Showing posts with label arak. Show all posts
Showing posts with label arak. Show all posts

Friday, January 31, 2025

Majlis Ulama Umno gesa menteri bukan Islam lebih berhati-hati

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 31, 2025 2:05 PM
Majlis Ulama Umno memperingatkan menteri bukan Islam lebih berhati-hati memberi ulasan berkaitan perkara yang berkaitan dengan Islam dan umat Islam.

Perkara itu, kata badan itu, bagi mengelakkan persepsi negatif sehingga ada pihak boleh "menunggang" dan “memprovokasinya sebagai ancaman terhadap Islam”.

“Kerajaan Perpaduan yang dibentuk bersama ini merupakan model terbaik bagi mewujudkan perpaduan kaum seluruh rakyat Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“Justeru, semua parti-parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan perlulah mengekalkan keharmonian dan sensitiviti semua kaum,” katanya.

Majlis itu berkata demikian mengulas isu berkaitan jualan sandwic ‘ham’ yang didakwa menggunakan logo halal tidak sah serta peluasan sekatan jualan arak di Ipoh, Perak.

Majlis Ulama Umno tidak menamakan menteri itu secara khusus. Dia bagaimanapun dipercayai merujuk kepada Naib Presiden DAP Nga Kor Ming yang lantang dalam isu sandwic dan peluasan sekatan jualan arak di Ipoh.
Dalam kenyataan hari ini, Majlis Ulama Umno menegaskan bahawa kerajaan berjaya memperkasakan Islam sebagai kesinambungan kerajaan Umno dan BN sebelum ini.

“Majlis Ulama Umno akan terus berperanan menyuburkan Islam dalam negara dan mempertahankan asas-asas utama Perlembagaan Persekutuan melibatkan Islam, Bahasa Melayu, Raja-raja Melayu dan Hak Istimewa Orang Melayu sebagaimana prinsip yang dijunjung dalam penubuhan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

PBT perlu berani henti jualan arak secara terbuka

harakahdaily.com
January 31, 2025
KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menolak penjualan arak yang dibiarkan beroperasi secara terbuka, terutama di kawasan majoriti penduduk Islam negara ini.

Yang Dipertua PUM, Dato’ Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz berkata, tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menyokong kelangsungan penjualan arak jelas tidak mencerminkan hasrat majoriti rakyat yang mahu kawalan lebih ketat terhadap penjualan arak.

Katanya, langkah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk memperluaskan larangan penjualan arak di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu patut dipuji, terutama di kawasan majoriti Islam.

“Larangan itu tidak menyeluruh, tetapi hanya melibatkan kawasan yang majoriti penduduk beragama Islam, menunjukkan rasa hormat kepada orang bukan Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Mohamad turut menegaskan bahawa penjualan arak yang tidak terkawal bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, tetapi menyebabkan pelbagai masalah sosial seperti kemalangan jalan raya, keganasan rumah tangga, dan keruntuhan moral masyarakat.

Menurutnya, kesan buruk arak terhadap masyarakat sudah terbukti menyebabkan mengekang penjualan arak adalah langkah yang tepat untuk memperkasakan masyarakat yang lebih harmoni dan berakhlak.

Selain itu, katanya PUM mendesak kerajaan agar lebih serius menguatkuasakan peraturan penjualan arak, termasuk mewujudkan kaunter khas bagi menjual arak serta memastikan pekerja Muslim tidak terlibat dalam proses tersebut.

“Kerajaan harus menunjukkan keberanian politik dalam menangani isu ini. Tindakan tegas perlu diambil demi menjaga keharmonian masyarakat dan melindungi nilai-nilai murni yang menjadi asas kepada perpaduan negara.

“Jemaah Menteri perlu bertindak berani dan tegas untuk memastikan isu ini diselesaikan demi kebaikan semua pihak,” katanya. 

HARAKAHDAILY 31/1/2025

Wednesday, January 29, 2025

Negara Barat had jualan arak, Malaysia bebas?

harakahdaily.com
January 29, 2025
GEORGE TOWN: Isu berkaitan minuman keras yang dibangkitkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, sangat mengecewakan banyak pihak khususnya umat Islam di negara ini.

Pengerusi Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kadeer berkata, saranan agar status quo penjualan arak di premis di kawasan majoriti penduduk Islam kekal, juga dianggap tidak relevan.

“Malaysia bukan negara Barat. Kita mempunyai pelbagai kaum dan adat yang perlu dihormati. Bukannya yang tak minum tak perlu beli. Itu tak masuk akal.

“Dia (Kor Ming) perlu sedar, budaya minum arak tidak boleh diterima oleh sesetengah kaum dan agama,” kata beliau dalam satu kenyataan, semalam.

Dalam pada itu Mohideen turut menzahirkan kebimbangan dengan kelonggaran itu akan memungkinkan para peniaga dibenarkan menjual segala barangan tanpa sekatan, termasuk yang mendatangkan ancaman kepada individu dan masyarakat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kor Ming perlu sedar, negara-negara Barat juga sudah mengambil tindakan untuk mengehadkan jualan arak secara terbuka.

Mengapa di Malaysia katanya, tidak dilakukan perkara sama, sedangkan Malaysia adalah sebuah negara yang agama rasminya adalah Islam.

“Kebebasan menjual arak di semua tempat boleh mencetuskan pelbagai masalah sosial, termasuk remaja bawah umur yang mungkin terdedah kepada tabiat meminum arak tanpa kawalan.

“Tindakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk mengetatkan kawalan terhadap penjualan arak di bandar itu, adalah tindakan yang baik dan sewajarnya Menteri KPKT tidak campur tangan dalam hal ini,” tegasnya lagi.

Tambah Mohideen, pihaknya juga berharap tindakan tegas dapat diambil bagi memastikan budaya dan adat semua kaum di negara ini dihormati, apatah lagi yang membabitkan 3R (Agama, Raja, Kaum).

Justeru beliau mengharapkan isu itu mendapat perhatian Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan mengambil langkah campur tangan bagi memastikan kawalan ketat terhadap penjualan minuman keras di negara dapat dilaksanakan.

“Langkah ini penting bagi menjaga keharmonian masyarakat pelbagai kaum serta mencegah masalah sosial yang lebih besar di masa hadapan,” katanya lagi. 

