Wednesday, April 1, 2020

Arab Saudi minta umat Islam tangguh persiapan haji, umrah


Kerajaan Arab Saudi meminta umat Islam supaya menangguhkan sebarang persiapan untuk menunaikan haji dan umrah sehingga perkembangan lebih jelas berkaitan penularan wabak Covid-19.

Menteri Haji dan Umrahnya, Mohammed Saleh Benten berkata kepada stesen televisyen Al-Ekhbariya, bagaimanapun Arab Saudi dalam keadaan bersedia sepenuhnya untuk menerima jemaah haji dan umrah.

"Tetapi keadaan semasa ketika kita bercakap mengenai pandemik global, kerajaan mahu melindungi kesihatan umat Islam serta rakyat.

"Oleh itu, kita meminta umat Islam di semua negara untuk menunggu sebelum melakukan haji sehingga keadaannya jelas," kata Mohammed menurut laporan Reuters.

Pada awal bulan lepas, Arab Saudi menghentikan kemasukan jemaah haji atau umrah untuk sepanjang tahun ekoran kebimbangan terhadap penularan Covid-19 ke bandar-bandar suci Islam itu.

Ia satu langkah yang julung kali terjadi, sekali gus menimbulkan ketidakpastian berhubung ibadat haji untuk tahun ini.

Pembatalan musim haji tidak pernah berlaku sebelum ini, namun langkah mengehadkan kehadiran dari kawasan berisiko tinggi pernah dilaksana ketika wabak Ebola menyerang wilayah itu.

Kira-kira 2.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia biasanya berkumpul di Mekah dan Madinah untuk ibadat yang dijadualkan bermula pada akhir bulan Julai.

Selain menangguhkan haji dan umrah, Arab Saudi juga menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat masuk dan serta keluar pergerakan ke beberapa bandar raya, termasuk Mekah dan Madinah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-