaksanaannya. Mesti telus bukan cara BN,” kata Ahli Parlimen Shah Alam itu di Twitternya.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming turut berkata segala peruntukan yang akan disalurkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) harus berteraskan kepada prinsip ketelusan.

Ujarnya, kerajaan perlu segera mengagihkan bantuan itu kepada rakyat yang terkesan dengan penularan Covid-19.

“Segerakan wang dihantar kpd rakyat. Kini kerajaan perlu menyalurkan bantuan RM250 billion spt yg diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Pengagihan bantuan wajib mematuhi 3 prinsip utama iaitu ketelusan, akauntabiliti & kredibiliti,” katanya juga di Twitter.

Malah semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berkata pakej rangsangan ekonomi terbaru berjumlah RM250 bilion untuk memerangi Covid-19 perlu diperhalusi di Parlimen.

Beliau berkata, ini bagi memastikan tiada kerugian atau ketirisan dan dana untuk golongan memerlukan itu diuruskan “orang jujur” yang mempunyai rekod bersih.

Katanya, di negara maju, pakej rangsangan ekonomi dibentangkan di Parlimen supaya ia dipantau, termasuk membincangkan bagaimana dana itu akan diperolehi dan hutang dilangsaikan.

“Persoalannya adakah wang itu akan sampai (kepada rakyat yang memerlukannya)? Adakah pembaziran atau ketirisan atau rompakan kecil-kecilan akan berlaku?

“Dana itu tidak patut dikendalikan ahli politik atau mereka yang mempunyai rekod buruk,” kata bekas menteri kewangan itu dalam video yang dimuat naik ke Facebooknya semalam.

Muhyiddin dalam perutusan khas semalam mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion untuk membantu rakyat yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Jelas beliau, daripada jumlah yang diumumkan itu, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.

Jumlah itu adalah tambahan sebanyak RM20 bilion lagi telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.

 -MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-