HARAKAHDAILY 29/1/2025

Tuesday, January 28, 2025

Perak sokong kajian larangan jual arak di lokasi majoriti umat Islam

bharian.com.my
Oleh Muhamad Lokman Khairi 
bhnews@bh.com.my
 Januari 28, 2025 @ 1:02pm
Datuk Seri Saarani Mohamad. - Foto fail BERNAMA
Ipoh: Kerajaan Perak menyokong langkah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk mengkaji cadangan perluasan sekatan penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam seperti dilaksanakan di Gugusan Manjoi, di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata MBI sedang di peringkat kajian dan akan melalui proses serta prosedur jawatankuasa sebelum dikemukakan kepada kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri tiada halangan untuk MBI meneruskan kajian itu mengikut bidang kuasa MBI yang diperuntukkan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Bandaraya Ipoh) 2017 selain Pematuhan Peraturan Minuman Beralkohol/ Peraturan-peraturan Makanan 1985 dan Akta Makanan 1983," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dilaporkan berkata, pihaknya sedang melaksanakan kajian terhadap cadangan supaya larangan penjualan minuman keras yang kini dilaksanakan di Gugusan Manjoi diperluaskan di kawasan majoriti penduduk Islam yang lain.

Rumaizi memaklumkan, beberapa kawasan lain dikenal pasti mengemukakan permintaan supaya tiada jualan minuman keras di tempat mereka termasuk di Tambun, Rapat Setia dan Sungai Rokam.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, kajian yang dilaksanakan MBI akan mengambil kira pelbagai aspek termasuk data demografi serta meneliti secara terperinci penetapan zon berdasarkan Kelas Guna Tanah (KGT) yang digariskan dalam Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh (RTBI) 2035.

"MBI perlu melakukan kajian menyeluruh supaya cadangan berkenaan tidak hanya tertumpu kepada usaha memelihara kemaslahatan umat Islam, tetapi mengambil kira keperluan mewujudkan peraturan yang dapat menjamin kerukunan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

"Kerajaan negeri menegaskan bahawa sebarang ketetapan yang dibuat hendaklah bersifat inklusif dengan mengambil kira maklum balas masyarakat, mencerminkan kehendak sebenar penduduk setempat dan mestilah selari dengan panduan undang-undang yang sedia ada," katanya.

Saarani juga mengingatkan semua pihak supaya memberi ruang sepenuhnya kepada MBI untuk memperhalusi segenap aspek cadangan berkenaan.

"Perbalahan dan pertikaian tidak sepatutnya timbul kerana ia hanya akan mencetuskan ketegangan dan kekeliruan awam," katanya.

Pada Ahad lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) harus mengekalkan status quo atau dasar sedia ada berhubung jualan minuman keras di premis perniagaan dalam kawasan seliaan masing-masing.

Beliau dipetik berkata, sekiranya terdapat permintaan komuniti setempat untuk menyekat jualan arak di sesuatu kawasan, PBT akan meneliti dan menilai permintaan terbabit.

Monday, January 27, 2025

Kenapa nak jual arak di kawasan majoriti Muslim?

harakahdaily.com
January 27, 2025
Sedangkan hak bukan-Muslim dihormati

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mengecam kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) mengekalkan status quo dalam isu penjualan arak.

Ketua Penerangan PERKASA, Irwan Fahmi Ideris berkata, sebagai seorang menteri, Kor Ming sepatutnya menghormati sensitiviti umat Islam dengan menghadkan penjualan arak di kawasan bukan majoriti penduduk Melayu dan Islam.

“Sebagai menghormati masyarakat bukan-Islam, arak boleh dijual tetapi mengikut kepada keperluan masyarakat bukan-Islam di satu-satu tempat dan bukannya secara terbuka di tempat majoriti Melayu dan Islam,” katanya kepada Harakahdaily, tadi.

Irwan Fahmi turut mengingatkan bahawa kenyataan dan tindakan sesetengah pemimpin, terutama DAP yang sering mencampuri urusan Islam menjadi punca jurang perpaduan semakin melebar.

“Tindakan pemimpin DAP yang kerap masuk campur dalam urusan Islam dalam menghalalkan misi negara sekular dan slogan Malaysian Malaysia menjadi faktor utama rakyat hidup dalam ketegangan,” katanya.

Beliau berkata, jika kerajaan berhasrat untuk membawa aspirasi negara yang sebenar, maka setiap pemimpin harus belajar menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini dan tidak seharusnya campur tangan dalam urusan Islam.

“Kami orang Melayu Islam pun tidak pernah pertikaikan apa jua urusan agama yang lain sebagai menghormati masyarakat bukan-Islam di negara ini,” katanya.

Oleh demikian, PERKASA menyokong langkah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk mengawal penjualan arak di kawasan majoriti penduduk beragama Islam.

Beliau berkata, sokongan itu sebagai usaha menghormati sensitiviti umat Islam serta membantu menangani gejala sosial yang sering dikaitkan dengan penyalahgunaan minuman keras.

Terdahulu, pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras di dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti dicadangkan MBI telah menarik perdebatan pelbagai pihak termasuk beberapa pemimpin politik parti kerajaan dan pembangkang.

Media melaporkan, mesyuarat di peringkat MBI telah meluluskan dasar untuk membuat kajian jika terdapat tuntutan penduduk majoriti Muslim sebelum larangan penjualan minuman keras dikuatkuasakan. 

HARAKAHDAILY 27/1/2025

Arak jelas haram dalam Islam, semua pihak wajib faham - Mufti

sinarharian.com
NURFARDLINA IZZATI MOKTAR
27 Januari 2025 09:00am
Mohamad Sabri. Laporan Sinar Harian berhubung PBT disaran kekalkan status quo jualan arak

KUALA TERENGGANU - Kerajaan tidak sepatutnya mengeluarkan saranan supaya mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung isu penjualan minuman keras di mana-mana premis perniagaan, termasuk di kawasan majoriti beragama Islam.

Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, ia bagi menjaga sensitiviti umat Islam di negara ini.

Menurut beliau, umum mengetahui Islam adalah agama rasmi di Malaysia dan sepatutnya isu pengharaman arak yang jelas dinyatakan di dalam al-Quran difahami semua pihak.

“Memang sepatutnya arak diharamkan. Jadi, kenapa kita nak benarkan penjualan arak itu di kawasan yang ramai penduduk beragama Islam.

“Menteri perlu mempunyai satu garis panduan berhubung penjualan arak di tempat majoriti orang Islam serta kena jaga sensitiviti umat Islam," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung isu penjualan minuman keras di mana-mana premis perniagaan.

