Monday, April 6, 2020

Arak: PN perlu buang segera ultra kiasu

Bagaimana KSU boleh bertindak sendirian tanpa rujuk menteri?
06/04/2020



BANGI, 12 Syaaban 1441H, Isnin – Pendakwah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee menggesa Perikatan Nasional (PN) segera membuang ‘ultra kiasu’ yang menimbulkan masalah dalam pentadbiran negara.

Beliau berkata demikian selepas kecoh di media sosial sepucuk surat yang didakwa dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi kebenaran kepada sebuah syarikat minuman keras beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Surat bertarikh 31 Mac itu ditandatangani Ketua Setiausaha (KSU) KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Berasa hairan dengan perkara itu, Prof Mohd Ridhuan Tee mempersoalkan bagaimana seorang KSU bertindak bersendirian dengan memberikan kebenaran operasi kilang arak ketika PKP, tanpa merujuk kepada menterinya.

“Apakah KSU yang dilantik pada zaman PH ini, ada agenda tertentu? Itu yang saya kata, lantikan sebegini perlu segera ditangani sebelum menjadi barah.

“Lihat bagaimana ultra kiasu Islam dan kafir berpolitik. Hebatkan. PN (KSU) bagi bola tanggung kebenaran operasi arak, ultra kiasu Islam sambut, bagi membalas dendam kesumat terhadap PAS, walaupun ini bukan kerja PAS.

“Dia kata kat PAS macam-macam. Selepas ini, tengoklah ultra kiasu kafir akan berkata, bila kebenaran tersebut ditarik balik, kerajaan diterajui menuju kepada kerajaan Taliban,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Situasi ini, katanya, menyebabkan PN berada dalam dilema malah ibarat pepatah ‘diluah mati bapak, ditelan mati mak’.

“Benarkan salah, tarik balik salah. Inilah psywar dan psyop ultra kiasu hilang kuasa yang perlu diberikan perhatian serius. Jangan sampai terperangkap.

“Jangan beri bola tanggung, ultra kiasu Islam lambung, ultra kiasu kafir satu buat pukulan mati. Nasihat saya kepada PN, berhati-hatilah. Isu berkaitan dengan sensitiviti umat Islam mesti dijaga,” katanya.

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelulusan bagi membenarkan dua kilang arak beroperasi semasa tempoh PKP dibatalkan.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

“Kami telah buat keputusan bahawa kelulusan yang diberikan itu adalah terbatal atau dibatalkan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Khas Kabinet di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengeluarkan surat pembatalan serta-merta.

“…jadi tidak timbul isu tentang kilang Heineken dan Carlsberg beroperasi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-