Saturday, April 18, 2020

8 doktor pakar China tiba bantu usaha negara perangi wabak Covid-19

Bernama
-April 18, 2020 9:21 PM
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM akan berkongsi kajian dengan pakar dari China mengenai Covid-19.

PUTRAJAYA: Lapan doktor pakar dari China telah tiba di negara ini, bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha memerangi Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, pihaknya telahpun mengadakan ‘teleconferencing’ dengan doktor dari China itu dan akan memperhalusi pelbagai isu bersama mereka.

Menurutnya, ada di antara 8 orang doktor itu, adalah daripada Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, Guangdong.

“Antara kepakaran mereka ialah ‘intensivist’ dan pakar penyakit berjangkit dan ‘data analytic’ dan juga pelbagai kepakaran dari situ.

“Jadi mungkin dengan kepakaran mereka di Hubei (China) hari itu, kita boleh kongsi dan juga dapat melihat kajian kita contohnya dan juga perkhidmatan kita di hospital.

“Juga bagaimana kita boleh pertingkatkan lagi perkhidmatan kita,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Jelasnya, pakar terbabit akan menjalani proses kuarantin sama seperti mereka yang lain, apabila tiba ke negara ini seperti yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini.

Sementara itu beliau memberitahu, pihaknya kini sedang melihat dari segi “strain” Covid-19 atau virus yang terbahagi kepada 3 jenis iaitu A, B dan C.

“Kita tertanya-tanya, tetapi kita dimaklumkan di China ialah strain B, dan hari ini kita laksanakan juga pengasingan dan kultur virus tersebut di IMR (Institut Penyelidikan Perubatan). Daripada kultur tersebut, kita bandingkan gelombang pertama dan gelombang kedua.

“Mungkin kita akan berkongsi pendapat hasil kajian kita dengan pihak negara China. Bila kita lihat pada gelombang pertama, kebanyakan pesakit, 16 pesakit kita adalah dari Wuhan (China),” katanya.

Menurut Noor Hisham, pihaknya mendapati jenis strain daripada gelombang pertama ialah strain B, iaitu persamaan dengan jenis strain yang terdapat di Wuhan.

“Tetapi yang gelombang ke-2, rakyat Malaysia yang terlibat, kita dapati virus tersebut juga virus strain B, bukan C (seperti) yang dikatakan.

“Tetapi saya percaya sebab ramai yang balik dari luar negara, mungkin kita akan ada kes import dan kita akan laksanakan lebih banyak lagi ujian ataupun pengasingan virus dan juga kultur virus tersebut, dan kita akan lihat kepada keseluruhan susunan genom virus tersebut,” katanya.

Tambah beliau, selepas KKM mendapat keseluruhan susunan genom yang lengkap, barulah mereka dapat membandingkan kes gelombang pertama, gelombang kedua, dan kes import, sama ada dari Amerika Syarikat (AS) ataupun United Kingdom (UK).

“Strain jenis A yang dikatakan berkaitan dengan kelawar dan sebagainya yang didapati di AS, dan strain B, iaitu di Wuhan, China dan dikatakan Malaysia dan Singapura mempunyai strain C.

“Tetapi kita dapati sekarang ini daripada gelombang pertama, yang kes dari Wuhan adalah strain B.

“Jadi mungkin lebih banyak lagi kajian akan dilaksanakan baru kita nampak. Ini pun kita akan berbincang dengan rakan sejawat kita dari China. Mungkin dapat lihat bagaimana kita boleh bekerjasama (dengan China) untuk meningkatkan lagi pengesanan virus, rawatan, kesihatan awam,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-