Sementara itu, Mohamad Sabri berkata, isu penjualan arak perlu dihormati semua pihak kerana dikhuatiri mencetuskan ketegangan serta menjejaskan keharmonian antara kaum berlainan.

“Maslahat umat Islam itu perlu diutamakan sebab agama rasmi di negara ini adalah agama Islam. Oleh itu, sepatutnya ia difahami semua pihak terutama bukan Islam, kena jaga sensitiviti.

“Kita di bawah negara Islam dan perlu jaga perkara ini bahawa arak jelas dilarang. Semua pihak kena faham,” jelas beliau.

Sunday, January 26, 2025

'Apabila premis jual arak, yang tak boleh minum jangan belilah' - Kor Ming

bharian.com.my
Oleh Muhamad Lokman Khairi 
bhnews@bh.com.my
- Januari 26, 2025 @ 12:06pm
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming beramah mesra bersama peniaga pasar, Khoo Kooi Lean ketika lawatan ke Pasar Canning hari ini. - NSTP/ L Manimaran

IPOH: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengingatkan semua pihak supaya menghormati hak individu dan tidak menjadikan penjualan arak sebagai isu khususnya menjelang Tahun Baharu Cina.

Ini kerana, katanya perniagaan syarikat arak mempunyai lesen dan operasi mereka tidak menyalahi di sisi undang-undang.

"Apabila (ada) premis jual arak, yang tak boleh (haram) minum jangan belilah.

"Tetapi kita tak boleh larang orang yang boleh minum. Itu hak dia sebab itu (kita perlu) hormat-menghormati," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pasar Pasir Pinji dan lawatan di Pasar Taman Canning di sini, hari ini.

Terdahulu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dilapor akan mengkaji pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras oleh premis di dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti dilaksanakan di Gugusan Manjoi.

Dalam pada itu, Kor Ming menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengekalkan 'status quo' atau dasar sedia ada berhubung jualan minuman keras di premis perniagaan dalam kawasan seliaan masing-masing.

"Syarikat (arak) pun syarikat tersenarai awam. Dia juga bayar cukai untuk kita bangunkan negara. Jadi kita harus adil kepada semua," katanya.

Tambah beliau, sekiranya terdapat permintaan komuniti setempat untuk menyekat jualan arak di sesuatu kawasan, PBT akan meneliti dan menilai permintaan terbabit.

Kor Ming berkata, Malaysia kini atas landasan betul dan semua pihak harus fokus memelihara keharmonian.

"Mengapa kita nak bazir masa. Jangan jadikan perkara ini sebagai isu, sebab itu saya sentiasa nasihat kita jangan hilang fokus dengan isu remeh yang tidak membina.

"Apabila kita terjerumus dalam pelbagai isu polemik, ia tidak membantu siapa pun, dia merugikan semua pihak," katanya.

Tuesday, January 21, 2025

Kawalan arak MBI: PAS Perak gesa MCA usah jadikan alat politik

malaysiakini.com
N Faizal Ghazali
Diterbitkan: Jan 21, 2025 8:11 PM
PAS Perak hari ini menyatakan sokongan mereka terhadap langkah kawalan penjualan arak di premis seperti kedai runcit dan serbaneka di kawasan majoriti penduduk beragama Islam di negeri itu.

Justeru Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, menegaskan sewajarnya perkara itu tidak menjadi polemik terutama dalam kalangan parti politik bukan Islam.

“PAS Perak menasihatkan parti politik bukan Islam tidak menjadikan isu ini sebagai alat politik yang boleh mencetus kehangatan antara umat Islam dan bukan Islam di negeri ini.

“PAS Perak yakin kebanyakan orang bukan Islam menyedari bahaya arak dan mereka juga menghormati hak umat Islam khasnya di kawasan majoriti Muslim," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Razman yang juga Ketua Pembangkang DUN Perak menambah, isu larangan penjualan arak di kawasan petempatan majoriti Muslim tidak sewajarnya ditimbulkan.

Katanya ia boleh dicapai jika semua parti politik di negara ini memahami peraturan dan mematuhinya.

"Toleransi ini mestilah dikekalkan bagi menjamin kestabilan dan keamanan di Perak,” katanya.
Razman berkata demikian sebagai mengulas kontroversi yang ditimbulkan MCA Perak ekoran peluasan sekatan penjualan arak di kawasan tertentu di Ipoh.

Ketua Penerangan MCA Perak, Chung Kok Heung, kemudian mengecam pemimpin kerajaan Perak khususnya DAP kerana tidak bersuara dalam keputusan diambil Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tersebut.

Larangan tersebut disahkan Datuk Bandar Ipoh, Rumaizi Baharin.

“Berapa lama lagi DAP dan PKR akan terus menipu rakyat?

“Adakah ini kejahilan atau cubaan menyembunyikan isu yang disengajakan untuk memperbodohkan orang ramai?" kata Chung.

Memang ada peraturan

Beberapa hari lalu, Rumaizi berkata, MBI meluluskan dasar untuk membuat kajian terhadap tuntutan penduduk dari kawasan majoriti Muslim sebelum larangan penjualan minuman keras dikuatkuasakan.

Menurutnya, sekitar tahun 2020 dan 2021, larangan itu dilaksanakan di kawasan gugusan Manjoi susulan bantahan besar-besaran penduduk setempat.

Pagi tadi, Pemuda Umno Malaysia turut mengingatkan MCA agar "jangan jadi bodoh" dalam isu berkenaan.

Razman yang juga Adun Gunung Semanggol berkata mengikut Seksyen 59 Enekmen Jenayah Syariah 1992 Perak, memang menjadi kesalahan jenayah bagi seseorang Islam mengambil minuman memabukkan.

“PAS Perak menyokong penuh hasrat MBI dan mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam negeri ini yang berhasrat melarang premis awam menjual arak di kawasan majoriti beragama Islam.

“PAS Perak mengakui arak tidak diharamkan kepada bukan Islam dan hak mereka dijamin oleh perlembagaan dan agama Islam.

"Isu timbul berikutan bantahan dari kawasan majoriti Islam dalam negeri Perak khususnya di kawasan bandar raya Ipoh.

“Hak umat Islam sewajarnya dihormati oleh bukan Islam di negeri ini.

"Mereka hanya menuntut larangan di kawasan majoriti umat Islam tanpa menyentuh kawasan bukan majoriti Islam.

