Wednesday, April 22, 2020

Terkandas di kampung perlu daftar dengan polis untuk pulang

Faiz Zainudin
- April 22, 2020 3:43 PM
 

PUTRAJAYA: Mereka yang terkandas di kampung dan mahu pulang ke rumah masing-masing dikehendaki mendaftarkan diri mulai 25 Apr untuk membantu kerajaan menguruskan perkara itu.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata mereka boleh mendaftarkan diri melalui aplikasi dalam talian GerakMalaysia, atau membuat temujanji dengan balai polis berdekatan untuk pendaftaran diri jika tiada kemudahan internet.

Katanya, pengumpulan data ini memerlukan butiran diri pendaftar, bilangan ahli keluarga yang mahu pulang bersama dan tempat tinggal mereka.

“Supaya kita dapat maklumat lengkap sama ada kawasan mereka tinggal itu zon hijau dan sebagainya,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata keputusan muktamad mengenai kebenaran untuk pulang itu akan dibuat selepas 1 Mei setelah mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara.

“Perkara ini masih dalam kajian,” katanya kepada pemberita, dan menambah tidak ada jaminan perkara ini akan dibenarkan.

“Kita tunggu laporan bermula 25 Mei nanti…kita lihat ramai mana yang nak pulang yang berada di kampung, kemudian kita boleh keluarkan tatacara operasi standard tertentu.

“Apapun kita kaji dulu baik buruknya, kita kena dapat nasihat dari Kementerian Kesihatan,” tambahnya.

Ismail berkata kerajaan memahami kerisauan rakyat yang terkandas di kampung sejak perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa. “Mereka berada di kampung lebih sebulan, banyak aduan dibuat, ada yang tidak ada pakaian dah nak pakai, rumah lama tinggal takut dipecah masuk dan sebagainya.”

Menteri turut menjelaskan situasi mereka yang terkandas di kampung dan ingin pulang tidak sama seperti pelajar yang terkandas di kampus pusat pengajian dan ingin pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Kita tahu jumlah pelajar di institusi pengajian tinggi, jadi mudah kita membuat perancangan,” katanya.

“Berbanding mereka yang berada di kampung yang duduk berselerak, kita tidak tahu berapa jumlahnya.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-