Wednesday, April 22, 2020

50 kes baru, satu lagi kematian, 103 pulih

Dikemaskini Hari ini 5:22 pm

Malaysia merekodkan 50 kes baru Covid-19 setakat tengah hari tadi, menjadikan jumlah kes positif di Malaysia adalah sebanyak 5,532 kes.

Dalam sidang media di Putrajaya, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham berkata seramai 103 kes telah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 3,452 kes," kata beliau.

Menurutnya jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 setakat ini adalah sebanyak 1,987 kes.

"Sehingga kini, seramai 43 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 25 kes memerlukan bantuan pernafasan," jelasnya.

Noor Hisham juga memaklumkan terdapat pertambahan satu lagi kes kematian menjadikan jumlah kumulatif adalah sebanyak 93 kematian setakat ini.

Kematian terbaru itu melibatkan seorang wanita warga Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah dan darah tinggi.


"Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 20 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 22 April 2020 jam 9.15 pagi. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau," katanya.

Satu kluster baru di Pengerang, Johor

Sementara itu, Noor Hisham berkata KKM telah mengesan satu kluster yang bermula di Pengerang, Johor.

Kes indeks iaitu kes ke-1508 kluster ini telah mula mengalami gejala pada 12 Mac lalu.

"Beliau telah dirawat di sebuah klinik swasta pada 16 Mac 2020 dan disyaki sebagai menghidap Demam Denggi.

"Pada keesokan hari, beliau telah merentas beberapa buah negeri untuk mengunjungi sanak saudara di sekitar Selangor sebelum pulang ke Pengerang pada 18 Mac 2020.

"Keadaan kesihatan beliau mula merosot dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor pada 20 Mac 2020 dalam keadaan yang kritikal. Beliau seterusnya disahkan positif jangkitan Covid-19 pada 22 Mac 2020," jelasnya.

Setakat 22 April, kluster ini melibatkan sebanyak 15 kes positif Covid-19 iaitu sepuluh orang rakan sekerja dan lima ahli keluarga kes indeks, termasuk ibu beliau yang berusia 79 tahun dan anak perempuan berusia 10 tahun.

"Sebanyak tujuh (7) kes daripada kluster ini masih di dalam rawatan manakala lapan (8) kes lagi telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj.

"Secara keseluruhan, tiga (3) kes di dalam kluster ini telah dirawat di ICU.

"Jangkitan di kalangan ahli keluarga yang menetap di negeri lain adalah dipercayai berpunca daripada aktiviti kunjung mengunjung yang berlaku sehari sebelum pelaksanaan PKP," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-