“Telah menjadi peraturan bahawa penjualan arak termasuk barangan yang dikawal dan tidak boleh dijual secara bebas,” katanya.

Tambah Razman lagi, mengikuti peraturan mana-mana premis yang ingin menjual minuman memabukkan seperti arak mestilah mengiklankan di beberapa akhbar tempatan pelbagai bahasa selama beberapa hari dan beberapa syarat lain bagi mendapatkan maklum balas penduduk.

Sunday, September 8, 2024

Akmal: Saya minta kerajaan sediakan logo non-halal, tampal pada dahi Teresa

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 8, 2024 1:46 PM
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menyelar Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok kerana mempersoal cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi dan alkohol mendapatkan pensijilan halal.

Menyifatkan ahli parlimen Seputeh itu sebagai 'nyonya tua', Akmal berkata Teresa tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensjilan halal.

“Pertama saya nak bagi tahu pada nyonya tua ini, sijil halal ini bukan sahaja arak dan babi, tapi sijil ini merangkumi bagaimana dia (peniaga) nak sediakan (makanan), bagaimana sumber (perniagaan) tu dapat.

“Jadi ini adalah aturan yang telah ditetapkan dan saya nak bagi tahu juga nyonya tua ini bahawa sijil halal ini dulu berbulan-bulan nak dapat. Hari ni kita dah dapat pendekkan kepada 23 hari saja dah boleh dapat sijil halal.

“Jadi apa masalah kamu dengan sijil halal ini?,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuatnaik di TikTok.

Kelmarin, Teresa berkata cadangan itu berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Ini susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar, Khamis lalu yang memaklumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang mengkaji cadangan itu.
Teresa berkata, langkah itu juga bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Menurut ahli parlimen dari DAP itu, pensijilan halal sepatutnya bersifat sukarela dan membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran.

Pandangan Teresa bagaimanapun mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin Umno dan Amanh yang meminta dia menarik balik kenyataan itu.

‘Diam lebih elok’

Mengulas lanjut, Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka turut menyangkal dakwaan Teresa bahawa langkah mewajibkan pensijilan halal sebagai memalukan negara.

Sebaliknya, dakwa Akmal, Teresa yang sebenarnya telah memalukan negara ini dengan tidak berhenti mengganggu-gugat keharmonian.

“Kalau kamu tak suka, dia tak melibatkan kamu pun dan yang sebenarnya yang memalukan negara ini adalah ada ahli parlimen seperti kamu wahai nyonya tua yang tak habis-habis mengganggu gugat keharmonian negara.

“Kalau kamu tak tahu tentang agama kami, jangan cakap. Kamu diam lebih elok dan saya minta juga kepada kerajaan sediakan satu logo non (tak) halal, tampal dekat dahi nyonya tua ini,” tambahnya.

Wednesday, August 14, 2024

Pemuda PAS Kelantan nafi edar arak untuk Orang Asli di Nenggiri

malaysiakini.com
Haspaizi Zain
Diterbitkan: Aug 14, 2024 6:10 PM
Susulan tular video ada individu mendakwa PAS sengaja membawa masuk arak ke kawasan Orang Asli di Nenggiri, Pemuda PAS Kelantan hari ini tampil menafikan perkara itu dengan membuat laporan polis.

Ketuanya, Mohd Kamal Mohamed, membuat laporan itu terhadap seorang pempengaruh media sosial yang didakwanya melemparkan tuduhan tersebut terhadap PAS.

Mohd Kamal mendakwa pempengaruh terbabit membangkitkan tuduhan itu menerusi satu video di TikToknya.

"Video itu mengandungi ucapan seorang individu Orang Asli dan tulisan tertera Pemuda Pas Beri Arak Kepada Orang Asli dengan latar belakang bendera PAS.

"Video ini bagi kami untuk memfitnah PAS dengan dakwaan sedemikian.

"Kita menafikan sekeras-kerasnya dan meminta pihak polis menyiasat serta mengambil tindakan," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang, hari ini.

Terdahulu melalui satu video TikTok seorang lelaki Orang Asli membuat dakwaan bahawa ada Pemuda PAS memberikan masuk minuman keras kepadanya.

Dakwa individu terbabit, tujuan minuman keras itu dibawa ke kawasan petempatan Orang Asli adalah untuk memastikan mereka tidak dapat keluar untuk mengundi nanti.

Tambah lelaki berkenaan mereka tidak meminta minuman keras berkenaan.

Video berkenaan kini sedang tular di media sosial.

Mohd Kamal mendakwa, pempengaruh berkenaan turut membuat tuduhan kepada PAS kononnya kerajaan negeri memberi kelulusan teroka hutan di Gua Musang tahun ini sebanyak 13,354 hektar.

Berhubung tuduhan berkait kelulusan penerokaan hutan, Mohd Kamal berkata Pemuda PAS Kelantan menyerahkan kepada peguam parti untuk tindakan selanjutnya.

"Kami buat laporan polis ini sebab nak proses pilihan raya kita bersih, tidak ada tohmahan dan tuduhan jahat dengan tujuan untuk menarik undi," tegasnya.

Tuesday, July 30, 2024

‘Tahniah pemangku menteri pendidikan’ - Dr Akmal bidas Loke lagi

malaysiakini.com

Diterbitkan: Jul 30, 2024 4:32 PM
Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN yang tidak selesa antara Umno dan DAP terus diuji dengan Dr Akmal Saleh sekali lagi membidas sekutunya, Anthony Loke dari DAP.

Dalam satu hantaran di Facebook petang ini, Ketua Pemuda Umno itu turut menggesa saudara seagama dan sebangsanya supaya bersatu.
Dr Akmal Saleh
Dr Akmal dilaporkan berang dengan berita yang memetik Loke, yang merupakan menteri pengangkutan, sebagai berkata syarikat arak dibenarkan buat program kutipan derma di sekolah tetapi tidak dibenarkan mempamerkan logo mereka.

“Lepas ni boleh jemput syarikat judi pula ke buat program dalam sekolah?

“Tidak cukup dengan sumbangan derma, hari ni nak benarkan syarikat arak buat program dalam sekolah pula?” katanya.

Ketua Pemuda Umno itu seterusnya menyindir setiausaha agung DAP itu dengan mengucapkan tahniah kepada Loke.

“Tahniahlah menteri pengangkutan yang memangku menteri pendidikan,” tulisnya.
Sebelum ini, Dr Akmal mengecam Loke kerana mahu membangkitkan isu itu dalam kabinet berikutan kontroversi yang membabitkan kutipan dana untuk sekolah vernakular Cina, yang melibatkan Tiger Beer, walaupun Kementerian Pendidikan menghalang sekolah daripada menerima dana daripada syarikat pengeluar produk tembakau dan alkohol.
Pemimpin DAP itu berkata Tiger Beer telah menganjurkan konsert mengumpul dana untuk sekolah Cina selama 30 tahun, dan ini tidak menjadi isu sehingga seorang pemimpin pembangkang membangkitkannya.

Bagaimanapun, Dr Akmal berhujah bahawa Malaysia mempunyai undang-undang dan ia tidak sepatutnya mengikut peraturan Loke, sebaliknya.

Semalam, Loke menjelaskan bahawa tiada kelompangan atau "kawasan kelabu" dalam keputusan kabinet mengenai garis panduan untuk pengumpulan dana bagi sekolah Cina.

Dia menegaskan tiada sebarang perubahan akan dilakukan selain menjelaskan bahawa acara tersebut yang diadakan di sekolah tidak boleh meliputi sebarang paparan dan promosi minuman beralkohol.
Anthony Loke
Malah, katanya, program kutipan derma untuk sekolah Cina, termasuk yang diterima daripada kilang arak, kebanyakannya diadakan di luar kawasan sekolah dan dihadiri ibu bapa serta mereka yang memberi sokongan kepada sekolah berkenaan.

[Baca berita penuh]

Monday, July 29, 2024

‘Nak keluar PN, keluarlah’, PAS beritahu Gerakan

freemalaysiatoday.com
Anne Muhammad
29 Jul 2024, 03:00 PM

Naib Presiden Mohd Amar Abdullah berkata setiap parti ada hak dan pendirian jadi terserah kepada Gerakan untuk membuat keputusan.
Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah mengulas kenyataan Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong yang parti itu tidak teragak-agak keluar PN.

PETALING JAYA: PAS tiada halangan jika Gerakan ambil keputusan keluar daripada Perikatan Nasional (PN) susulan perbezaan pendapat berhubung kontroversi dana sekolah Cina.

Naib Presiden Mohd Amar Abdullah berkata setiap parti ada hak dan pendirian jadi terserah kepada Gerakan untuk membuat keputusan.

Kalau Gerakan rasa dia tak selesa dengan PN. Dia boleh buat keputusan untuk keluar tak ada masalah kerana ini negara demokrasi, terserah, katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong, parti itu tidak teragak-agak keluar PN dan mereka kekal teguh menyokong serta mempertahankan usaha sekolah Cina mengumpul dana walaupun terdapat ancaman tidak munasabah daripada sekutunya.

Semalam, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menyuarakan rasa ‘sangat kecewa’ terhadap Gerakan dan tidak menolak kemungkinan memutuskan hubungan berhubung sumbangan syarikat arak kepada sekolah Cina.

Mengulas lanjut, Amar berkata sekolah seharusnya menjadi tempat mendidik pelajar menjadi insan berguna dan PAS menolak keras unsur tidak baik disumbangkan kepada institusi pendidikan.

Kerajaan sendiri pun tak benarkan syarikat rokok, arak, judi menaja…kerana ia bagi kesan tidak baik kepada masyarakat, katanya.

Katanya, jika Gerakan tetap dengan pendirian itu pihaknya tidak mempunyai hak untuk memaksa mereka membuat sesuatu keputusan.

Kalau dia keluar kita nak buat macam mana, sebab kita tak ada hak nak paksa dia, nak tahan dia pun tak boleh, parti dia buat keputusan sendiri, terserah pada dialah, katanya.

Sunday, July 28, 2024

Oh: PAS bukan 'taiko', Gerakan tak teragak-agak keluar PN

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 28, 2024 
Gerakan tidak akan teragak-agak untuk keluar dari PN jika tindakan itu bermakna mempertahankan pendidikan Cina, kata timbalan presiden parti Oh Tong Keong.

Dia berkata Gerakan juga tidak akan kekal dalam gabungan itu jika terpaksa tunduk terhadap tuntutan konservatif dan tidak munasabah yang melampau daripada "parti tertentu."

Oh menjawab amaran Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari bahawa PN mungkin menggugurkan Gerakan pada pilihan raya umum akan datang.

Ini selepas PAS dan Gerakan mengambil pendirian bertentangan dalam isu syarikat minuman keras menyalurkan dana kepada sekolah vernakular.
“Gerakan mengesahkan sokongan padu terhadap usaha masyarakat Cina mengumpul dana untuk pendidikan Cina.

"Walaupun ugutan tidak munasabah daripada sekutu PN bahawa tidak akan ada lagi kerjasama dalam pilihan raya umum akan datang, kami bersedia untuk menghadapinya," kata Oh pada satu kenyataan hari ini.

Gerakan semalam menyokong pendirian DAP menyokong sekolah vernakular yang bekerjasama dengan kilang bir untuk menganjurkan acara mengumpul dana.

Gerakan berpendapat kutipan derma sebegini perlu dilakukan kerana sekolah Cina tidak diberikan dana yang mencukupi oleh kerajaan persekutuan untuk meneruskan operasi mereka.
Bagaimanapun, Fadhli berkata pandangan sedemikian mengecewakan dan menegaskan jika Gerakan mengekalkan pendapat sedemikian, PAS tidak akan bekerjasama dengan Gerakan pada pilihan raya umum ke-16.

Membalas amaran PAS itu, Oh menjelaskan Gerakan sebelum ini meninggalkan BN pada 2018 untuk menentang rakan pakatan yang korup.

Begitu juga, katanya, jika rakan pakatan dalam PN terus mempamerkan ekstremisme agama dan mencabul hak orang bukan Islam, Gerakan tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan gabungan politik sekali lagi.

“Walaupun PAS mempunyai kerusi parlimen dan DUN terbanyak dan merupakan parti terbesar dalam PN, PAS mesti menghormati parti-parti lain dalam gabungan itu.
Presiden Gerakan Dominic Lau bersama pimpinan tertinggi PN.
"Mereka tidak sepatutnya bertindak seperti taiko (abang besar) dan menuntut pematuhan daripada semua pihak lain. Mereka mesti belajar untuk meyakinkan orang lain melalui pertimbangan hujah," kata Oh.

Oh juga menegaskan Gerakan menjunjung prinsip perjuangan politik bukan perkauman dan mempertahankan hak semua kumpulan etnik seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, tidak ada salahnya kaum Cina dan India Malaysia mempertahankan dan mengekalkan pendidikan bahasa ibunda. Ia bukan sahaja tidak dihalang tetapi juga digalakkan dan disokong.

Sementara itu, Ahli Parlimen DAP Kampar Chong Zhemin pada kenyataan berasingan hari ini mencabar Presiden Gerakan Dominic Lau supaya berhenti menafikan tidak ada masalah berlaku dan mengelak ancaman yang dibuat oleh Fadhli.

Sebaliknya, dia menggesa Lau tegas mempertahankan sisa-sisa maruah terakhir Gerakan dengan meninggalkan PN dan memutuskan hubungan bersama PAS.

Gerakan rakan gabungan PN tanpa kerusi parlimen dan cuma memiliki satu kerusi DUN di Kedah yang dikuasai PAS, dimenanginya semasa pilihan raya negeri tahun lepas.

Rakyat tolak agenda DAP banyak menongkah arus

harakahdaily.com
July 28, 2024
Datuk Razali Idris

KUALA TERENGGANU: Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris menyifatkan sangat malang apabila institusi pendidikan dicemari tajaan syarikat arak terutama di sekolah aliran Cina.

Beliau berkata, sekolah seharusnya bebas daripada anasir arak, rokok dan perkara yang menjurus kepada elemen yang negatif.

“Sewajarnya Kementerian Pendidikan menolak terus sumbangan dana yang mempunyai imej negatif seperti arak untuk disalurkan kepada sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, isu sumbangan syarikat arak mencetuskan pertikaian susulan kehadiran Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu dalam majlis amal di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Sepang.

Foto beliau di atas pentas bersama kain rentang memaparkan logo jenama arak menerima kecaman pelbagai pihak termasuk pemimpin politik yang turut membangkitkan garis panduan KPM berkait sumbangan syarikat arak kepada sekolah.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng pula membidas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya tidak menjadi ‘Menteri Pendidikan PAS’ ekoran pendirian tegas KPM tidak membenarkan sekolah menerima dana daripada syarikat berkaitan arak, rokok dan judi.

Razali berkata, sangat malang apabila parti DAP begitu berbangga dengan sumbangan hampir RM1 bilion dari syarikat arak tanpa mempedulikan pelajar Melayu Islam yang bersekolah dalam aliran Cina.

“Sumbangan dana syarikat arak ini seharusnya di luar lingkaran sistem pendidikan, seolah-olah tidak menghormati peraturan kementerian.

“Parti DAP selama ini tidak menghormati ketetapan peraturan yang ditetapkan, seolah-olah tidak menghormati semangat muhibbah dan perpaduan serta Perlembagaan Persekutuan.

“Rakyat menolak sepenuhnya sebarang elemen negatif seperti arak dalam institusi pendidikan. Rakyat menolak setiap agenda DAP yang banyak menongkah arus, umpama musang berbulu ayam,” katanya yang juga Exco Kerajaan Terengganu. – 

HARAKAHDAILY 28/7/2024

Jangan semarak api kebencian, pemimpin Gerakan tegur Fadhli

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar
28 Jul 2024

Wendy Subramaniam berkata amalan terima sumbangan luar termasuk syarikat arak kepada sekolah telah lama dipraktikkan, bukan untuk promosi alkohol.
Ketua Penerangan Gerakan Wendy Subramaniam berkata percanggahan pendapat antara komponen PN mengenai isu derma syarikat arak perlu dibincang dalaman bukan kritik secara terbuka.

PETALING JAYA: Gerakan tetap berpegang pada pendiriannya supaya kerajaan melonggarkan garis panduan dan membenarkan sekolah Cina bebas menerima sumbangan dari mana-mana pihak termasuk syarikat arak, di sebalik kritikan rakannya PAS.

Ketua Penerangan Wendy Subramaniam berkata percanggahan pendapat antara parti dalam PN mengenai isu itu perlu dibincang secara dalaman di antara pimpinan tertinggi gabungan.

Bukannya bercakap di luar dengan lantang, katanya kepada FMT, merujuk kenyataan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari yang kecewa dengan pendirian Gerakan itu, sambil membayangkan tidak mustahil ikatan politik mereka boleh putus pada PRU16.

“Dia (Fadhli) sudah salah faham. Anda tak boleh buat kesimpulan hanya dengan satu ‘headline’ (tajuk berita) saja, kita sokong bukan sebab nak promosi alkohol di sekolah tetapi sumber dana itu.

Kalau SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) tak terima sumbangan dari luar, mana cukup, dan amalan ini sudah lama dilaksanakan. (Dana dari syarikat luar) Bukan isu baru, katanya.

Semalam, Presiden Gerakan Dominic Lau berkata Kementerian Pendidikan tidak seharusnya menyekat ‘syarikat tertentu’ menyumbang dana kepada sekolah.

Menurutnya, langkah itu susulan kerajaan tidak memperuntukkan dana mencukupi kepada semua jenis sekolah, sambil menegaskannya tidak mempengaruhi pelajar menjadi peminum tegar.

Kementerian Pendidikan mengumumkan Jemaah Menteri mengekalkan garis panduan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah.

Garis panduan itu antara lain menggariskan aktiviti sumbangan kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah, selain penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh membabitkan pelajar Islam.

Jemaah Menteri akan memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan melalui lembaga pengelola sekolah dan yayasan, seperti diamalkan pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak.

Wendy meminta mana-mana pemimpin PN tidak seharusnya menggunakan isu itu untuk menyemarakkan api kebencian atau merosakkan hubungan antara parti dalam PN.

Kita kena bijak tangani perbezaan ini dan tidak membiarkan orang luar campur tangan, tegasnya.

Derma syarikat arak: PAS sedia tamat ikatan dengan Gerakan

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
28 Jul 2024, 08:30 AM

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata tidak mustahil bagi PAS menolak kerjasama dengan parti itu pada PRU16.
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari, berkata pendirian rasmi Gerakan dalam isu derma syarikat arak sangat mengecewakan.

PETALING JAYA: PAS tidak menolak kemungkinan akan memutuskan hubungan dengan Gerakan susulan pendirian rasmi parti itu berhubung derma syarikat arak kepada sekolah.

Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari menyuarakan rasa ‘sangat kecewa’ terhadap sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) itu dalam isu terbabit.

Jika inilah selalu ditonjolkan Gerakan, PRU16 nanti tidak mustahil kita tidak boleh bersama dalam satu ikatan politik, katanya di Facebook.

Semalam, Presiden Gerakan Dominic Lau berkata Kementerian Pendidikan tidak seharusnya menyekat ‘syarikat tertentu’ menyumbang dana kepada sekolah.

Menurutnya, langkah itu susulan kerajaan tidak memperuntuk dana mencukupi kepada semua jenis sekolah, sambil menegaskannya tidak mempengaruhi pelajar menjadi peminum tegar.

Kementerian Pendidikan mengumumkan Jemaah Menteri mengekalkan garis panduan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah.

Garis panduan itu antara lain menggariskan aktiviti sumbangan kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah, selain penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh membabitkan pelajar Islam.

Jemaah Menteri akan memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan melalui lembaga pengelola sekolah dan yayasan, seperti diamalkan sejak beberapa pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak.

Isu sumbangan tercetus susulan tular gambar Ahli Parlimen Sepang Aiman Athirah Sabu, menghadiri suatu majlis kutipan dana di sebuah sekolah di Sepang.

Wakil rakyat Amanah itu menjelaskan beliau tidak diberitahu oleh penganjur mengenai senarai penyumbang sehingga tiba di lokasi program, yang turut dihadiri sebuah syarikat pengeluar minuman keras.

Syarikat minuman keras di sebalik kontroversi itu menjelaskan ia tidak membuat sebarang sumbangan kepada sekolah, dan peranannya hanya melibatkan persembahan artis dalam program Chinese Education Charity Concert.

Friday, July 26, 2024

Sumbangan syarikat arak untuk konsert amal, bukan kepada sekolah - TPM

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 26, 2024 4:07 PM

Isu tajaan syarikat arak kepada sebuah sekolah Cina di Sepang, Selangor baru-baru ini, adalah untuk penganjuran konsert amal dan bukannya sumbangan kepada sekolah berkenaan, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, wujud persepsi silap yang mendakwa syarikat arak dan rokok menyalurkan dana kepada sekolah Cina.

Katanya, konsert amal itu dianjurkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dan Lembaga Pengelola Sekolah, lapor BH.

"Apa yang telah kita bincangkan pada mesyuarat Kabinet Rabu lalu, bukan soal sumbangan daripada syarikat minuman keras itu atau pun syarikat rokok atau syarikat sejenama dengannya.

"Apa yang dilakukan adalah penajaan terhadap 'event' (konsert amal) yang dibuat oleh syarikat itu.

"Ia dianjurkan oleh persatuan ibu bapa (PIBG) dan Lembaga Pengelola Sekolah itu. Dalam perkara ini, ia tidak pun menyebut tentang sumbangan daripada syarikat minuman keras kepada mana-mana sekolah sebagaimana persepsi yang wujud," katanya.
Dia berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan rumusan di Pemukiman Program Utama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di Pusat Konvensyen Desaru, di Pontian hari ini.

Kelmarin, media melaporkan isu berhubung sumbangan dan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah Cina akan dijawab oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Jurucakap kerajaan merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata isu berhubung perkara terbabit ada dibincangkan dalam Kabinet, namun pihaknya menyerahkan kepada menteri berkenaan untuk menjelaskan mengenai perkara itu.

Rabu lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dilaporkan akan memberikan penjelasan kepada kabinet berhubung isu berkenaan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataannya sebelum ini, memaklumkan memandang serius perkara itu dan sedang melakukan siasatan lanjut.

KPM turut mengingatkan pentadbir di institusi pendidikan di bawahnya supaya mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.

Thursday, July 25, 2024

Ulama Umno selar derma syarikat arak, judi ke sekolah

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 25, 2024 6:33 PM
Majlis Ulama Umno (MUU) menentang sebarang cubaan untuk menormalisasikan sumbangan daripada sumber yang memudharatkan untuk digunakan bagi aktiviti masyarakat sivil yang baik.

MUU berkata sumbangan daripada sumber aktiviti judi mahupun arak tidak wajar digunakan dalam aktiviti pendidikan.

"MUU menegaskan prinsip bahawa dana daripada mana-mana syarikat yang terlibat dengan aktiviti yang dikategorikan sebagai memudharatkan seperti arak dan judi tidak wajar dijadikan sumber bagi mana-mana pusat pendidikan dalam negara.

"Hal ini kerana ia merupakan normalisasi terhadap aktiviti yang sepatutnya dijauhi oleh anak-anak pelajar dan masyarakat sivil yang baik.
"Ini juga selaras dengan surat pekeliling KPM bertarikh 29 Mac 2018 yang menyatakan di dalam perkara 7.3 bahawa tatacara penerimaan sumbangan adalah tidak melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya kerana boleh menjejaskan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan menolak pengecualian untuk pematuhan garis panduan yang melarang sekolah menerima dana yang dijana daripada penjualan produk tembakau dan minuman beralkohol.

Dia berkata walaupun semua sumbangan dialu-alukan namun ia mesti mengikut garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Jadi nasihat saya, patuhi garis panduan tersebut.

"Dan juga sekolah mesti memastikan bahawa tanggungjawab itu berada di peringkat pentadbir untuk memastikan semuanya berjalan dengan lancar," katanya.

Terdahulu KPM memaklumkan sedang menyiasat dakwaan sebuah sekolah Cina di Sepang menerima sumbangan daripada sebuah syarikat pengeluar minuman beralkohol.

Kementerian itu juga mengingatkan pentadbir sekolah supaya mengikut garis panduan sedia ada.

Mengulas mengenai kehadiran timbalan menteri ke majlis kutipan dana sebuah sekolah vernakular di Sepang baru-baru yang dianjurkan syarikat pengeluar arak, MUU berharap perkara itu tidak akan berulang lagi.

"MUU menegaskan dan berharap ia tidak berulang lagi kepada mana-mana pemimpin kerajaan kerajaan ia akan memberi mesej yang salah kepada masyarakat bahawa berlaku normalisasi terhadap penerimaan dana daripada aktiviti seperti ini," katanya lagi.

Isu derma syarikat arak: KPM masih membungkam tentang keputusan kabinet

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 25, 2024 4:33 PM


Lebih 24 jam sudah berlalu selepas jemaah menteri bermesyuarat, namun Kementerian Pendidikan (KPM) masih membungkam dan gagal tampil menjelaskan isu derma untuk sekolah vernakular Cina.

Semalam, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata Menteri Pendidikan Fadlina Sidek akan menjawab berkaitan keputusan itu.
Fahmi Fadzil
Sebelum ini, akhbar harian Cina yang memetik sumber mendakwa jemaah menteri memutuskan bahawa garis panduan Kementerian Pendidikan yang melarang penerimaan dana daripada syarikat produk tembakau atau alkohol tidak terpakai ke atas sekolah bukan Islam dan Cina.

Kedua-dua pemimpin DAP dan MCA kemudiannya mengambil kredit berhubung keputusan itu, yang sekali gus memberi kredibiliti terhadap laporan berita itu.

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata keputusan itu adalah sama seperti ketika partinya berada dalam kabinet.
Teresa Kok (kiri) bersama Wee Ka Siong
"Bagus, tetapi kamu secara paksa menjadikan sekolah Cina sebagai sasaran.

“Sekarang kabinet telah mengembalikan dasar semasa MCA berada dalam kabinet, dan kamu mengharapkan orang ramai supaya berterima kasih?"

"Ia seperti majikan yang menahan gaji tanpa sebab, dan selepas membuat kecoh, akhirnya gaji dibayar. Adakah majikan perlu dipuji kerana itu?" soalnya dalam satu catatan Facebook.

Sebelum ini, pemimpin DAP, termasuk Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin, menegaskan bahawa garis panduan KPM itu dikeluarkan pada Mac 2018 ketika MCA menjadi sebahagian daripada kerajaan BN.

Sementara itu, Naib Presiden DAP Teresa Kok, sebagai respons kepada keputusan kabinet yang dilaporkan, memuji Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan kerana menghormati tradisi masyarakat Cina.

Ahli Parlimen Seputeh itu turut memuji Loke kerana "berani mempertahankan kepentingan masyarakat Cina" pada mesyuarat kabinet.
Fadlina Sidek
Pada Selasa lalu, Fadhlina menolak mengecualikan sekolah Cina daripada garis panduan itu mahupun kemungkinan ia disemak semula.

Susulan itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, yang juga menteri pengangkutan, berkata dia akan memohon jemaah menteri supaya mempertimbangkan semula keputusan berkenaan. Namun, ini mendapat bidasan daripada Ketua Pemuda Umno Akmal Salleh.

Isu itu menjadi kontroversi selepas PAS menyasarkan Ketua Wanita Amanah Aiman Athirah Sabu yang dirakam memegang cek replika di sebuah sekolah Cina di Selangor yang memaparkan logo bir jenama Tiger.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh kemudiannya menjelaskan bahawa Tiger, yang dimiliki oleh Heineken Malaysia Bhd, telah menjalankan kutipan derma untuk sekolah vernakular Cina selama tiga dekad.

Ini menyaksikan cetusan kecaman dan saling tuduh-menuduh antara pemimpin kerajaan dan pembangkang, dengan Aiman, yang juga timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan, menggelar pemimpin PAS sebagai "hipokrit".

Aiman membidas, pemimpin PAS yang menurutnya, sebelum ini tidak pula mempunyai masalah bersalam dengan orang bukan Islam yang sedang minum arak atau makan babi.

Perbalahan menjadi semakin hangat apabila dua kumpulan pendidikan Cina turut menuduh PAS cuba mencetuskan ketegangan kaum dengan menjadikan isu itu sebagai modal politik.

Wednesday, July 24, 2024

Akmal bidas DAP - 'Sukan pun tak dibenar terima dana syarikat arak, apa lagi sekolah'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 24, 2024 11:28 AM
Pemuda Umno menyatakan sokongan penuh kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek untuk mempertahankan polisi tidak membenarkan syarikat arak, rokok dan judi memberikan sumbangkan kepada sekolah.

Ketuanya Dr Akmal Saleh berkata, dalam sukan bola sepak pun sumbangan oleh pihak berkenaan tidak dibenarkan apa lagi kepada pihak sekolah.

"Sokongan sepenuhnya kepada YB menteri pendidikan untuk mempertahankan polisi tidak dibenarkan sumbangan dari syarikat arak, rokok dan judi diberikan kepada pihak sekolah.

"Jika liga bola sepak negara pun tidak dibenarkan syarikat sebegini untuk menyumbang apa lagi untuk sekolah di dalam negara ini.

"Dan saya mohon agar pihak kerajaan untuk mempertahankan polisi yang sedia ada ini walaupun diasak oleh mana-mana menteri untuk mengubahnya," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam Fadhlina dilaporkan menolak pengecualian untuk pematuhan garis panduan yang melarang sekolah menerima dana yang dijana daripada penjualan produk tembakau dan minuman beralkohol.

Dia berkata walaupun semua sumbangan dialu-alukan, namun ia mesti mengikut garis panduan kementerian.

"Jadi nasihat saya, patuhi garis panduan tersebut.

"Dan juga sekolah mesti memastikan bahawa tanggungjawab itu berada di peringkat pentadbir untuk memastikan semuanya berjalan dengan lancar," katanya.
Terdahulu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menyiasat dakwaan sebuah sekolah Cina di Sepang menerima sumbangan daripada sebuah syarikat pengeluar minuman beralkohol.

Kementerian juga mengingatkan pentadbir sekolah supaya mengikut garis panduan sedia ada.

Mengulas siasatan itu, Fadhlina menyifatkan ia lebih sebagai "memberi panduan" bagi memastikan garis panduan itu telah dipatuhi.

Pekeliling itu berkuat kuasa pada Mac 2018 apabila BN menjadi kerajaan. Sekolah Cina telah menerima pembiayaan daripada pelbagai sumber, termasuk kilang bir, selama beberapa dekad.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke pula berkata isu membabitkan sumbangan syarikat arak kepada sekolah Cina bagi mengumpul dana sudah berlaku sejak puluhan tahun lalu.

Justeru dia menegaskan akan memberi penjelasan kepada jemaah menteri berhubung perkara itu, hari ini.

Bagaimanapun Akmal turut membidas Loke dengan menegaskan bahawa negara ini mempunyai peraturan yang perlu dipatuhi.

"Ini negara yang ada peraturan yang perlu dipatuh, bukan negara yang mengikut aturan kamu Anthony Loke Siew Fook.

"Pemuda Umno menyokong penuh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengenai isu ini, bebaskan anak-anak kita dari anasir yang tidak baik," katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-